Saturday, 21 January 2017

SPAD Perkasakan Pasukan Penguatkuasa #SPAD

Menjelang musim perayaan yang bakal belaku di Malaysia pada tahun 2017 ini, SPAD mengambil langkah persediaan awal dalam mengukuhkan pasukan penguatkuasanya dalam agenda meminimunkan kadar salah laku para pengguna jalan raya memandangkan 66% faktor kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian manusia (Kajian MIROS).



SPAD kini menambah 41 lagi anggotanya yang telah tamat latihan kedalam barisan 343 anggota penguatkuasa yang sedia ada sekarang.

Mereka ini bukan hanya ditugaskan sewaktu musim perayaan sahaja malah bertugas sepenuh masa terutama diperlukan dalam operasi operasi yang melibatkan agensi lain seperti operasi sikap contohnya.

Usaha murni haruslah diberikan pujian kepada Pengerusi SPAD, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar Jaafar Albar yang begitu fokus dan memberikan komitmen beliau dalam mengawal sedia sistem pengangkutan awam darat di Malaysia, Terima Kasih dah Syabas.


KENYATAAN MEDIA 

41 PEGAWAI BARU BAGI MENGUKUHKAN PASUKAN PENGUATKUASA SPAD

Anggota penguatkuasa SPAD baru akan segera ditugaskan bagi operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina

SHAH ALAM, 20 JANUARI 2017 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari ini mengadakan majlis perbarisan tamat latihan bagi 41 anggota penguatkuasa SPAD baru di Kem Bumi Jati, Klang. Anggota ini akan menyertai barisan 343 anggota penguatkuasaan yang sedia ada.

Barisan anggota terbaru ini yang terdiri daripada pemegang ijazah dan diploma berumur di antara 23 dan 30 tahun telah menjalani kursus intensif selama 2 bulan yang merangkumi bidang perundangan, penguatkuasaan dan operasi, tatacara pemeriksaan dan sekatan jalan raya, siasatan dan pendakwaan, Kod Amalan Industri Keselamatan (SPAD ICOP Safety), etika penguatkuasaan dan ilmu beladiri. 

Majlis perbarisan hormat tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi SPAD, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar Jaafar Albar. Di dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar telah mengingatkan bahawa anggota penguatkuasaan SPAD memainkan peranan penting di dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.


Sebagai barisan hadapan yang mencerminkan imej SPAD di mata masyarakat, kesemua pegawai-pegawai penguatkuasa SPAD perlu sentiasa mengamalkan integriti dan disiplin yang tinggi.

Sehubungan dengan majlis perbarisan tamat latihan ini, Major Jeneral (B) Dato’ Paduka Che Hasni Che Ahmad, Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan telah menyatakan bahawa anggota penguatkuasa terbaru ini akan dikerahkan serta-merta bagi operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi. 

“Mereka akan ditugaskan di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya. Di samping itu, mereka akan menyertai Operasi Khas Tahun Baru Cina bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti JPJ, PDRM dan AADK bagi mengekang kejadian kemalangan jalan raya. Operasi akan bermula pada 21 Januari sehingga 5 Februari, termasuk penugasan anggota selama 24 jam pada 27 Januari sehingga 1 Februari 2017,” kata Dato’ Paduka Che Hasni.

Di antara tugasan anggota penguatkuasa SPAD pada musim perayaan ini termasuk pemeriksaan kaunter, pemantauan penjualan tiket dan ulat, pemeriksaan dokumen bas di terminal, pemantauan dan rondaan terhadap penggunaan meter teksi di pusat bandar, dan penyamaran di dalam bas ekspres. SPAD juga turut serta di dalam operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain bagi musim perayaan ini.

Daripada 2011 sehingga 2016, bahagian penguatkuasaan SPAD telah menjalankan 821,721 pemeriksaan ke atas Kenderaan Perdagangan, Kenderaan Pengangkutan Awam dan Kenderaan Pelancongan. Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 35,256 kes telah dikenalpasti, di mana tindakan perundangan telah dan sedang diambil ke atas pengendali dan pemandu terbabit. Pada tahun 2016, sebanyak 7,873 operasi telah dijalankan oleh bahagian penguatkuasaan SPAD. Adalah diharapkan dengan penambahan anggota penguatkuasa ini, pencapaian ini dapat dipertingkatkan lagi bagi mentransformasikan landskap pengangkutan awam darat negara.

SPAD turut memberikan peringatan kepada pengendali pengangkutan awam darat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi had laju di jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina ini. Memandangkan kajian MIROS menunjukkan bahawa 66% kemalangan serius jalan raya adalah disebabkan oleh faktor manusia, SPAD ingin menyarankan agar pengendali dan pemandu mengamalkan budaya keselamatan ketika berada di jalan raya. 

Orang ramai juga digalakkan membuat laporan terhadap pengendali dan pemandu yang tidak berhemah dan melanggar peraturan kepada SPAD melalui talian hotline 24-jam SPAD 1-800-88-SPAD (7723) atau emel kepada aduan@spad.gov.my atau Twitter kepada @aduanSPAD.

SPAD Perkasakan Pasukan Penguatkuasa #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 21 January 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!