Thursday, 12 January 2017

Tipu Pelancong : SPAD Memulakan Tindakan Perundangan #SPAD

KENYATAAN MEDIA



SPAD MEMBATALKAN LESEN PENGENDALI TEKSI DAN PERMIT KENDERAAN, SERTA MEMULAKAN TINDAKAN PERUNDANGAN TERHADAP PENGENDALI

Kuala Lumpur, 11 Januari 2017 – Berikutan siasatan terhadap aduan pelancong yang telah dikenakan tambang RM800 oleh seorang pemandu teksi bagi satu perjalanan daripada KLCC ke Masjid Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membatalkan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan pemilik teksi yang terbabit. SPAD juga akan memulakan tindakan perundangan terhadap pengendali terlibat. Sekiranya didapati bersalah, pengendali boleh dikenakan hukuman denda dan/atau penjara dan kenderaan terlibat boleh dilucutkan hak. Individu berkenaan juga turut disenarai hitamkan bagi menghalang individu tersebut daripada mendapatkan Lesen Pengendali pada masa hadapan. 

Pembatalan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan dilakukan kerana pengendali telah didapati mengingkari keperluan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), yang memperuntukkan hanya seorang pemandu sah yang berdaftar dengan SPAD sahaja dibenarkan memberikan perkhidmatan teksi dan juga mewajibkan penggunaan meter bagi menentukan tambang teksi bajet serta menyatakan keperluan pengeluaran resit bagi perjalanan. Tambahan pula, kedua-dua pemandu yang berdaftar di bawah Lesen Pengendali tersebut tidak memperbaharui Kad Pemandu mereka yang telah luput. Ini menunjukkan mereka tidak lagi berminat untuk menjadi pemandu teksi.

Ketika siasatan dijalankan oleh SPAD, pemegang Lesen Pengendali menyatakan bahawa kenderaan terbabit tidak berada di dalam milikannya dan sedang dipandu oleh individu berlainan. Walaupun begitu, kenderaan tersebut telah ditemui menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah disita oleh SPAD di bawah Seksyen 81 APAD. SPAD sebelum itu telah membuat laporan polis untuk mengesan pemandu teksi yang terbabit dengan kejadian penipuan penumpang ini.

SPAD ingin memberikan peringatan yang tegas kepada pemegang Lesen Pengendali supaya sentiasa mematuhi keperluan pelesenan dan tidak melanggar undang-undang. Demi meningkatkan mutu perkhidmatan teksi negara, Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang mengingkari peraturan dan mengambil kesempatan ke atas penumpang.

Tamat.


Kisahnya Dua pelancong Perancis dikenakan tambang RM800 tidak masuk akal oleh seorang pemandu teksi bagi perjalanan kurang enam kilometer.

Pelancong dikenali sebagai Sarah dilaporkan mahu ke Masjid Negara dari KLCC namun dibawa ke melencong ke Putrajaya.

Hal ini membuatkan mereka tidak berpuas hati dengan perkara ini dan tindakan bijak diambil mereka adalah dengan membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Pudu, Kuala Lumpur. Mereka telah memberikan maklumat nombor pendaftaran teksi serta gambar pemandu teksi berkenaan.

SPAD yang diamanahkan untuk menjaga industri pengakutan awan ini dari sikap segelintir pemandu seperti ini dan ia jelas telah memburukkan imej negara ini dan tindakan perundangan amatlah wajar dikenakan terhadap pelaku sekiranya dibuktikan bersalah.

Difahamkan pemandu teksi itu dilaporkan tidak menggunakan meter tambang dan wanita berkenaan yang ketakutan akur membayar jumlah yang diminta lagaknya pemandu ini seperti samseng atau pembuli.

Teruskan usaha membenteras samseng seperti ini! Syabas SPAD!
Tipu Pelancong : SPAD Memulakan Tindakan Perundangan #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 12 January 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!