Friday, 11 November 2016

KPDNKK Terengganu Serbu Kilang Pembungkusan Semula Minyak Masak #KPDNKK #CaringMinistry

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu merekodkan lapan kesalahan pemborong utama dan syarikat pembungkusan semula minyak masak yang tidak mengemas kini buku rekod barangan itu.

Pengarahnya, Azlan Abd Samat berkata, daripada jumlah itu, daerah Besut merekodkan empat kesalahan dan masing-masing dua kes di Dungun dan Kuala Terengganu.

"Sepatutnya, pemborong utama dan 'repacker' ini perlu membuat rekod keluar masuk jualan minyak masak namun mereka gagal melakukannya dan tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961).

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan KPDNKK Terengganu di tujuh syarikat pembungkusan semula dan dua pemborong utama minyak masak di seluruh Terengganu hari ini mendapati, bekalannya masih mencukupi untuk kegunaan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan operasi mengejut di dua premis iaitu di kawasan Kuala Terengganu dan di Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Operasi serentak di seluruh Terengganu melibatkan 110 pegawai penguat kuasa bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Persatuan Pengguna Negeri Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemborong yang mendapat bekalan terus dari kilang seperti Delima Oil (jenama Saji), Yee Lee dan Lam Soon (Buruh) juga terdapat 11 'repacker' yang membungkus minyak masak di seluruh Terengganu.

"Berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.15 juta orang, kuota yang diperuntukkan ialah mencukupi, iaitu sebanyak dua kilogram seorang atau isi rumah.

"Hasil pemeriksaan hari ini juga mendapati peniaga tidak menyorok dan memanipulasikan keadaan dengan menjual secara pasaran gelap sama ada dengan mengubah bentuk bungkusan dan dijual dengan harga yang lebih tinggi kepada mereka yang tidak layak," katanya.

Sekiranya pelanggaran berlaku semasa operasi, tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Seksyen 22, Pindaan 2015) akan diambil, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali dan bagi perbadanan pula RM3 juta.


Mengikut rekod, sepanjang November, KPDNKK Terengganu telah membuat pemeriksaan di tujuh repacker, pemborong primer (36), pengguna industri (50), pasar raya (lapan) dan 50 peruncit-peruncit terpilih. - Sinar
KPDNKK Terengganu Serbu Kilang Pembungkusan Semula Minyak Masak #KPDNKK #CaringMinistry Daeng Selili Rating: 5 Friday, 11 November 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!