Wednesday, 4 April 2018

Ucapan Penuh Perdana Menteri Dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke16



TEKS UCAPAN PENUH
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE – 16 (XVI)
PADA 4 APRIL 2018 (RABU) JAM 9.30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN PLENARI, PICC, PUTRAJAYA

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastain,
Dilafazkan semulia-mulia selawat kepada Rasul Junjungan,
Allahuma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa’ala A-li Sayyidina Muhammad,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,

Yang Berhormat Menteri-Menteri,

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa,
Ketua Setiausaha Negara,

Yang Amat Berhormat Menteri Besar-Menteri Besar dan Ketua Menteri-Ketua Menteri,

Yang Berbahagia Tan Sri Zainal Rahim Seman,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Ketua-Ketua Perkhidmatan,
Yang Berhormat Timbalan Menteri-Timbalan Menteri,

Yang Berbahagia Dato’ Haji Azih bin Muda,
Presiden CUEPACS,

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Haji Wan Mahmood bin Pa’wan Teh,
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia,

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Dr Aseh bin Haji Che Mat,
Presiden Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia,

Yang Berbahagia Dato’ Haji Omar bin Osman,
Presiden Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS),

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-Dif Kehormat,

Tuan-tuan dan Puan-puan, Para Penjawat Awam yang dikasihi sekalian,

1. Alhamdulillah, marilah kita mulakan pagi ini, dengan mengatur setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas kebesaran dan keagunganNya jua, maka kita diberi kesempatan untuk berkumpul sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA kali ke 16.

2. Sesungguhnya, majlis pertemuan ini sungguh bermakna sekali, kerana ia menghubung dan merapatkan, jalinan ukhuwah di antara pihak Kerajaan serta para penjawat awam, selain program ini merupakan, satu perhimpunan yang paling besar lagi terpenting, bagi Perkhidmatan Awam di negara ini.

3. Terlebih dahulu, dirakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara, kerana saya dimaklumkan bahawa,…

Beliau telah menerima pengiktirafan di peringkat global sebagai United Nations Committee Experts on Public Administration atau UN CEPA, yakni anggota Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau bagi penggal 2018 hingga 2021.

4. Begitu juga ucapan syabas, kepada Yang Berbahagia Tan Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, yang dibantu oleh para KSU, Ketua Jabatan dan semua anggota penjawat awam, kerana telah berjaya menerajui pelaksanaan 1,432 Inisiatif Transformasi Perkhidmatan Awam, yang sudah terbukti, dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

5. Tidak dilupakan juga, kepada mantan Ketua Setiausaha Negara dan tiga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, yang pernah berjasa, sepanjang saya menjadi Perdana Menteri iaitu;

Tan Sri Mohd Sidek bin Haji Hassan;
Tan Sri Ismail bin Adam;
Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah dan;
Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal;

6. Pada hari ini, saya berasa sungguh gembira, apabila melihatkan keceriaan para penjawat awam, mewakili pelbagai agensi dan kementerian, yang sanggup datang dari segenap pelusuk tanahair, bermula di sebelah Utara Perlis, membawa ke Selatan negeri Johor, merentasi pula samudera hingga ke Sabah serta Sarawak, meliputi 330,803 kilometer persegi, yang menandakan begitu luasnya sebuah negara yang bebas merdeka, bernama Malaysia. Terima kasih atas kehadiran semua!

7. Jika pada tahun lepas saya difahamkan, kehadiran seramai 5 ribu orang, tetapi, pada perhimpunan MAPPA kali ini, dengan bertemakan “Demi Negaraku Malaysia”, jumlah para penjawat awam yang datang, telah meningkat sekali ganda, iaitu mencecah 10 ribu orang, bersesak-sesak melimpahi dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ini,…

Sebagai menandakan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi para penjawat awam, yang selama ini merupakan, PENDOKONG UTAMA DAN KAWAN SETIA kepada Kerajaan serta negara tercinta ini. Lalu, marilah kita sama-sama berikan tepukan gemuruh kepada sekalian hadirin!

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

8. Jika dihimbau sejarah, Perkhidmatan Awam di negara ini bermula pada sekitar tahun 1934, yang waktu itu dikenali sebagai Malayan Establishment Office. Pada tahun 1941 pula, hanya diisi oleh rakyat negara ini, dengan 31 pegawai Melayu daripada 129 jawatan di negeri-negeri bersekutu.

