Thursday, 9 June 2016

MCA Berjaya Dekati 13,094 Pengundi Cina #PRKSungaiBesar #SungaiBesar #MCA

Kira-kira 40 peratus atau lebih 5,000 daripada 13,094 pengundi Cina berdaftar telah didekati MCA dalam kempen Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Ketua Pemuda MCA selaku Pengarah Jawatankuasa PRK MCA bagi Parlimen Sungai Besar, Senator Chong Sin Woon berkata sepanjang empat hari kempen setakat ini, antara program yang dilakukan adalah kempen bersua muka, kempen rumah ke rumah dan program mesra rakyat secara kecil-kecilan.

Katanya respons dan sokongan diberikan pengundi Cina terhadap calon BN adalah positif jika dibandingkan semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Kalau dulunya (semasa PRU13) dingin dan tidak mahu bersalaman dengan wakil rakyat dahulu, tapi kali ini calon BN Budiman (Mohd Zohdi) lebih mendapat reaksi positif pengundi Cina kerana dia rakyat tempatan dan sering ada di kawasannya.

"Pengundi kata, mereka menyenanginya sebab kerap nampak dan cam muka dia serta namanya juga mudah disebut. Calon (Budiman) juga mesra dan mudah memenangi hati pengundi," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bersama Budiman di beberapa kawasan tokong dalam pekan Sungai Besar, Rabu.

Budiman yang juga dikenali 'Ah Man' mendapat layanan yang sangat baik setiap kali bertemu masyarakat Cina dan tidak kekok turun padang termasuk di tokong kerana beliau juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan akses terhadap pendidikan di kawasan Sungai Besar seperti yang dihasratkan calon BN sekiranya beliau terpilih sebagai wakil rakyat Parlimen itu.

Katanya kawasan itu memerlukan pendidikan aliran teknikal dan vokasional, khususnya bidang pertanian moden berikutan kawasan tersebut sinonim dengan aktiviti nelayan, pesawah dan pertanian.

"Pertanian moden perlu diaplikasikan masa kini. Kalau jadi pesawah umpamanya, apakah yang boleh digunakan untuk menjadikan tanaman padi mengeluarkan hasil yang banyak, sekaligus berkualiti dan lumayan dan inilah yang kementerian mahu pertingkatkan," katanya.


PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan Budiman ditentang calon PAS yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Meru Dr Abdul Rani Osman dan Pengerusi Parti Amanah Negara Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan 13,094 adalah pengundi Cina.
MCA Berjaya Dekati 13,094 Pengundi Cina #PRKSungaiBesar #SungaiBesar #MCA Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 9 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!