Friday, 7 July 2017

DAP Tidak Sistematik Seperti MCA #MCA

Kaitkan MCA dan Gerakan, isu CEC DAP masih belum selesai

Isu Central Executive Committee (CEC) dalam DAP dari tahun 2012 masih belum selesai. Namun, Lim Kit Siang menggunakan isu ini dengan mengeluarkan kenyataan kepada MCA dan Gerakan agar tidak terlalu seronok dengan isu yang melanda DAP ini. Kenyataan ini telah dikeluarkan di akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily bertarikh 6 Julai 2017.

Kit Siang telah mendakwa jika DAP dibatalkan pendaftarannya MCA dan Gerakan akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Namun, tiada sebarang ulasan mahupun komen keluar dari pihak MCA dan Gerakan mengenai isu ini.

Seharusnya DAP perlu menyelesaikan kemelut yang melanda parti tersebut dan bukan cuba melibatkan parti lain terutamanya parti komponen BN. Seperti satu agenda apabila DAP mengatakan MCA dan Gerakan akan kalah teruk pada PRU-14 sekiranya DAP dibatalkan pendaftarannya kerana siasatan oleh ROS terhadap DAP adalah kerana wujud dakwaan penyelewengan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri semasa pengundian pemilihan CEC. Yang pastinya tiada kaitan langsung dengan pemimpin MCA mahupun Gerakan.

Tambahan lain isu ini menjadi lagi janggal dan pelik apabila DAP menyatakan bahawa MCA dan Gerakan akan kalah teruk dalam PRU-14 kerana undi simpati ke atas DAP. Isu CEC DAP ini berlarutan semenjak dari sebelum PRU-13 dan masih lagi tidak dapat diselesaikan hingga kini. Isu ini timbul semula oleh pemerintah diktator DAP juga. Mungkin ini adalah satu taktik murahan untuk DAP guna semasa PRU-14 yang akan datang.

Info untuk pembaca, MCA telah memenangi 7 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN manakal Gerakan memenangi 3 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN pada PRU-13.


Kemaskini 6:00PM:


KENYATAAN MEDIA

YBHG. DATO’ MOHAMMAD RAZIN BIN ABDULLAH
PENDAFTAR PERTUBUHAN MALAYSIA
MENGENAI STATUS PEMILIHAN SEMULA CEC PARTI DAP

07 JULAI 2017

PUTRAJAYA


Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh beberapa orang pemimpin DAP mengenai status pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang telah diadakan pada 29 September 2013 dan juga kenyataan yang telah diberikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri pada 3 Julai 2017, yang menyebut bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan berhubung dengan isu yang dibangkitkan tersebut.


Dalam hal ini, saya telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri dan beliau telah menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), hendaklah berlandaskan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan Parti DAP itu sendiri.


Ingin ditegaskan di sini bahawa pihak JPPM menganggap bahawa Parti DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini pihak JPPM tidak berniat sama sekali untuk membatalkan Parti DAP. Bersabit dengan aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan terhadap proses-proses pemilihan semula CEC DAP yang dijalankan pada 29 September 2013, pihak JPPM berpendirian bahawa pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula ini, adalah tidak sah dari segi undang-undang. Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 iaitu yang melibatkan seramai 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan.


Justeru, JPPM mengambil pendirian supaya pihak Parti DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC yang baharu yang sah dan telus bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 orang anggota CEC yang sah dan diiktiraf. Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP. Ini amat penting di sisi undang-undang memandangkan pelantikan bagi jawatan utama parti mempunyai peranan yang penting sebagai wakil parti yang mempunyai autoriti untuk menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihanraya yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihanraya.


Sehubungan dengan itu, JPPM ingin menegaskan bahawa arahan akan dikeluarkan kepada pihak DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu untuk memilih 20 orang anggota yang sah, berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan ini diiktiraf oleh JPPM.

#TAMAT#

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
Kementerian Dalam Negeri
7 Julai 2017

DAP Tidak Sistematik Seperti MCA #MCA Daeng Selili Rating: 5 Friday, 7 July 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!