9. Kini bilangan penjawat awam di seluruh negara, telah bertambah kepada 1.6 juta iaitu peningkatan lebih 1,333 peratus, berbanding pada tahun 1943.

10. Semenjak dari itu juga, perkhidmatan awam, baik yang beruniform ataupun tidak, sama ada di peringkat Kerajaan tempatan, negeri mahupun persekutuan, telah melalui pelbagai perubahan yang ketara, daripada corak pentadbiran berasaskan ‘conventional government’ kepada ‘e-government’, dan sekarang pula sedang giat dalam menuju era fasa ‘digital government’ atau Kerajaan Digital.

11. Sebagai contoh, dahulunya, surat dihantar secara manual oleh despatch, tetapi pada masa kini, arahan dan maklumat boleh disampaikan melalui pelbagai medium elektronik dan aplikasi telefon pintar seperti e-mail, WhatsApp dan sebagainya.

KERANGKA MAQASID SYARIAH

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

12. Berbekalkan pedoman dan mafhum pengertian beberapa petikan ayat suci Al-Quran, dalam surah Al-Baqarah ayat 126, Al-Ankabut ayat 67 dan An-Nisa’ ayat 59, yang antaranya menerangkan tentang keperluan kepada membina sebuah negara yang tenteram dan makmur, sejahtera lagi diberkati Ilahi serta turut menyentuh tentang hal kewajiban mentaati pemimpin.

13. Secara sedar atau tidak, sejak negara mencapai kemerdekaan, pimpinan Kerajaan selama ini, yang dibantu oleh para penjawat awam, telah berusaha gigih dalam membangun dan memajukan pertiwi ini, sehingga bangkit menjadi ‘Bintang Timur’ yang kini semakin bergemerlapan cahayanya,… disegani kawan dan lawan serta mampu diperbangga di serata dunia.

14. Malah, semenjak 6 dekad lalu dan kebetulan semalam pula, iaitu pada tanggal 3 April 2018, genaplah 9 tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Keenam,….

Pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional, telah melakukan sehabis baik,…

Yang meskipun tidak tertulis secara rasmi, namun secara berhemahnya telah dibimbing dan terpandu dengan roh serta semangat kerangka Maqasid Syariah, dalam hal kepentingan menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan, sebagai manhaj asas pembinaan sebuah negara bangsa berjaya, yang kini, Malaysia sedang meraih kejayaan demi kejayaan.

15. Kemudiannya di awal pentadbiran ini, diperkenalkan pula, Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, yang berlembayungkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, dengan diperkukuhkan lagi oleh prinsip Wasatiyyah atau moderation dan terkini pula aspirasi TN50, sebagai kembara perjalanan jauh, demi menjulang Malaysia supaya berada pada kedudukan 20 negara terbaik lagi terhebat di dunia menjelang tahun 2050.

3 PRINSIP-NILAI PERKHIDMATAN AWAM

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

17. Lalu demikian, demi mentransformasikan perkhidmatan awam supaya lebih bersifat inklusif, cekap dan berbudaya murni lagi inovatif, saya menyarankan 3 Prinsip-Nilai yang seharusnya dijadikan teras dalam melaksanakan kerja dan tugasan.

18. Pertama: Gabungan Prinsip-Nilai Tiga Serangkai Wala’-Wasatiyyah-Tabayyun. Satunya; apakah sebenarnya maksud Wala’? Jika merujuk kepada pandangan jumhur para Ulama, Wala’ itu bererti nilai-nilai seperti cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai’ah, yang wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan yang dijunjung itu, termasuklah tuntutan mentaati Pimpinan atau Ulil Amri.

19. Maksudnya, dalam konteks parti atau Kerajaan, sebagaimana yang sering disyarahkan oleh para Alim Ulama, Wala’ yang sepatutnya diberikan itu, bukanlah hanya kepada Jasad atau Tubuh atau kepada Individu semata-mata, akan tetapi, Wala’ sebenarnya, merangkumi Institusi KePresidenan atau KePengerusian atau KePerdana-Menterian, yang disandang oleh seseorang, bagi mewujudkan disiplin dan ketersusunan, yang berupaya mendatangkan kestabilan kepada sesebuah Kerajaan dan negara.

