Saturday, 11 June 2016

Mastura Maafkan Nizar Jamaluddin #PRKKualaKangsar #OneKuale

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid berkata beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan malah memaafkan mereka yang memfitnahnya.

Kemaafan itu turut diberikan kepada Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengaitkan kematian suaminya, penyandang kerusi itu dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lepas sebagai balasan Allah.

“Saya maafkan Nizar sebab saya percaya Allah akan menunjukkan kebenaran pada kita semua.

“Saya tidak akan mengambil tindakan (lanjut) dan saya anggap ini satu perkara yang harus saya maafkan. Kami perlu teruskan kehidupan,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Mastura berkata kenyataan Mohammad Nizar terhadap Allayarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu tetap mengguris hati dan perasaan mereka sekeluarga, namun beliau memaafkan bekas menteri besar Perak itu.

Mohammad Nizar dalam satu ceramah umum Amanah di Kampung Sayong Lembah di sini pada Selasa dipetik sebagai berkata “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.

Selain itu, Mastura berharap semua parti yang bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar dapat menghormati kesederhanaan serta keharmonian masyarakat di kawasan itu.

Ditanya mengenai kecenderungan pembangkang menggunakan isu nasional dalam kempen PRK itu, Mastura berkata: “Cara kempan kami berbeza. Saya dipilih mewakili penduduk Kuala Kangsar. Isu nasional biarlah saya fikir masa di Parlimen nanti (jika dipilih)”.

Dalam sidang media itu, Mastura turut mengumumkan lima agenda yang beliau akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar jika dipilih sebagai Anggota Parlimen kawasan tersebut.


Katanya agenda itu adalah menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) kepada Universiti Awam dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.

Selain itu, Mastura juga akan memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

“Semua senarai ini merupakan pemikiran arwah Datuk (Wan Mohammad Khair-il) sendiri tapi tak kesampaian. Saya harap saya akan jadi ejen ke arah merealisasikan semua ini demi orang Kuala Kangsar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan ada anggota Umno di Kuala Kangsar yang tidak gembira dengan pemilihannya sebagai calon, Mastura percaya mereka akan bersama-sama dengannya.

“Pastinya dalam kalangan rakan-rakan, kami mempunyai perbezaan pendapat ...tetapi saya pasti dan yakin rakan-rakan saya (anggota Umno) akan menyokong saya,” katanya.

Pengundian PRK itu berlangsung 18 Jun ini, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Amanah dan Bebas.- Bernama
Mastura Maafkan Nizar Jamaluddin #PRKKualaKangsar #OneKuale Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 11 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!