Tuesday, 28 June 2016

Teruskan Dasar Kerajaan, Perjuang Nasib Rakyat!

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bertekad meneruskan dasar kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata beliau akan memberi fokus kepada membela nasib rakyat di bandar bagi memerangi kemiskinan di bandar.


"Selama ini, saya berpengalaman di luar bandar sebagai Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani). Kali ini, saya tukar pula untuk pengalaman di bandar. Dalam tempoh agak singkat ini, saya tidak akan memperkenal dasar baharu sebaliknya teruskan apa yang dirancang oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan dan mungkin diubah suai sedikit sebanyak.

"Saya akan berbincang dengan beliau apakah dasar dan pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh mereka," katanya kepada pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini, hari ini.


Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikan itu sebagai tugas berat dalam mendepani keadaan ekonomi mencabar masa kini terutamanya yang membabitkan isu berkaitan kementerian itu.

"Inilah antara perkara yang saya perlu lihat secepat mungkin supaya kita boleh yakinkan rakyat bahawa negara ini akan terus berkembang maju dengan mengambil kira prinsip yang perlu ditekankan dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Johari turut melahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang sebelum ini memberikan beliau kebebasan dan fleksibiliti dalam kementerian berkenaan sehingga beliau yakin untuk memegang jawatan terbaharu itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S.K Devamany pula berkata pelantikan itu akan memberi peluang kepadanya memperkasa MIC bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

"Kita akan membantu rakyat seikhlasnya untuk mempertahankan kejayaan pada PRU ke-14. Itu akan jadi wadah MIC kerana sebagai timbalan presiden parti, saya akan berganding bahu dengan Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Presiden MIC) dan barisan majlis tertinggi untuk terus berkhidmat," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata beliau akan membantu Johari sebagai satu pasukan bagi memastikan dasar kewangan dan fiskal negara dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Teruskan Dasar Kerajaan, Perjuang Nasib Rakyat! Daeng Selili Rating: 5 Tuesday, 28 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!