Thursday, 7 April 2016

Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti


PENYELARASAN SEMULA LALUAN BAS 501, 540, 570 DAN T571 DI BAWAH Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti (BNR) BAGI KORIDOR SUNGAI BESI BERKUATKUASA 7 APRIL, 2016

Penyelarasan semula ini juga melibatkan Laluan 502 dan Laluan 541.

Kuala Lumpur, 6 April 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menyelaraskan semula empat laluan bas bagi Koridor Sungai Besi untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bagi penumpang di kawasan yang terlibat. Penyelarasan semula ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan oleh Suruhanjaya untuk menstabilkan perkhidmatan bas di bawah Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti (BNR).

Penyelarasan laluan ini dilakukan selepas penilaian SPAD terhadap pengendali bas, Metrobus yang gagal mematuhi piawaian minima yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya. Laluan yang diselaraskan adalah seperti berikut:

1. Laluan 501 (Putrajaya Sentral – KTM Serdang – HAB Lebuh Pudu) akan dikendalikan oleh Nadi Putra. Waktu operasi bermula dari 6.00 pagi sehingga 11.00 malam dengan kekerapan 30 minit.

2. Laluan 540 (Bandar Putra Permai – HAB Lebuh Pudu) akan dikendalikan oleh RapidKL. Waktu operasi bermula dari 6.00 pagi sehingga 11.30 malam dengan kekerapan 15 minit.

3. Laluan 570 (Serdang Jaya – Serdang Raya – LRT Bukit Jalil) akan dikendalikan oleh RapidKL. Waktu operasi bermula dari 6.00 pagi sehingga 11.00 malam dengan kekerapan 30 minit.

4. Laluan T571 (Taman Sri Pulai – Stesen LRT Sungai Besi) akan dikendalikan oleh RapidKL. Waktu operasi bermula dari 6.00 pagi sehingga 11.00 malam dengan kekerapan 45 minit.


Berikut adalah dua laluan yang terlibat dalam penyelarasan semula (Laluan 502 dan Laluan 541):

1. Laluan 502 yang beroperasi dari Putrajaya Sentral – KTM Serdang akan digabungkan dengan Laluan 501 (Putrajaya Sentral – KTM Serdang – HAB Lebuh Pudu) dan dinomborkan semula sebagai Laluan 501. Laluan ini akan dikendalikan oleh Nadi Putra dengan waktu operasi bermula dari 6.00 pagi sehingga 11.00 malam dengan kekerapan 30 minit.

2. Laluan 541 (Pangsapuri Enggang – Bandar Putra Permai – KTM Serdang) akan dipanjangkan sehingga stesen LRT Kinrara BK5. Laluan ini kini akan beroperasi dari stesen LRT Kinrara BK5 - Pangsapuri Enggang- Bandar Putra Permai dan dikendalikan oleh RapidKL. Waktu operasi bermula dari 6.00 pagi sehingga 11.00 malam dengan kekerapan 30 minit.

SPAD ingin memberi jaminan kepada penumpang bahawa setiap langkah proaktif sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu-isu operasi pada kadar yang segera. Sekaligus, SPAD sedang memantau operasi pengendali melalui Sistem Hab Pemantauan Prestasi (Performance Monitoring Hub System atau PMHS). SPAD akan mengambil tindakan yang tegas terhadap pengendali yang gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti kekerapan perkhidmatan dan kapasiti bas.

Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti ini bukanlah satu pelaksanaan yang statik. Oleh itu, pihak Suruhanjaya sentiasa terbuka kepada penyemakan semula dan penambahbaikan laluan serta jadual pengoperasian berdasarkan permintaan dan maklum balas pengguna. 

Orang ramai digalakkan menghubungi SPAD di talian 1-800-88-7723(SPAD), untuk menyuarakan pandangan mereka atau e-mel kepada aduan@spad.gov.my, atau berkongsi maklum balas mereka melalui media sosial di www.facebook.com/SPAD.my dan Twitter - @aduanSPAD dan @SPADchannel.

Untuk maklumat lanjut mengenai BNR seperti laluan bas, jadual bas dan senarai pengendali, sila layari www.spad.gov.my/bnr


T: +603 2726 7000 F: +603 2726 7100 http://www.spad.gov.my

Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 7 April 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!