Wednesday, 23 March 2016

Malaysia Berhasrat Tambah Penerbangan ke India - Liow Tiong Lai.

Sistem Pengangkutan awam yang efisien adalah suatu perkhidmatan yang ditawarkan terhadap pelanggan dengan mudah , selamat dan cepat bagi meningkatkan sektor perkembangan ekonomi dalam sesebuah negara.

Sektor pengangkutan awam terutama perkhidmatan laluan udara iaitu pesawat penumpang juga perlu mengembangkan rangkaiannya dalam hubungan perniagaan dimana ianya akan dapat menjana pendapatan negara dari sektor pelancongannya.

Lantaran dari kesedaran ini, Menteri Pengangkutan, YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI telah berhasrat untuk menambah laluan penerbangan diantara Malaysia dan benua India . Perbincangan bersama rakan sejawat beliau Tuan Yang Terutama Shri P. Ashok Gajapathi Raju, Menteri Penerbangan Awam India pada Pameran & Persidangan Antarabangsa Penerbangan Awam (Penerbangan India 2016).

Usaha ini dilihat bakal mencambahkan lagi sektor pertumbuhan ekonomi kedua negara. Hingga ke hari ini Malaysia telah menawarkan sebanyak 24 penerbangan ke seluruh India dan merangkumi beberapa bandar utama perlancongan di negara tersebut. Penambahan penerbangan ini dimasa akan datang akan dapat mempergiatkan dan mengembangkan lagi aliran ekonomi kedua negara dalam kepelbagaian sektor.

Sehingga kini, dibawah Perjanjian Perkhidmatan Udara di antara Malaysia dan India, sebanyak 20,000 tempat penumpang telah diperuntukkan bagi setiap minggu, dengan rancangan penambahan penerbangan ke India dijangkakan sebanyak 40,000 tempat duduk akan disediakan disamping penambahan destinasi baru yang akan dikenalpasti.

Berikut adalah kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Dato’ Seri Liow Tiong Lai.

KENYATAAN MEDIA

OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN, MALAYSIA


Liow: Malaysia Berhasrat Tambah Penerbangan ke India

Rancang adakan dialog Langit Terbuka ASEAN-India

Meningkatkan perhubungan pengangkutan merupakan mandat utama Kementerian Pengangkutan. Saya yakin bahawa ini adalah faktor yang penting dalam pertumbuhan ekonomi di Malaysia serta rantau ini.

Untuk tujuan ini, satu perbincangan telah diadakan bersama rakan sejawatan saya di India, Tuan Yang Terutama Shri P. Ashok Gajapathi Raju, Menteri Penerbangan Awam India, pada Pameran & Persidangan Antarabangsa Penerbangan Awam (Penerbangan India 2016) ke-5 hari ini.

India mempunyai potensi yang besar sebagai pasaran penerbangan awam ke-9 terbesar di dunia dengan nilai pasaran yang dianggarkan sebanyak USD16 billion. India juga berada di landasan yang tepat untuk berkembang menjadi pasaran penerbangan awam ketiga terbesar di dunia menjelang 2020.

Dalam usaha berterusan untuk membangunkan sektor penerbangan awam, Malaysia berharap agar perkhidmatan penerbangan udara ke India dapat dipertingkat. Kini, pengendali syarikat penerbangan di Malaysia antaranya termasuk Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia, AirAsia X dan Malindo Air menawarkan penerbangan ke 24 destinasi di seluruh India. Ini merangkumi enam bandar-bandar utama iaitu Delhi, Kolkata, Mumbai, Chennai, Bangalore dan Hyderabad, serta 18 bandar-bandar lain antaranya seperti Goa, Jaipur, Port Blair, Kochi, Ahmedabad dan Tiruchirappalli. 

Dibawah Perjanjian Perkhidmatan Udara di antara Malaysia dan India, sebanyak 20,000 tempat duduk telah diperuntukkan bagi setiap minggu. Oleh kerana syarikat-syarikat penerbangan ini telah memenuhi kapasiti tempat duduk ini, kita telah memulakan perbincangan dengan India agar jumlah kapasiti tempat duduk boleh ditambah kepada 40,000 seminggu. Kita turut berhasrat untuk menambah destinasi penerbangan ke lapan Bandar lain, khususnya Coimbatore, Madurai, Pune, Vijayawada, Mangalore, Surat, Chandigarh dan Srinagar.

Saya juga amat berbesar hati kerana dapat mewakili rakan-rakan Menteri Pengangkutan ASEAN di mana Malaysia mengetuai Rundingan Perjanjian Pengangkutan Udara ASEAN-India yang bertujuan mencapai perjanjian langit terbuka bersama India. Bagi tujuan ini, saya mengalu-alukan Perjanjian Perkhidmatan Udara Serantau Kumpulan Kerja ASEAN-India yang bakal diadakan dalam usaha memuktamadkan Perjanjian Pengangkutan udara ASEAN-India (IA-ATA). 

[TAMAT]



Malaysia Berhasrat Tambah Penerbangan ke India - Liow Tiong Lai. Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 23 March 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!