20. Sebab itulah, kita wajib berwala’ kepada pemimpin, dengan memberi sepenuh ketaatan, selagi mana ruang litup kepemimpinan itu, masih kekal berada dalam parameter maslahah umum dan tidak wujudnya unsur-unsur kezaliman. 

21. Apatah lagi, Kerajaan masa kini, telah melakukan segala usaha dan inisiatif dalam menjaga kebajikan dan mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak.

23. Antaranya, pihak Kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif bantuan seperti BR1M, Projek Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, Klinik 1Malaysia, KR1M 2.0, pengangkutan awam, subsidi secara langsung mahupun tidak langsung kepada semua lapisan masyarakat termasuklah para penjawat awam.

24. Pada konteks ini, para Ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, Wala’ adalah sampai kepada tahap waaajiib, diberikan kepada Kerajaan. Apatah lagi, Kerajaan masa kini, telah dipilih secara sah oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

25. Menyentuh tentang gabungan 3 serangkai berikutnya ialah prinsip-nilai Wasatiyyah, yang menekankan tentang peri-pentingnya kesederhanaan, seimbang lagi cemerlang, yakni, tidak berfahaman terlalu ekstremisme seperti IS dan Daesh, serta bukan pula menjadi sangat liberal.

26. Sehinggakan baru-baru ini, pendekatan Wasatiyyah Malaysia, khususnya dalam menghadapi keganasan, demi menjaga keamanan dan keharmonian, telah menjadi contoh serta mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Liga Muslim Sedunia atau WML.

27. Malahan, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dari Kerajaan Arab Saudi pun, telah memuji Malaysia sebagai negara yang mengamalkan pendekatan Wastiyyah, membangun dari segi ekonominya, dan Baginda telah berkenan untuk menubuhkan King Salman Centre for International Peace di negara ini.

28. Seperkara lagi, yang pada hemah saya, boleh digandingkan dengan Wala’ dan Wasatiyyah adalah prinsip-nilai Tabayyun.

29. Berbekalkan mafhum pengertian Al-Quran melalui surah Al-Hujurat ayat 6, menyuruh kita khususnya para penjawat awam, supaya memahami konsep tabayyun, yakni menyelidiki dahulu sesuatu berita yang diterima dengan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk disebarkan, apatah lagi menjelang PRU Ke-14, yang nampaknya sudah terlalu dekat dah!

30. Dalam hal ini, sebagai pemimpin dan Ketua Kerajaan, saya sentiasa bersifat terbuka kepada sebarang pandangan malah bersedia untuk menerima teguran yang membina. Namun begitu, adalah tidak wajar sama sekali, jika teguran tersebut disulami dengan fitnah, cacian atau tohmahan jahat yang boleh menjatuhkan maruah dan mengaibkan, dengan bertujuan untuk merosakkan nama baik seseorang pemimpin.

31. Berkait itu, setelah mendengar pandangan dan permintaan daripada perkhidmatan awam, saya sebagai Pemimpin Utama Kerajaan bersetuju untuk membuat, Pengumuman Pertama iaitu: Pemendekan Tempoh Time-Based Kali Kedua kepada Kumpulan Pelaksana.

Ini bagi memberi peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana untuk semua perkhidmatan, termasuk pasukan beruniform.

Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju bahawa pelaksanaan kenaikan pangkat time-based, berasaskan kecemerlangan kali kedua iaitu selama 13 tahun yang diluluskan baru-baru ini, dipendekkan kepada 10 tahun mulai 1 Januari 2018, dengan anggaran pertambahan implikasi kewangan sebanyak 34 juta ringgit bagi tahun 2018 yang akan melibatkan 13,006 pegawai.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

32. Kedua: Prinsip-Nilai World Class Public Service, yakni Perkhidmatan Awam yang Bertaraf Dunia. Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan, saya telah melakukan transformasi inklusif lagi komprehensif, dengan melaksanakan sebanyak 59 insentif dan penambahbaikan sepanjang tempoh tersebut yang melibatkan peruntukan sejumlah 29 bilion ringgit pada tahun pelaksanaannya, demi menjaga kepentingan serta kebajikan para penjawat awam, supaya dapat berkhidmat dengan cemerlang, lagi bertaraf dunia.

33. Malah, hasil gandingan mantap Perkhidmatan Awam dengan Kerajaan, telah menyaksikan pada tahun lalu, pertumbuhan KDNK negara telah mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, yakni merupakan antara yang tertinggi di dunia.

