Thursday, 23 June 2016

Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) #ECRL #SPAD #ECERDC

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) me­rancang mewujudkan satu perkhidmatan pengangkutan awam darat baharu, Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan ibu negara dan negeri-negeri di Pantai Timur dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wila­yah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).



Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, jaringan per­khidmatan tren baharu itu bakal merentasi Banjaran Titiwangsa yang melibatkan laluan sepanjang kira-kira 600 kilometer (KM) melalui beberapa bandar seperti Gombak, Mentakab, Jengka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam, kita me­rangka projek berimpak tinggi yang mampu menghubungkan ja­ringan antara bandar serta secara tidak langsung membantu me­ningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan terlibat.

“ECRL mampu membantu mengurangkan kos perjalanan dan pengangkutan kargo ke Pantai Timur yang dianggarkan mempunyai populasi seramai 4.43 juta penduduk. Selain itu, kita turut mengkaji bagi mengintegrasikan jaringan perkhidmatan bas di setiap stesen yang akan dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar kaji selidik pasaran ECRL pada 24 Mac 2016 yang lepas.

Mengulas lanjut Mohd. Az­ha­ruddin berkata, SPAD dan ECERDC kini dalam proses menganalisis jenis perniagaan, model teknikal serta strategi perolehan dan alternatif bagi pelaksanaan projek laluan ECRL.

“Kaji selidik ini bertujuan mendapatkan pandangan industri dan mengumpul maklum balas pasaran yang akan digunakan bagi melaksanakan projek ini. RFI ini terbuka kepada syarikat dan pihak konsortium yang berminat untuk mengambil bahagian.

“Ini termasuk bidang reka bentuk sistem kereta api ECRL, pembiayaan, pembinaan, pe­ngen­dalian operasi dan penye­leng­garaan seluruh rangkaian bekalan. Tarikh akhir penyerahan untuk kaji selidik RFI adalah pada 15 Mei,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ECRL bakal memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM50.1 bilion dan merangsang pertumbuhan antara satu hingga 1.5 peratus setiap tahun kepada KDNK Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Pembangunan jaringan pe­ng­angkutan awam darat ini juga dijangka menjadi kunci kepada pembangunan sekurang-kurangnya enam bandar seperti Bentong, Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu yang merangkumi pelbagai sektor,” katanya.

Laluan ECRL dalam ECER

Kaji Selidik Pasaran bagi Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL)

Pembangunan infrastruktur adalah penting untuk perkembangan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan kereta api merupakan pemboleh utama bagi rantau ini yang berpotensi menghubungkan kawasan pusat ekonomi termasuk kawasan perindustrian dan menyediakan kesalinghubungan ke kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang secara efisien.

Untuk mencapai sasaran pembangunan ini, ECRL telah dikenal pasti sebagai projek berimpak tinggi yang akan menjadi tulang belakang infrastruktur pengangkutan multimodal ECER. Ini akan melengkapkan infrastruktur sedia ada seperti Lebuhraya Pantai Timur, Laluan Pantai Timur KTMB dan juga pelabuhan.

SPAD dan ECERDC kini dalam proses menganalisis jenis perniagaan, model teknikal serta strategi perolehan dan alternatif bagi perlaksanaan projek laluan kereta api Pantai Timur (ECRL). Kaji selidik pasaran ini melalui RFI bertujuan untuk mendapatkan pandangan industri dan juga mengumpul maklum balas pasaran. Maklum balas yang diperolehi akan mengesahkan pendekatan yang SPAD dan ECERDC akan menggunakan untuk melaksanakan projek ini.

Sehubungan dengan ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melancarkan satu kaji selidik pasaran bersama (market sensing exercise) melalui kaedah Permintaan Maklumat (Request of Information – RFI) berkaitan projek laluan kereta api Pantai Timur (ECRL).

RFI ini telah dibuka kepada syarikat dan pihak konsortium yang berminat untuk mengambil bahagian dalam projek tersebut. Ini termasuk bidang reka bentuk sistem kereta api ECRL, pembiayaan, pembinaan, pengendalian operasi dan penyelenggaraan seluruh rangkaian bekalan. Untuk maklumat lanjut mengenai ECRL, sila klik di sini.
Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) #ECRL #SPAD #ECERDC Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 23 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!