Thursday, 16 June 2016

Isu Pembangunan Di Kuala Kangsar #PRKKualaKangsar #OneKuale

Dalam mana-mana pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil (PRK), pihak yang menentang Barisan Nasional (BN) lazimnya akan membangkitkan isu-isu berkaitan pembangunan yang didakwa gagal dilakukan oleh kerajaan.

Sejak kempen bermula 5 Jun lepas, parti atau calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar yang berhadapan BN seolah-olah ketandusan idea dan tiada kedengaran parti lawan mengetengahkan sebarang isu "janji manis" pembangunan di kawasan Parlimen ini yang gagal dilakukan BN.

Sebaliknya, Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat terlalu bergantung kepada sekutu mereka dalam Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, dengan mengulang-mengulang skrip sama yang dicanang oleh kedua-dua parti itu.

Tanpa memberi perhatian dan membangkitkan isu-isu kepentingan penduduk setempat, parti pembangkang lantang melaung-laungkan isu nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dana RM2.6 bilion pada setiap kempen mereka.

PAS dilihat kekal "komited" dengan isu hudud mereka ketika berkempen. Calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang turut mencuba nasib dalam PRK ini pula hanya memanaskan suasana apabila mengeluarkan kenyataan bahawa golongan wanita tidak boleh menggalas tugas sebagai pemimpin, suatu kenyataan yang hanya memperkecilkan kaum hawa.



PEMBANGKANG TIADA ISU

PRK Parlimen Kuala Kangsar yang ditetapkan pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Datin Mastura Mohd Yazid, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada Sabtu ini, berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Mastura, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sikap menyalahkan kerajaan dalam isu pembangunan dilihat sebagai cara mudah untuk menarik perhatian atau mendapat sokongan rakyat dan pengundi sewaktu kempen pilihan raya, walaupun banyak usaha giat dilakukan kerajaan BN.

Situasi yang menjadi kebiasaan itu tidak berlaku dalam kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar kali ini, malah tiada langsung cadangan daripada parti lawan BN untuk usaha dan agenda pembangunan yang akan dilakukan jika mereka menang.

Hakikatnya di Parlimen Kuala Kangsar, tiada masalah dalam isu pembangunan, malah kerajaan Persekutuan dan Negeri Perak sentiasa memastikan Parlimen itu dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Manong dan Bukit Chandan terus maju dan rakyat hidup sejahtera.

Sewaktu awal kempen ada usaha pihak tertentu membangkitkan isu pembinaan Jambatan Manong tetapi ia menjadi cerita lapuk apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini meluluskan peruntukan RM43.5 juta bagi pembinaan jambatan itu menyeberangi Sungai Perak, yang menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

Adakah usaha keras BN di Parlimen Kuala Kangsar selama ini dan masih berterusan berjaya menenggelamkan pihak pembangkang dan memberi keyakinan pada pengundi bahawa hanya BN sahaja mampu membawa pembangunan kepada rakyat?

DUN MANONG

Menelusuri kemajuan pembangunan di kedua-dua DUN dalam Parlimen Kuala Kangsar tidak dinafikan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan membuahkan impak pembangunan membanggakan.

Penduduk di kawasan berkenaan ternyata menikmati limpahan manfaat termasuk daripada aspek pendidikan, sosial serta ekonomi.

Anggota DUN Manong Mohd Kamil Shafie berkata antara projek terbaru yang siap dilaksanakan di DUN berkenaan adalah Dataran Amanjaya Manong dengan peruntukan RM2.5 juta.

"Baru-baru ini, kerajaan negeri juga telah meluluskan RM800,000 untuk membangunkan kawasan pesisiran sungai di Manong sebagai kawasan rekreasi," katanya.

Selain itu, perancangan sedang dibuat untuk membangunkan rumah mampu milik bagi generasi kedua di Kampung Manong dan Guar Manong selain membaik pulih jalan raya terutama di Jalan Manong-Kuala Kangsar.

"Mengenai rumah mampu milik itu, kita telah kenal pasti tapaknya cuma kita masih menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk pembinaan," katanya.

DUN BUKIT CHANDAN

Tidak ketinggalan, DUN Bukit Chandan turut menikmati limpahan pembangunan terutama dalam aspek pendidikan.

ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman berkata kerajaan Persekutuan membeli tanah seluas 20 hektar bagi membina tiga sekolah di DUN itu, masing-masing Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan SMK Agama.

"Proses pembelian tanah telah selesai dan peruntukannya akan diperoleh tidak lama lagi. Pembinaan ini bagi memenuhi tuntutan komuniti di Bukit Chandan yang semakin bertambah," katanya.

Maslin Sham berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membina jambatan kedua di Sungai Cermin demi kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Bagi memberi nafas baharu kepada kawasan lembah Kuala Kangsar, Maslin Sham berkata pihaknya bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) merancang untuk membangunkan kawasan itu sebagai taman tema air.

"Ia masih dalam peringkat perbincangan dan pelan perancangan itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa dan pimpinan tertinggi untuk peruntukan," katanya.

Kemudahan seperti dewan, masjid dan surau sudah dilaksanakan.

Selain itu, bilik kecemasan di Hospital Kuala Kangsar akan dinaik taraf melibatkan kos kira-kira RM7 juta manakala perancangan untuk membina sebuah lagi klinik kesihatan di Kuala Kangsar turut mendapat kelulusan dan pembinaannya diunjur menelan kos RM30 juta.

USAHA BERTERUSAN

Bagi orang luar yang berkunjung ke Parlimen Kuala Kangsar, mereka akan melihat sendiri bahawa aspek kemudahan dan infrastruktur di Kuala Kangsar bukanlah satu isu besar.

Jika ada yang berpendapat terdapat kekurangan dalam soal pembangunan, ia bukan bermakna tiada usaha daripada kerajaan, tetapi kerana agenda pembangunan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu dalam lawatan ke Parlimen Kuala Kangsar baru-baru ini berkata kemenangan calon BN dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar akan meneruskan kelangsungan pembangunan di kawasan itu.

Katanya kerajaan sentiasa mendengar keluh-kesah penduduk kawasan itu, namun mereka perlu secara nyata membuktikan sokongan kepada kerajaan bagi menjayakan pelbagai program yang dirancang.

"Banyak sudah kami umumkan beberapa (projek) permintaan rakyat di Kuala Kangsar, kami nak ia diterjemah kepada undi (calon) BN (pengundian Sabtu ini)," katanya.
Isu Pembangunan Di Kuala Kangsar #PRKKualaKangsar #OneKuale Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 16 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!