34. Seterusnya, agensi penarafan antarabangsa Moody's, Standard & Poor, Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A pada tahun 2017.

35. Selain itu, berdasarkan Indeks Daya Saing Global (GCI) 2017-2018 pula, telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara ke-23 paling berdaya saing daripada 137 negara di dunia.


Tuan-tuan dan Puan-puan,

37. Sesungguhnya lagi, Perkhidmatan Awam Malaysia juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Antaranya, menerusi program NBOS pada Global Entrepreneurship Award atau GEC yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu, di mana kita telah terpilih sebagai penerima ‘Global Blue Ocean Shift Awards’. 

38. Terkini lagi, kira-kira 4 hari lalu, iaitu pada 28 Mac 2018, Syarikat Aramco, milik Kerajaan Arab Saudi telah menyuntik 7 bilion dolar Amerika atau berjumlah hampir 30 bilion ringgit dana pelaburan ke negara ini, dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

39. Atas semua kejayaan yang telah kita capai bersama ini, saya ingin bertanya, siapa kata kita negara yang gagal atau A Failed State?

40. Setahu saya, yang dikatakan gagal itu adalah, apabila bina ‘terowong tak siap-siap’,… bila berlaku masalah banjir (Pulau Pinang), tapi minta bantuan kita dan penjawat awam jugalah yang kena selesaikan. Jika itu tidak dikira gagal, nak cakap apa lagi?
41. Ini tidak termasuk yang terbaru, hampir 10 tahun dah perintah negeri (Selangor), tapi ‘masalah air terawat pun tak selesai-selesai’. Itulah yang gagal sebenarnya. Sehinggakan ada orang mengatakan di negeri itu, ‘pemimpin dapat undi, rakyat pula dapat baldi’.

42. Itu belum kira ada ‘pemimpin utama pembangkang’ (Lim Guan Eng) dari sebuah negeri di utara Semenanjung, sanggup mempergunakan institusi pendidikan, untuk tujuan politik dan ‘terkinja-kinja’ menyanyi lagu anti GST di hadapan kanak-kanak bagi menyemai kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan.

43. Biarlah dia dengan ‘perangai macam tu’, tetapi kita di pihak Kerajaan, akan terus berusaha memperkasa dan memartabatkan institusi pendidikan di negara ini dan juga kepada golongan pendidiknya.

44. Maka sebab itu, saya ingin menyampaikan, Pengumuman Kedua iaitu : Mewujudkan Lapisan Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.

45. Di sini, Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan satu gred lapisan kenaikan pangkat baharu iaitu Gred DG56 kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, yang telah berada lebih daripada 5 tahun di Gred 54, dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

46. Pewujudan lapisan Gred DG56 ini akan memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai, dengan implikasi kewangan sebanyak 7.4 juta ringgit mulai 1 Januari 2019.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

47. Menyebut tentang Prinsip-Nilai ketiga pula ialah Kawan Setia lagi Utama. Sebetulnya, para penjawat awam ini sangat dekat di hati saya. Malah, sepanjang lebih 40 tahun terlibat dalam politik dan pentadbiran Kerajaan, saya banyak dibantu dan didokong kuat oleh warga penjawat awam.

48. Pada hemat saya, para penjawat awam bukan sekadar kakitangan Kerajaan semata-mata, malah mereka boleh diumpamakan sebagai sahabat dan kawan setia lagi utama kepada pihak Kerajaan.

49. Bak kata petikan lirik lagu kawan setia oleh Datuk DJ Dave;

Kawan yang setia ibarat cahaya,
Menjadi penerang masa kegelapan,
Dia tak tergamak biarkan engkau sendiri,
Nasib mu pasti akan dibela.

50. Apa yang penting, Kerajaan akan terus membela nasib ‘kawan setia’nya iaitu, para penjawat awam sekalian. Lalu pula, saya ingin memberitahu Pengumuman Ketiga: Pemanjangan Kemudahan Perubatan Kepada Ibu Bapa Bagi Pegawai Lantikan Kontrak atau Contract of Service Warganegara.


51. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak atau contract of service warganegara, yang akan memberi faedah kepada ibu bapa 42,867 pegawai. Ianya berkuatkuasa pada 1 Julai 2018.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

52. Berlainan dengan pakatan Pembangkang, yang kononnya ingin menjadi alternatif, bagi menggantikan Kerajaan Barisan Nasional, tetapi telah mengguris hati para Penjawat Awam dengan beberapa kenyataan yang tidak sepatutnya mereka nyatakan.

53. Contohnya, melalui Penang Institute, badan di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pada 22 Oktober 2016 lepas, telah mencadangkan supaya kakitangan penjawat awam dikurangkan kepada 430,000 ketika menganalisa Bajet 2017. Ini bermakna, sebanyak 1.2 juta para penjawat awam akan ditamatkan perkhidmatan dan hilang mata pencarian serta merta. 

55. Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin utama dari Parti ‘Bunga Raya’ (Mukhriz Mahathir), telah membuat kenyataan, mahu memecat semua Pegawai Tertinggi dalam Kerajaan hari ini, sekiranya parti itu memerintah selepas Pilihanraya Umum Ke-14. rujuk :

56. Lebih menyedihkan, saya berasa sungguh kecewa, apabila terdapat pemimpin pembangkang yang tergamak memperlekeh dan menghina para penjawat awam sebagai ‘kucing Kurap’.

57. Tetapi, tuan-tuan dan puan-puan, biarlah mereka ‘berperangai macam tu’, namun, apa yang pasti,… pada hari ini, Barisan Nasional sebagai sebuah Kerajaan yang sentiasa prihatin dalam menjaga untung nasib warga penjawat awam,…

Maka sukacitanya saya membuat Pengumuman Keempat pula iaitu, sumbangan dana kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia atau CUEPACS, sebanyak 1 juta ringgit.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

58. Berhubung tentang 10 janji Seratus Hari pakatan Pembangkang yang ‘populis’ tetapi tidak realistik pula, apa yang memelikkan saya adalah, macam mana mereka boleh terfikir untuk menghapuskan GST, tol, duti eksais dan PTPTN dalam Manifestonya?

59. Kerana, jikalau benar pun itu yang mereka ingin lakukan, Malaysia dijangka bakal kehilangan hasil negara sebanyak 416.6 bilion ringgit. Ini adalah janji yang sangat tidak masuk akal sama sekali, dan boleh membawa negara menjadi bankrap jika betul ia mahu dilaksanakan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

60. Pada perspektif lain, Kerajaan sememangnya menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini. Atas sebab itu, maka Pengumuman Kelima ialah: Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Keagamaan.

61. Dalam Bajet 2018, Kerajaan telah meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod selama 7 hari bagi tujuan umrah kepada penjawat awam beragama Islam. Lantaran itu, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada penjawat yang bukan beragama Islam, bagi menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing, tertakluk kepada maksimum tujuh hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Ianya berkuat kuasa mulai Januari 2018.

62. Lanjutan itu, Kerajaan juga sedang dan telah melaksanakan pembangunan infra-rakyat seperti projek MRT fasa pertama, yang telah mencipta sejarah apabila berjaya disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan, hingga menjimatkan 2 bilion ringgit.

63. Manakala, bagi jajaran kedua MRT Sungai Buluh-Serdang-Putrajaya, yang sedang dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2022. Kita juga sedang merangka pembinaan jajaran ketiga di bawah Klang Valley MRT Project atau KVMRT.

64. Begitu dengan pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL, di sebelah Pantai Timur, yang akan menghubungkan dari Pelabuhan Klang hingga ke Tumpat, Kelantan.

65. Selain itu, Kerajaan juga sedang rancak menjayakan projek High Speed Rail atau HSR yang bakal menghubungkan dari Kuala Lumpur ke Singapura, dan projek lebuhraya Pan Borneo tanpa tol, dengan jarak lebih 2 ribu kilometer, di Sabah dan Sarawak, yang sudah pasti bakal menjadi game changer, selain membuka peluang dan merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi buat masyarakat di kawasan sekitarnya.

66. Pada konteks lain, bagi mewujudkan kebajikan yang berimbang di antara penjawat awam dan pesara Kerajaan saya ini menzahirkan:

Pengumuman Pesara Pertama : Kenaikan Kadar Pencen Tahunan Secara One-Off untuk Tahun 2018.

