Monday, 1 May 2017

Kerajaan Beri RM70 Juta Kepada Perkeso

Kerajaan Setuju Beri RM70 Juta Kepada Perkeso Untuk SIP Pada 2018 - Najib

PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memperuntukkan RM70 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso ) untuk tujuan pembayaran faedah kewangan Sistem Insurans Perkerjaan (SIP) pada tahun depan.

Ketika menyentuh lonjakan transformasi pekerja yang bertujuan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial dalam ucapannya pada sambutan Hari Pekerja 2017 di sini hari ini, beliau turut mengumumkan kerajaan bercadang memperluaskan liputan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri secara berperingkat kepada kategori pekerjaan tidak formal seperti nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja dan penggiat seni.

Buat permulaan, katanya, skim tersebut, yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2017, akan memberi perlindungan kepada kira-kira 100,000 orang yang terdiri daripada para pemandu teksi yang bekerja sendiri dan individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti Uber dan GrabCar mulai 1 Jun tahun ini.

Najib berkata bagi memastikan kira-kira 6.5 juta pekerja swasta tempatan sedia ada di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sentiasa terbela dan dilindungi, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan SIP.

"Melalui SIP ini, pekerja (yang kehilangan mata pencarian) akan mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara hidup diri dan keluarga dalam tempoh tertentu semasa mencari pekerjaan baharu," katanya.

Selain bantuan kewangan, pekerja yang kehilangan mata pencarian juga akan diberi sokongan perkhidmatan pekerjaan, yang meliputi bantuan carian kerja, pemadanan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan latihan kerjaya untuk mendapatkan pekerjaan baharu, katanya.

Bagi melaksanakan SIP, kerajaan sedang memperhalusi draf Rang Undang-Undang SIP bagi pembentangan pada sesi Parlimen akan datang, katanya.

Najib berkata kutipan caruman akan dilaksanakan mulai Januari 2018 dan pemberian faedah kewangan dijangka dibuat mulai Januari 2019.

Tegas perdana menteri, SIP merupakan langkah jangka panjang yang bukan sahaja bertujuan untuk membantu golongan pekerja yang terjejas tetapi turut berupaya mengekal dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan, terutama jika berlaku kegawatan.

"SIP ini ibarat pepatah Melayu 'sediakan payung sebelum hujan'," katanya, sambil menyeru semua pihak khususnya majikan untuk menyokong pelaksanaan SIP.

Najib berkata sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan warga pekerja, peruntukan RM52 juta disalurkan kepada Perkeso dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Katanya pada pembentangan Bajet 2017, beliau mengumumkan geran pelancaran sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan Skim Bencana Kerja untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan aktiviti dan seumpamanya, dan skim itu ditadbir urus melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Melalui skim itu juga, katanya, orang berinsurans yang menjalankan pekerjaan sendiri akan dilindungi sekiranya berlaku kemalangan semasa bekerja atau mengalami penyakit berkaitan pekerjaan sebagaimana pekerja dalam sektor formal.


Kerajaan Beri RM70 Juta Kepada Perkeso Daeng Selili Rating: 5 Monday, 1 May 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!