Thursday, 23 June 2016

SPAD Cadang Halalkan UBER?! #UBER #GRABCAR #SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam cadangan Program Transformasi Industri Teksinya antara lain menjelaskan tentang perlunya membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Uber dan Grabcar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

"Cadangan itu bertujuan membenarkan dari segi undang-undang pola permintaan yang dipacu teknologi bagi mengawal selia perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) seperti Uber dan Grabcar, di samping menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi sedia ada agar mereka mempunyai peluang secara adil untuk terus berdaya saing," kata SPAD dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, SPAD juga mengesyorkan agar lesen baharu dikeluarkan kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod prestasi bersih bagi memupuk semangat keusahawanan di peringkat individu.

"Ia juga menyediakan opsyen keluar yang berdaya maju bagi pemandu teksi yang layak dan yang terbeban oleh model pajakan sedia ada," katanya sambil menjelaskan bahawa SPAD juga mencadangkan agar pemandu teksi diberi opsyen menggunakan lebih banyak model kenderaan.

SPAD berkata cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan itu menggariskan secara terperinci penyelesaian "untuk meningkatkan taraf kualiti perkhidmatan dan menggalakkan persaingan sihat dalam industri berkenaan."

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah dalam kenyataan itu berkata suruhanjaya berkenaan percaya bahawa "pengliberalan model teksi merupakan suatu kemestian dalam landskap industri berdaya saing yang ingin kami wujudkan untuk industri ini."

"Jelas sekali, pembaharuan ini serta perubahan berkenaan akan memberi kesan besar terhadap industri teksi kita. Sebaik sahaja mendapat kelulusan Kabinet, kami akan menyediakan butirannya bagi memastikan penyelesaian dilaksanakan dengan sewajarnya, dengan mengambil kira kerumitan yang dihadapi dalam melakukan peralihan itu," kata beliau.

SPAD berkata ia telah mengemukakan penyelesaian dicadangkan itu di bawah program berkenaan kepada Majlis Ekonomi dan mendapat maklum balas positif mengenainya.

"Suruhanjaya ini akan mengumumkan butiran penuh apabila tiba masanya dan menyasarkan Kabinet akan memberi kelulusannya Julai ini," kata kenyataan itu.

Sementara itu, SPAD memohon kerjasama semua pihak supaya bersabar bagi mengelak timbulnya kontroversi dan kekeliruan," kata kenyataan itu.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sabtu, 18 Jun 2016

KENYATAAN MEDIA

TRANSFORMASI INDUSTRI TEKSI KIAN HAMPIR
Penyelesaian akan menjurus kepada mewujudkan persaingan yang adil pada masa hadapan

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan yang memperincikan penyelesaian bagi meningkatkan tahap mutu perkhidmatan serta menggalakkan persaingan yang sihat di dalam industri teksi negara.

Makmal teksi yang telah dijalankan oleh SPAD pada Disember 2015, telah mengesahkan bahawa penyelesaian permasalahan di dalam industri teksi bukanlah satu tugas yang mudah dan adalah sukar bagi mendapatkan jawapan yang akan memuaskan kesemua pihak. Dengan itu, di dalam menyediakan cadangan kepada Kerajaan, Suruhanjaya telah mengambil pendekatan yang seimbang serta memberikan tumpuan kepada usaha memastikan dasar semasa, peraturan-peraturan dan keperluan-keperluan lain akan terus memacu persaingan yang adil bagi industri teksi di masa depan.

Cadangan yang dikemukakan turut menyentuh keperluan perundangan yang diperlukan untuk menangani permintaan yang dijanakan oleh teknologi semasa serta mengawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Uber dan Grab. Ianya juga bertujuan untuk memberikan kesamaan taraf di dalam medan persaingan yang adil di kalangan pemandu teksi agar mereka dapat kekal bersaing dengan sihat. Antara syor yang disarankan ialah pemberian lesen teksi individu baru kepada pemandu yang mempunyai rekod yang bersih untuk menggalakkan semangat keusahawanan di peringkat individu. Ia juga menyediakan pilihan yang munasabah bagi pemandu teksi yang berkelayakan, untuk keluar daripada belenggu sistem pajak. SPAD juga mencadangkan lebih banyak pilihan model kenderaan bagi kegunaan pemandu teksi.

“Suruhanjaya berkeyakinan bahawa langkah untuk meliberalisasikan model teksi adalah diperlukan bagi mewujudkan landskap industri yang kompetitif yang dapat memacu industri ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

"Jelas sekali pembaharuan dan perubahan itu akan memberikan kesan yang besar terhadap industri teksi negara. Sebaik sahaja menerima kelulusan Kabinet, kami akan membuat perincian untuk memastikan bahawa penyelesaian dapat dilaksanakan sebaik mungkin serta mengambil kira kerumitan yang bakal dialami ketika proses peralihan," katanya lagi.

Pada bulan Mei 2016, SPAD telah membentangkan cadangan penyelesaian di bawah Program Transformasi Industri Teksi kepada Majlis Ekonomi dan telah menerima maklum balas yang positif. Suruhanjaya akan mengumumkan butiran lengkap program tersebut di dalam masa terdekat, susulan kelulusan Kabinet yang dijangkakan pada bulan Julai 2016. Sementara menunggu keputusan tersebut, SPAD memohon kesabaran dari semua pihak bagi mengelakkan cetusan kontroversi dan kekeliruan.

SPAD Cadang Halalkan UBER?! #UBER #GRABCAR #SPAD Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 23 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!