Friday, 2 March 2018

Senario Calon Muda PRU14 #PRU14

Parti baru, calon muda dan cabaran dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam satu perbincangan meja bulat yang telah dianjurkan oleh Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara pada minggu lalu,suka untuk penulis memetik kenyataan oleh Profesor Ulung, Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin menyatakan bahawa pilihanraya umum yang ke 14 nanti adalah merupakan pertandingan merebut undi Melayu yang semakin sengit dan bukannya berdasarkan ideologi lagi. 

Kenyataan ini pada pandangan penulis sendiri ada asasnya dimana pilihanraya umum pada kali ini bolehlah dianggap sebagai paradigma baru dalam suasana politik negara dan perebutan paling hebat  yang berasaskan kepada perebutan untuk mendapatkan undi Melayu yang bakal direbut oleh 5 parti iaitu UMNO, PAS, PKR, AMANAH dan PPBM. 

Tidak dapat dinafikan juga pilihanraya umum pada kali ini sebenarnya adalah merupakan satu percubaan untuk melihat “formula baru” perkongsian kerjasama politik yang cuba ditiru oleh Pakatan Harapan dari Barisan Nasional kerana kemunculan PPBM yang cuba bertindak sebagai “parti Melayu ala UMNO” yang cuba ditonjolkan dalam gabungan pakatan pembangkang. Samada ianya berjaya atau tidak itu sudah pasti akan ditentukan melalui keputusan yang akan ditentukan oleh rakyat yang sudahpun memilih dan berdaftar untuk menjadi pengundi pada pilihanraya umum akan datang. Walaupun begitu, pilihanraya umum pada kali ini adalah merupakan ujian getir kepada  sebuah parti baru PPBM untuk melihat sejauh manakah sokongan yang bakal diperolehi. 

Pada pandangan penulis, fokus sokongan pengundi sudah pasti terarah kepada dua parti Melayu yang mempunyai sokongan dari akar umbi yang kuat seperti UMNO dan PAS sambil tidak mengenepikan sokongan yang bakal diperolehi oleh parti-parti serpihan seperti AMANAH dan PPBM yang akan menentukan hala tuju dan perjalanan kedua-dua parti tersebut.  Tambah Profesor Ulung, Profesor Dr Shamsul Amri Baharuddin lagi, faktor penentu kemenangan dalam pilihanraya Umum yang akan datang nanti adalah bergantung kepada sejauhmana kekuatan akar umbi yang dimiliki dan dalam hal ini, sudah pastilah UMNO dan PAS akan bersaing sesama sendiri untuk menentukan siapa yang paling kuat dan hebat.    

Selain itu, pilihanraya umum yang akan berlangsung nanti menyaksikan satu senario baru dimana hampir kesemua parti-parti politik yang ada di dalam negara ini sudah menyatakan keazaman untuk meletakkan calon muda pada pillihanraya umum yang akan datang. Tidak kira samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang,keazaman yang ditunjukkan oleh parti-parti ini untuk meletak calon muda adalah satu langkah kehadapan dalam melihat proses transformasi politik yang akan berlaku dalam negara ini. PAS umpamanya telah menyatakan sebanyak 40 peratus daripada calon-calonnya adalah terdiri daripada golongan muda dan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO turut menyatakan nada yang sama iaitu dengan meletakkan calon muda dan berpengalaman untuk bertanding pada pilihanraya umum yang akan datang. Tidak terkecuali, parti-parti dominan yang lain dalam Barisan Nasional seperti MCA dan MIC turut sama menyatakan keazaman untuk meletakkan calon muda sebagai calon yang bakal mewarisi mereka.  

Pilihanraya umum yang ke 14 yang akan diadakan nanti sebenarnya adalah merupakan manifestasi kepada sejauhmana keazaman parti-parti politik dominan ini mengubah lanskap politik dalam negara ini. Berdasarkan prestasi terdahulu,Barisan Nasional harus mengakui bahawa kehilangan undi popular yang diperolehi pada pilihanraya umum yang ke 13 yang lalu sebagai satu isyarat dan “wake up call” agar melakukan suatu anjakan paradigma supaya terus kekal berkuasa. 

Faktor pertambahan pengundi baru yang berjumlah 11 peratus dalam senarai terkini pengundi yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya perlu dijadikan indikator penting dalam merangka strategi untuk memenangi pertandingan pada kali ini. Keazaman pihak Barisan Nasional untuk memenangi kembali hati pengundi pada pilihanraya umum yang akan datang telah dibuktikan melalui kejayaannya untuk mengotakan janji dalam manifestonya sebanyak 97 peratus. Ianya harus dilihat sebagai satu kejayaan terhadap kemampuan dan keupayaan Barisan Nasional untuk terus kekal berkuasa dan memberikan sesuatu yang berfaedah kepada pengundi mereka secara khususnya dan kepada rakyat secara amnya.

Justeru, dengan melihat kepada perkembangan situasi politik baru ini adalah penting bagi rakyat yang telah berdaftar sebagai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan parti mana yang sepatutnya dipilih untuk menjadi kerajaan. 

Sebagai sebuah negara yang aman dan sejahtera, hanya melalui pilihanraya sahajalah rakyat berpeluang untuk menggunakan hak masing-masing untuk berpartisipasi dalam meraikan semangat demokrasi supaya ianya kekal dan subur di negara ini.

 Dr.Achmad Dzariean bin Mohd Nadzri ialah Felo Penyelidik di Institut Kajian Politik Malaysia,(UUM MAPAN) UUM Sintok.  


Senario Calon Muda PRU14 #PRU14 Daeng Selili Rating: 5 Friday, 2 March 2018
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...