Tuesday, 27 December 2016

#SPAD Siasat Pemanduan Bas Ekspres Secara Merbahaya!

KENYATAAN MEDIA SPAD MEMULAKAN SIASATAN TERHADAP DAKWAAN PEMANDUAN BAS EKSPRES SECARA BERBAHAYA 

(gambar sumber Utusan)

KUALA LUMPUR, 27 DISEMBER 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang didapati daripada Facebook yang dikongsikan oleh seorang pengadu mengenai perlakuan pemandu bas ekspres. 

Di dalam video yang dirakamkan oleh pengadu, pemandu dipaparkan telah menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika sedang bertugas. SPAD sedang mengambil langkah segera bagi memastikan kesahihan fakta bagi mengambil tindakan yang sewajarnya. Setelah menghubungi pihak-pihak yang terlibat semalam, Pegawai Penguatkuasa SPAD telah bertemu pengarah syarikat Aerosystem Tour & Travel (M) Sdn Bhd yang mengendalikan bas Mayang Sari tersebut dan pemandu yang terlibat pada jam 9.30 pagi hari ini bagi mengambil keterangan mereka dan mengesahkan maklumat seperti mana yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang. 

SPAD juga telah bertemu pengadu pada 4.30 petang hari ini bagi merakamkan keterangan rasmi. Rakaman video dan gambar yang diterima akan digunakan sebagai bahan bukti di dalam siasatan. 

Sekiranya siasatan mengesahkan bahawa individu terbabit telah membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain di bawah Seksyen 202, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), pemandu tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Jika didapati bersalah kerena merokok di dalam kenderaan pengangkutan awam darat, pemandu boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 203 APAD, di mana hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali. 

Sementara itu, pengendali boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22 dan 23 APAD atas kesalahan mengingkari syarat-syarat lesen mengenai keselamatan, yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali. 

SPAD juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang juga sedang menyiasat kes ini di bawah bidangkuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing. Lesen Pengendali SPAD mewajibkan pengendali bas untuk mematuhi keperluan di dalam Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP). 

Pengauditan berkala dijalankan bagi memastikan pematuhanan terhadap ICOP. SPAD ingin menekankan kepada pengendali dan pemandu yang didapati bersalah kerana melanggar syarat-syarat Lesen Pengendali, bahawa Suruhanjaya akan mengambil tindakan yang paling maksima yang dibenarkan di bawah undang-undang. 

Orang ramai yang telah mengalami atau menyaksikan perlakuan pemanduan berbahaya oleh pihak pengendali pengangkutan awam darat digesa membuat laporan melalui saluran aduan SPAD seperti hotline kami di 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD. SPAD memerlukan nama dan nombor telefon pengadu, tarikh, masa, tempat kejadian dan maklumat perjalanan (seperti gambar tiket daripada syarikat bas). 

Sebarang gambar atau rakaman video yang telah diambil pengadu dapat membantu SPAD di dalam menjalankan siasatan. 

- Tamat – 

Bagi sebarang pertanyaan media: 
Bahagian Komunikasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 
Tel : +603 2726 7000/Faks: +603 2726 7300 
Emel : communications@spad.gov.my




Pihak berkuasa hanya menjalankan siasatan dan tindakkan setelah laporan secara rasmi dibuat oleh pengadu, memuat naik di laman sosial tidak memberikan sebarang kesan kepada sikap dan kesalahan yang dilakukan oleh segelintir pemandu seperti insiden diatas malah ia memburukkan lagi pandangan umum terhadap perkhidmatan pengangkutan awam di negara kita.

Secara peribadi, admin suka disini menyatakan rakyat terutamanya pengguna perkhidmatan awam sewajarnya membantu pihak berkuasa contohnya SPAD ini untuk menyalurkan sebarang maklumat yang tepat dan memberi kerjasama yang baik untuk sebarang tindakkan yang menyalahi undang undang. 

Para pemandu dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam ini bukanlah bebas dari kesalahan akan tetapi amatlah wajar kita turut sama sama menjaga keselamatan dan keselesaan para pengguna yang lain.

Menurut sebuah sumber dari JPJ mengatakan, bagi pemegang PSV dan GDL memandu kenderaan perdagangan, teksi dan bas sekolah tidak dibenarkan menghisap rokok. Saman yang dikeluarkan adalah terkandung dalam Tata Kelakuan.

#SPAD Siasat Pemanduan Bas Ekspres Secara Merbahaya! Daeng Selili Rating: 5 Tuesday, 27 December 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!