Thursday, 23 June 2016

Ramai Orang Cina Sertai Bomba - Abdul Rahman Dahlan

Sambutan daripada kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina untuk menyertai pasukan bomba bantuan, sukarela mahupun komuniti kini semakin bertambah baik.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, berdasarkan pemerhatiannya kaum bukan Melayu sudah menunjukkan kesedaran dan keinginan yang tinggi untuk bersama kerajaan menangani sebarang risiko kebakaran.

"Saya mendapati ramai masyarakat bukan Melayu yang ingin menjadi ahli bomba bantuan, bomba sukarela mahupun komuniti dan sebagainya terutamanya berbangsa Cina yang sebenarnya berminat sangat dengan mengikuti kawad dan latihan.

"Mereka orang pertama turun ke bawah memadamkan api apabila ada kebakaran. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada persatuan-persatuan masyarakat Cina yang menunjukkan keinginan mereka bersama kerajaan menangani masalah risiko kebakaran ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan kebakaran sempena bulan Ramadan dan musim perayaan serta jalinan mesra warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir, timbalan menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.



Ditanya mengenai faktor kaum bukan Melayu itu memberikan sambutan baik, Abdul Rahman berkata, ia berkemungkinan disebabkan antaranya niat baik kaum itu yang kebiasaannya memiliki perniagaan berjaya untuk menyumbang semula kebaikan kepada komuniti setempat.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis iftar bersama Umno Bahagian Kuantan di lokasi sama di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1), beliau mengumumkan kementeriannya meluluskan peruntukan kira-kira RM1 juta untuk kerja menaik taraf kemudahan di Padang MPK1 itu.

Abdul Rahman berkata, kerja menaik taraf itu melibatkan pemasangan lampu limpah bernilai RM750,000 dan RM250,000 untuk menambah baik kemudahan rekreasi di sekitar padang berkenaan. - Bernama
Ramai Orang Cina Sertai Bomba - Abdul Rahman Dahlan Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 23 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!