Friday, 11 November 2016

KPDNKK Perak Sita Kilang Minyak Masak Berdepan Denda Sehingga RM5 juta #KPDNKK #CaringMinistry

IPOH, 10 Nov (Bernama) : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak hari ini menyita 100 tong minyak masak daripada sebuah kilang pembungkusan di sini kerana disyaki dibungkus dalam tong terpakai.

Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNKK Perak Mojtahidin Md Isa berkata semua minyak masak yang disita itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui kandungan tong sebelum ini.


"Hasil ujian tersebut dijangka diketahui dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di premis pengilang, pemborong dan pembungkus minyak masak sekitar Ipoh, hari ini.

Mojtahidin berkata kilang pembungkusan yang terletak di Jalan Lahad itu mempunyai rekod kesalahan lampau yang sama dan sekiranya didapati bersalah kali ini, bakal berdepan denda sehingga RM5 juta.

Penggunaan tong terpakai bagi membungkus minyak masak melanggar syarat lesen ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Mojtahidin berkata dalam operasi hari ini membabitkan 72 anggota penguatkuasa, 32 pemborong, tujuh pembungkus dan sebuah pengilang minyak masak diperiksa.

Katanya sehingga tengah hari tadi, pihaknya mengesan lima kesalahan termasuk pemborong gagal menyenggara buku stok barang kawalan, menjalankan urusniaga tanpa lesen sah dan disyaki menggunakan tong terpakai.

Beliau berkata KPDNKK Perak kini menggiatkan pemeriksaan ke atas pembungkus minyak masak di negeri itu bagi memastikan minyak masak bersudsidi dibungkus mengikut kuota ditetapkan.

"Pemeriksaan akan dibuat secara harian dan berkala di kesemua pengilang dan pembungkus minyak masak di negeri itu tetapi tumpuan kepada pembungkus," katanya.

Perak mempunyai tiga kilang serta 24 pembungkus minyak masak, termasuk tujuh di Ipoh. - BERNAMA
KPDNKK Perak Sita Kilang Minyak Masak Berdepan Denda Sehingga RM5 juta #KPDNKK #CaringMinistry Daeng Selili Rating: 5 Friday, 11 November 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!