Thursday, 23 November 2017

SPAD Tingkatkan Aktiviti Penguatkuasaan Sempena Musim Cuti 2017 #SPAD

Musim Perayaan mestilah menjadi kenangan manis dalam kehidupan terutama yang telah berkeluarga bilamana waktu cuti sekolah inilah masa sesuai untuk para ibubapa meluangkan masa berharga bersama ahli keluarga tercinta.

Oleh kerana itu sikap memandu dengan berhati hati dan rancang perjalanan pulang ke kampung atau bercuti dengan baik untuk mengelakan kejadian kejadian yang tidak diingini berulang.

Pihak berkuasa hanya mampu untuk membuat pemantauan dan kesediaan awal yang terbaik sahaja selebihnya ada para pengguna jalan raya itu sendiri.

Gambar File PDRM

KENYATAAN MEDIA 

SPAD MENINGKATKAN AKTIVITI PENGUATKUASAAN SEMPENA MUSIM CUTI SEKOLAH, PERAYAAN KRISMAS DAN TAHUN BARU 2018 KUALA LUMPUR, 

23 NOVEMBER 2017 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan sempena musim cuti sekolah, musim Perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru 2018. 

Sehubungan dengan itu, aktiviti penguatkuasaan 24 jam bersepadu dengan kerjasama PDRM, JPJ, AADK dan Pihak Penguatkuasa Lebuhraya akan dijalankan bermula dari 23 sehingga 26 November 2017 selama empat hari dan operasi Perayaan Krismas serta Tahun Baru 2018 yang akan dilaksanakan bermula pada 22 Disember 2017 sehingga 2 Januari 2018. 

Melalui hasil operasi yang dijalankan selama 10 hari ketika musim perayaan Deepavali 2017 pada 12 sehingga 22 Oktober 2017 yang lalu, sebanyak 313 kesalahan telah dikenal pasti dan tindakan selanjutnya telah diambil ke atas pengendali serta pengusaha yang terlibat. Antara usaha berterusan yang turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bagi menangani isu pengendali dan pemandu yang melanggar undang-undang atau peraturan adalah termasuk: audit penguatkuasaan terhadap rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran bagi pengendali yang berisiko tinggi, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan CCTV di Pusat Operasi Lebuh raya. 

Pegawai penguatkuasaan SPAD juga akan meronda lokasi-lokasi di pusat bandar, berhampiran pusat membeli-belah dan terminal-terminal bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap aktiviti ulat tiket. Ini termasuk, pemeriksaan kaunter-kaunter tiket dan dokumen-dokumen juga akan dilakukan di terminal-terminal bas. Suruhanjaya juga telah bertemu pengendali bas ekspres bagi memberikan peringatan kepada mereka untuk sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya melalui penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD (ICOP) serta peraturan keselamatan pada setiap masa. 

Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang yang sepenuhnya terhadap pengendali yang didapati cuai di dalam pengurusan operasi. Ini merangkumi aspek keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan kenderaan. Bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan, lesen pengendali syarikat bas boleh digantung atau dibatalkan. 

Di dalam kes-kes berat pula, keseluruhan kumpulan kenderaan milik syarikat bertanggungjawab boleh digantung sementara menunggu audit keselamatan dijalankan dan sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran syarat, tindakan perundangan atau pentadbiran akan diambil. 

Orang ramai juga dapat memainkan peranan dengan melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan oleh pengendali kepada SPAD melalui hotline 24-jam SPAD di 1-800-88-SPAD (7723), menerusi emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD. Penumpang bas ekspres juga boleh memuat turun aplikasi MeterOn bagi telefon pintar iOS dan Android yang membolehkan mereka menyemak status syarikat bas ekspres atau terus melaporkan sebarang kesalahan.
SPAD Tingkatkan Aktiviti Penguatkuasaan Sempena Musim Cuti 2017 #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 23 November 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...