Saturday, 25 June 2016

Akibat kecuaian sesaat, hari raya mungkin bertukar menjadi tragedi hitam - Liow Tiong Lai #MCA #Raya2016

Angka kematian akibat kemalangan jalan raya semasa musim perayaan bagi tahun kebelakangan ini berada pada tahap yang membimbangkan. 

Kajian mengenal pasti punca peningkatan ketara ini akan merangkumi aspek lokasi kemalangan, masa ia berlaku, keadaan pemandu dan penunggang serta jenis kenderaan yang terlibat.

Sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mematuhi undang undang jalan raya juga menyumbangk kepada keadaan ini.

Dianggarkan sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti, hampir dua juta kenderaan dijangka akan berada di atas jalanraya pada hari kemuncak menyambut perayaan lantaran hari cuti yang panjang dan bersempena aktiviti balik kampung.

Dalam ucapan Dato Sri Liow Tiong Lai dibawah mengupas akan keadaan ini didalam kempen “BALIK KAMPUNG ROAD SAFETY CAMPAIGN 2016”. 

Semoga semua akan selamat pulang ke kampung halaman pada awal bulan hadapan menyambut hari raya aidilfitri dan juga kepada yang bakal menikmati cuti yang berharga dengan ahli keluarga dan sahabat handal yang dikasihi.


TEKS UCAPAN Y. B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

BALIK KAMPUNG ROAD SAFETY CAMPAIGN
25hb. JUN, 2016

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 MALAYSIA,

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada hadirin sekalian kerana pada hari ini dapat kita berkumpul beramai-ramai di Parkir Awam Hentian Raya Bentong bagi menjayakan program “BALIK KAMPUNG ROAD SAFETY CAMPAIGN 2016”.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd selaku penganjur dan lain-lain agensi yang turut sama membantu menjayakan program kali ini. Saya yakin tanpa kerjasama erat semua pihak, program ini mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Tuan-tuan, puan-puan,

3. Negara kita kini semakin megah berdiri untuk menjadi ke arah negara maju, dengan ekonomi semakin berkembang pesat dan pelbagai bentuk pembangunan diusahakan seluruh pelusuk negara. Selaras dengan ini, tidak dapat kita nafikan, populasi juga kian bertambah, begitu juga bilangan kenderaan berdaftar yang berada di atas jalan raya.

4. Apabila situasi ini berlaku, kita seharusnya lebih memikirkan konsep keselamatan di mana-mana sahaja, dan yang paling utama yang ingin kita tujui kali ini adalah pembudayaan keselamatan jalan raya. Ia merupakan satu aspek penting bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara berada pada tahap yang selesa. Jika dilihat hari ini, pelbagai berita kemalangan dipaparkan di dada-dada akhbar, di kaca televisyen, selain di radio. Terlalu ramai yang cedera parah, hilang anggota badan, dan ramai juga yang kehilangan nyawa. Mungkin mereka ini orang yang kita kenal, saudara mara, rakan taulan dan ada yang berlaku dalam keluarga sendiri.

Tuan-tuan, puan-puan,

5. Kali ini, lokasi kita adalah di Bentong, merupakan antara salah satu laluan kegemaran ramai menuju ke Pantai Timur. Laluan ini juga merupakan antara laluan ‘panas’ dengan pelbagai berita kemalangan maut saban tahun. Pelbagai jenis kategori pengguna jalan raya yang melalui jalan ini, selain pengguna tempatan yang kebanyakannya bermotosikal. Bagi pemandu yang memandu dalam tempoh masa yang lama serta berjarak jauh, risiko untuk mengantuk dan kepenatan amat tinggi, mengakibatkan hilang tumpuan ketika memandu. Kebanyakan kemalangan juga berlaku pada lewat tengah malam dan awal pagi, ketika badan kita sepatutnya dalam keadaan rehat sepenuhnya. Atas inisiatif pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd ini, kita amat menyokong penuh usaha memberikan kesedaran berterusan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini, terutamanya mereka yang ingin balik ke kampung masing-masing.

6. Sama seperti kebanyakan negeri-negeri di Malaysia, majoriti yang maut di jalan raya adalah dari kalangan penunggang dan pembonceng motosikal. Berdasarkan perangkaan kes kematian yang dikeluarkan oleh PDRM melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Negeri Pahang, pada 2014 ialah sebanyak 296 kes kematian berbanding pada 2015 sebanyak 299 kes kematian. Bagi perangkaan kes kemalangan jalan raya di daerah Bentong pada 2014 ialah sebanyak 3,031 kes kemalangan dan pada tahun 2015 sebanyak 3,128 kes kemalangan jalan raya dilaporkan.

Tuan-tuan, puan-puan,

7. Sehubungan ini, marilah kita semua pastikan tahap keselamatan adalah paling diutamakan. Baik dari segi fizikal tubuh badan kita, perlu cergas dan kuat untuk berada di jalan raya. Periksa tali pinggang keledar dan pakai bagi yang berkenderaan besar. Begitu juga dengan penunggang dan pembonceng motosikal, pastikan pakai topi keledar yang ada piawaian keselamatan seperti SIRIM, pakai dan klik dengan betul. Periksa juga keadaan kenderaan anda, terutamanya motosikal agar dapat berfungsi sempurna selain boleh mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Gaya memandu dan menunggang juga perlu diberi tumpuan utama. Elakkan memotong dengan melulu, kepada yang bermotosikal, jangan mencelah-celah kenderaan, jangan menunggang secara berbahaya serta melebihi had laju, dan jangan mengekori kenderaan lain terlalu rapat. Akibat kecuaian sesaat, hari raya mungkin bertukar menjadi tragedi hitam yang sukar dilupakan sepanjang hayat.

8. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan sekalung tahniah kepada semua yang terlibat pada hari ini serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam menjayakan program pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

[tamat]


Akibat kecuaian sesaat, hari raya mungkin bertukar menjadi tragedi hitam - Liow Tiong Lai #MCA #Raya2016 Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 25 June 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!