Sebagai pemberitahuan, setakat ini, faedah persaraan seperti pencen, ganjaran dan Gantian Cuti Rehat atau GCR yang diperuntukkan kepada pesara Kerajaan pada tahun 2018 sahaja, adalah sebanyak 24 bilion ringgit.

Justeru, bagi menjaga kebajikan pesara Kerajaan yang kini jumlahnya mencecah 800 ribu orang, maka Kerajaan bersetuju untuk memberikan sebanyak 1 peratus lagi kenaikan kadar pencen secara one-off mulai 1 Julai 2018 sehingga 31 Disember 2018, sebagai tambahan kepada 2 peratus yang diterima oleh pesara pada 1 Januari 2018.

Untuk makluman para penjawat awam, manfaat ini bakal diterima oleh semua pesara di seluruh Malaysia, malahan,... ‘pesara yang umurnya 93 tahun itu pun dapat juga’.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

67. Jika pada tahun 2017 lalu, saya telah menjadikannya sebagai Year of Delivery atau Tahun Penyampaian, maka pada tahun 2018 pula, saya berhasrat untuk menjadikannya sebagai Year of Success and Impressive Result atau Tahun Kejayaan dan Keberhasilan Yang Mengkagumkan.

68. Alhamdulillah, sebagai bukti, dalam Akujanji Kerajaan Barisan Nasional, melalui 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategik, setakat 28 Februari 2018 sahaja, kita telah berjaya mencapai 99.4 peratus pelaksanaannya.

MENDEPANI 3 CABARAN MASA DEPAN

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

69. Di zaman dunia kontemporari ini, kita sedang dan bakal berdepan dengan sekurang-kurangnya tiga cabaran.

70. Cabaran Pertama: Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital. Sesungguhnya, Ahli bijak pandai Greek ada menyebut, “the only constant is change” yakni, antara perkara yang pasti berlaku adalah perubahan.

71. Apatah lagi hidup di zaman abad ke-21 ini, di mana kita sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti era globalisasi, ekonomi digital, krisis ekonomi dan teknologi disruptif, kebanyakkannya dibawa oleh gelombang teknologi baharu yang kenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0.

72. Justeru, bagi mendepani era Digital Economy ini, Kerajaan telah berusaha untuk menjayakan Dasar Digital Malaysia, dan dengan pelancaran DFTZ, menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia di luar negara China, dijangka mewujudkan lebih 60 ribu peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu, khususnya kepada generasi muda.

73. Dalam konteks ini, para penjawat awam perlulah menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital ini, melalui pelaksanaan Kerajaan Digital sepenuhnya, bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada komuniti bisnes dan masyarakat. 

74. Malah, penjawat awam juga seharusnya meningkatkan kompetensi dan keupayaan masing-masing, supaya agensi Kerajaan boleh bertindak sebagai fasilitator perkhidmatan, dalam menambah baik keterhubungan atau connectivity.

75. Di sisi lain adalah, Pengumuman Pesara Kedua iaitu: Pemberian Geran Khas Kepada Persatuan Pesara Bagi Tahun 2018.

Sememangnya, Kerajaan mengambil maklum akan keupayaan persatuan-persatuan pesara Kerajaan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengaktifkan peranan pesara.

Bagi melancarkan perancangan aktiviti tersebut, maka Kerajaan bersetuju untuk memberikan geran khas sebanyak 1 juta ringgit kepada setiap persatuan pesara iaitu Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia atau KUPEKMAS.

76. Cabaran Kedua: Digital Government Competency And Capability Readiness (DGCCR). Tuan-Tuan dan Puan-Puan,… cuba kita bayangkan sektor awam yang mengguna pakai teknologi digital seperti cloud, mudah alih, media sosial dan Internet of Things atau IoT serta analisis data raya, yang mampu menambah nilai penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. Inilah antara realiti persekitaran kerja sebenar para penjawat awam, dalam Kerajaan Digital pada masa akan datang.

77. Selaras dengan itu, saya ingin menarik perhatian semua, supaya menyokong usaha Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA, dalam menyediakan para penjawat awam, bagi pelaksanaan Kerajaan Digital.
78. Buat masa ini, saya difahamkan, JPA sedang mempelopori Inisiatif Kesediaan Kompetensi dan Keupayaan Kerajaan Digital atau Digital Government Competency and Capability Readiness - DGCCR. Tahniah JPA, sila teruskan usaha proaktif tersebut!

