Thursday, 22 December 2016

Laporkan Jika Tambang Bas Sekolah 2017 Tidak Musabah #SPAD

Kurang dari dua minggu dari sekarang akan bermula musim baru persekolahan bagi tahun 2017 dan bersempena dengan itu pihak ibubapa yang tidak berkesempatan untuk menghantar anak mereka ke sekolah akan menghadapi isu kadar harga tambang bas sekolah yang pastinya menjadi pertikaian diantara pihak ibubapa dan pengusaha bas tersebut.


Adakalanya pelbagai alasan akan diberi oleh kedua belah pihak untuk merasionalkan kehendak masing masing dan tidak terlepas juga turut menyalahkan pihak lain terutama kerajaan.

Disini dinyatakan Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai regulator dan penjaga hal ehwal berkaitan kenderaan dan polisi tambang mengambil bahagian dalam masalah ini dengan menjadi orang tengah.

Bagi pihak ibubapa penjaga pasti tidak akan bersetuju sekiranya caj tambang bas ini dinaikkan sewenang wenangnya.

Pihak SPAD telah pun menyerahkan perkara ini kepada kedua pihak , yakni ditangan ibubapa dan persatuan mereka serta pengendali bas untuk sama berunding secara realisik apakah kadar terbaik untuk kadar tambang perkhidmatan bas sekolah ini.


Peranan SPAD bagi perkara ini sebagai penentu sama ada kedua pihak ada pelanggaran persetujuan yang dicapai.

Sila baca lampiran berkenaan isu tambang bas sekolah yang dikeluarkan oleh Pihak SPAD :

Rabu, 21 Disember 2016

KENYATAAN MEDIA 

MAKLUMBALAS SPAD KEPADA CADANGAN PENGENDALI UNTUK MENINGKATKAN TAMBANG BAS SEKOLAH 

Kuala Lumpur, 20 Disember 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ingin merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkenaan tambang bas sekolah bagi tahun hadapan. 

Isu yang dibangkitkan ini kerap kali timbul sebelum bermulanya setiap musim persekolahan. Pada kali ini terdapat pengendali yang menyatakan bahawa penarikan subsidi diesel oleh Kerajaan telah meningkatkan kos operasi dan oleh itu kenaikan tambang perlu dilakukan. Mengikut pengamatan SPAD terhadap data yang dikumpulkan dahulu, pihak pengendali pernah juga memohon untuk meningkatkan tambang walaupun ketika subsidi minyak diesel masih diberikan oleh Kerajaan. 

Susulan itu, tambang bas sekolah telah diliberalisasikan pada tahun 2015 dengan syarat pihak pengendali perlu mendapatkan persetujuan pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru. Suruhanjaya berpendapat bahawa penetapan kadar tambang oleh kuasa pasaran, adalah satu pendekatan yang adil dan munasabah bagi masa hadapan industri. Setelah pendekatan liberalisasi tambang dilakukan, SPAD tidak lagi menerima sebarang aduan daripada ibu bapa mengenai kenaikan tambang yang melampau. 

Namun begitu, SPAD masih meneruskan proses interaksi dengan pihak pengendali untuk memberikan peringatan agar menghormati prinsip-prinsip yang mendorong liberalisasi tambang bas sekolah. Setelah menjalankan sesi interaksi mengenai isu kenaikan tambang baru-baru ini dengan tiga persatuan bas sekolah terbesar di Semananjung Malaysia, Pertubuhan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPPBSSM), Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) dan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Suruhanjaya akan mengadakan sesi interaksi susulan bersama industri bagi mengenal pasti jika perlu diadakan semakan semula terhadap amalan semasa dan bagi mengenal pasti rumusan yang lebih berkesan bagi menyelesaikan permasalahan tahunan ini. 

Sementara itu, pengguna perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (myCC) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, sebarang kejadian di mana pengendali bas sekolah didapati telah menetapkan harga yang tidak munasabah sebagai satu kartel. 

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan jumlah pengendali bas sekolah berlesen, SPAD sentiasa mengalu-alukan individu yang berminat untuk memohon lesen untuk menjadi pengendali bas sekolah. Pada masa ini terdapat lebih 10,000 pengendali bas sekolah berlesen yang melibatkan lebih daripada 16,800 bas sekolah di Semenanjung Malaysia. 

Selain daripada itu, SPAD juga telah mengadakan beberapa inisiatif bagi membantu industri bas sekolah seperti Skim Penggantian Bas Sekolah daripada Januari 2013 sehingga Disember 2014 untuk membolehkan pengendali bas menggantikan bas lama demi meningkatkan tahap keselamatan pelajar sekolah. Sebanyak RM18.5 juta telah dibayar kepada 213 pemohon melalui skim pinjaman khas pada kadar faedah rendah 2%. Kementerian Kewangan juga telah memperuntukkan dana bagi memberikan rebat RM10,000 bagi bayaran muka untuk membeli bas baru dan sebagai subsidi bagi pembayaran semula pinjaman khas tersebut. 

Pada 2013, SPAD telah memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Murid Sekolah bagi memberikan perlindungan insurans kepada pelajar apabila terjadinya kemalangan, termasuk apabila kenderaan digunakan bagi aktiviti yang diluluskan oleh pihak sekolah seperti rombongan dan aktiviti ko-kurikulum. Pada akhir November 2016, skim tersebut dianggarkan telah memberikan perlindungan insurans kepada 1.5 juta pelajar sekolah yang berumur diantara 7 sehingga 19 tahun, dengan pelaburan berjumlah RM14 juta. 

Suruhanjaya telah melaksanakan inisiatif liberalisasi tambang bas sekolah untuk membolehkan kuasa pengguna mendorong dan meningkatkan mutu perkhidmatan, melalui penetapan harga yang kompetitif dan dengan sekali gus akan membantu industri untuk kekal mampan. Oleh itu, SPAD menggalakkan semua pihak yang terlibat untuk mencapai satu keputusan yang adil dan saksama bagi semua. :-




Laporkan Jika Tambang Bas Sekolah 2017 Tidak Musabah #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 22 December 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!