Friday, 28 October 2016

Keretapi Tergelincir Jejas 12,000 Penumpang #KTMB #SPAD

Dilaporkan dari portal berita Agenda Daily:  


Kira-kira 12,000 penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) membabitkan 40 jadual perjalanan menerusi laluan Padang Besar-Kuala Lumpur Sentral-Gemas terjejas sepanjang hari ini berikutan sebuah gerabak kargo tergelincir di landasan di Kampung Bakap, Batu Gajah awal pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ridhwan Arshad berkata hampir keseluruhan tiket bagi semua perjalanan ETS dijual berikutan cuti sekolah bermula hari ini dan cuti Deepavali.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan ETS yang terjejas hanya membabitkan laluan Ipoh-Kampar sejauh 35 kilometer (km) berikutan kereta api kargo yang tergelincir mengambil masa yang lama untuk dialihkan serta perkhidmatan elektrik yang terpaksa ditutup sementara.

"Bagi penumpang ETS yang mahu ke arah Gemas, mereka akan transit di Stesen KTM Ipoh sebelum dibawa menaiki bas yang disediakan KTMB untuk ke Stesen KTM Kampar manakala bagi penumpang yang mahu bergerak ke arah Padang Besar, mereka akan transit di Stesen KTM Kampar sebelum dibawa menaiki bas ke Stesen Keretapi Ipoh bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

"Jika ada antara penumpang yang mahu membatalkan perjalanan, mereka boleh pergi ke stesen KTM terdekat untuk menebus semula pembelian tiket dan mereka juga boleh melayari laman web KTMB di www.ktmb.com.my dan menelefon pusat talian KTMB di talian 03-22671200," katanya pada sidang media di Stesen KTM Batu Gajah di sini sebentar tadi.

Sementara itu Ketua Operasi KTMB, S Mahendran berkata, setakat ini kerja-kerja pengalihan gerabak kereta yang tergelincir di lokasi kejadian sedang giat dijalankan. 

"Bagaimanapun kerja-kerja pemulihan itu mengambil masa 48 jam untuk membersihkan satu laluan landasan serta memerlukan masa yang agak lama untuk memulihkan semula perkhidmatan elektrik di laluan yang terbabit sebelum membuka semula laluan itu untuk perjalanan ETS seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, seorang daripada pemandu kereta api berkenaan berusia 46 tahun hanya mengalami cedera ringan manakala pembantunya berusia 23 tahun tidak cedera.

Katanya, polis bersama KTMB dan Bomba giat menjalankan kerja-kerja pemulihan dan siasatan terperinci berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

"Kita dalam usaha mencari punca terjadinya insiden kereta api berkenaan tergelincir dan siasatan mendapati insiden tidak membabitkan sebarang unsur jenayah," katanya.


Syukurlah, tiada kemalangan jiwa dilaporakn, akan tetapi pihak yang berwajib wajar menyiasat apakah punca kejadian ini memandangkan ETS kini menjadi pilihan kedua para pengguna perkhidmatan darat ini selain bas kerana ia dikategorikan pengangkutan darat yang paling selamat masa kini dan menjimatkan masa.

Diharap tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memburukkan lagi keadaan menyebarkan berita tidak sahih sehingga laporan penuh siasatan dikeluarkan.

Tidak lupa sekalung ucapan terima kasih kepada pihak Bomba dan penyelamat kerana bertungkus lumus dalam operasi pemulihan.

Keretapi Tergelincir Jejas 12,000 Penumpang #KTMB #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Friday, 28 October 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!