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

79. Cabaran Ketiga: Melakar Aspirasi Transformasi Nasional 2050 atau TN50. Dalam amanat perdana MAPPA Ke-15 sekitar 6 bulan yang lalu, selain melancarkan buku Falsafah Asas TN50, saya telah mengupas enam falsafah dan garis besar haluan menuju TN50 antaranya untuk, merekayasa Malaysia menjadi sebuah negara maju yang mencapai keseimbangan, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.

80. Malah, bagi menyantuni golongan muda pula, pada 28 Februari 2018 yang lalu, saya telah melancarkan Kanvas Belia TN50, meliputi tujuh kategori aspirasi belia yang perlu diberikan perhatian bersama antaranya menyentuh tentang Masyarakat Yang Adil dan Kukuh, serta Tadbir Urus Yang Efektif dan Amanah.

81. Jadi, sekali lagi, saya menyeru kepada semua penjawat awam, untuk bersama-sama dengan Kerajaan, dalam melakar dan merealisasikan visi masa depan TN50, demi mencapai kegemilangan seperti yang didambakan.

82. Pada masa yang sama, kebajikan para pesara juga terus mendapat pembelaan daripada Kerajaan.

Di sudut ini, pengumuman Pesara Ketiga pula : Kuota Haji Untuk Persatuan Pesara Kerajaan.

Bagi memastikan pesara Kerajaan berpeluang untuk menunaikan fardhu haji bermula tahun 2018 dan seterusnya, maka saya bersetuju untuk menetapkan satu kuota yang akan diumumkan, selepas Kerajaan mendapat jumlah kuota yang diperuntukkan kepada negara Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.

PENUTUP

83. Sebagai menyimpulkan segalanya, saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan, seluruh warga penjawat awam, para pesara serta rakyat Malaysia sekalian,…

84. Sekiranya Kerajaan kini terus diberi mandat besar dalam PRU Ke-14, Penjawat Awam, jasa dan baktimu akan terus tersanjung tinggi,…

85. Lantaran itu, memandangkan Wala’ dan sifat kesetiaan yang ditunjukkan oleh warga penjawat awam kepada pihak Kerajaan selama ini,… maka ‘buah tangan teristimewa’ yang dinanti-nanti pada majlis ini, sudah pun tiba jua akhirnya,…

86. Lalu, bagi menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai ‘kawan setia’ kepada pihak Kerajaan,… saya berbesar hati mengumumkan,…

Pemberian Kenaikan Gaji Bersamaan Satu (1) Kenaikan Gaji Tahunan.

87. Maksudnya di sini, Kerajaan bersetuju dengan pemberian kenaikan gaji bersamaan amaun 1 KGT kepada semua penjawat awam yang berjumlah 1.6 juta, dengan tambahan implikasi kewangan sebanyak 1.46 bilion ringgit berkuat kuasa mulai 1 Julai 2018.

Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan 1 lagi KGT disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.

88. Atas segalanya,… seperti dimadah orang Melayu dulu-dulu,…

Buah sebakul dibawa bonda,
Letak di para sama dikongsi,
Walau dipukul ribut melanda,
Kawan setia tetap di sisi.

89. Lantas dengan itu, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,…

Marilah kita semua bersatu hati,…
Kita gantung azam,… semangat dan cita-cita yang tinggi,…
Setinggi bintang Kejora di langit pagi,…

Tanamkan dalam hati nubari bahawa,…

Kitalah kawan setia Kerajaan,…
Kitalah pendokong utama negara,…


Tidak bisa mungkin kita lepaskan pada pembangkang yang bagai api dalam sekam,…
Telunjuk kononnya lurus, namun kelingking berkait,…

Walau apapun,…

Biar diasak bertubi-tubi, ‘pemimpin luput di langit 
senja’,…

Takkan kita biarkan walau lumat kita digiling,..
Walau hancur kita ditumbuk,…
Penjawat Awam terus kita perjuangkan maruah dan kepentingannya,…

Kerajaan ini tetap dipertahankan,…!!!
Negara Malaysia pasti kita julang,…!!!

Dengan doa dan harapan,… semoga Allah merahmati pertiwi bertuah ini,…

Negaraku,… Malaysia!
Negaraku,… Malaysia!

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.
Ucapan Penuh Perdana Menteri Dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke16 Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 4 April 2018
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...