Wednesday, 7 March 2018

Perkhidmatan Rel Bandar Kian Popular #SPAD

Para pengguna pengangkutan awam darat di Lembah Klang telah menyambut baik usaha – usaha yang telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkembangkan rangkaian perkhidmatannya. 

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sha atas maklum balas pengguna sewaktu sidang taklimat kepada pihak media pada selasa lepas. Ini berdasarkan kepada statistik, yang jelas memperlihatkan peningkatan jumlah penumpang harian bagi pengangkutan rel dan bas di Lembah Klang pada tahun lalu. 

Mohd Azharuddin Mat Sha (tengah)
Untuk tahun 2017, sebanyak 3.7 peratus kadar peningkatan yang melebihi daripada tahun 2016 di mana seramai 1,206,111 telah menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel dan bas pada tahun 2017 berbanding 1,162,717 pada tahun 2016. 

Namun demikian terdapat bacaan yang menurun seperti KTM Komuter, Monorel dan Bas. Untuk KTM Komuter peratusan jumlah penumpang harian yang menggunakan perkhidmatan ini telah menurun sebanyak 14.5 peratus. Perkara ini disebabkan oleh kerja – kerja pembaikpulihan trek berganda Lembah Klang (KVDT). Manakala bagi penumpang harian monorel, penurunannya adalah sebanyak 23.5 peratus. Hal ini kerana langkah – langkah pengurangan gerabak. Bagi penumpang bas harian, penurunan sebanyak satu peratus kerana ramai pengguna beralih kepada penggunan MRT dan perkhidmatan e-hailing. 

Angka – angka dan data – data statistik jumlah pengguna perkhidmatan rel bandar ini dijangka akan berubah lima tahun akan datang setelah MRT Line 2 Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi pada tahun 2022, ujar Mohd Azharuddin. 

Beliau juga memaklumkan bahawa, ketika ini kerja – kerja pembinaan sudah sampai ke tahap 20 peratus. Jajaran baru ini membabitkan 35 stesen dan 11 daripadanya mempunyai kesalinghubungan dengan stesen tren lain, termasuklah High Speed Rail (HSR) Kuala Lumpur – Singapura di Stesen MRT Bandar Malaysia. 

Mohd azharuddin juga memaklumkan bahawa, para pengguna boleh menggunakan perkihdmatan LRT 3 Bandar Utama – Kelang yang mempunyai 26 stesen menjelang tahun 2021 yang mana pembinaannya telahpun bermula pada pertengahan tahun lalu. 

Terminal Komuter KTM yang menghubungkan penumpang dari KL Sentral ke Terminal Subang Skypark di lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah akan turut dibina. Perjalanan ini hanya memakan masa 28 minit. Terminal Subang Skypark ini akan mula dibuka kepada orang awam pada suku kedua tahun ini. 

Perkhidmatan BRT Sunway yang mempunyai 7 stesen telah mencatatkan peningkatan dalam jumlah penumpang harian, ujar Mohd Azharuddin. Ianya telah meningkat sebanyak 34.6 peratus dari 5,382 kepada 7,244 tahun lalu. Manakala penumpang harian ETS telah meningkat sebanyak 14.2 peratus daripada 17,367 pada tahun 2016 kepada 19,835 pada tahun 2017.
Perkhidmatan Rel Bandar Kian Popular #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 7 March 2018
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...