Thursday, 24 March 2016

Dewan Rakyat Jadi Pasar Basah DAP

Pembangkang terus cuba mengelirukan Dewan Rakyat apabila meneruskan strategi provokasi berhubung isu RM2.6 bilion buat kali kedua sewaktu penggulungan menteri yang berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nancy Shukri pula cuba dijadikan sasaran ahli-ahli parlimen pembangkang selepas Datuk Seri Azalina Othman Said diasak bertubi-tubi bermula sesi petang tadi.

Nancy bagaimanapun menegaskan kepada Ahli Parlimen PKR Kapar, G. Manivanan bahawa beliau tidak akan menjawab mahupun memberi jawapan kerana beliau bukan menteri yang dipertanggungjawab untuk memberi penerangan berhubung isu dana sumbangan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Bila libatkan isu itu, kita dah serahkan kepada seorang menteri sahaja yang bertanggungjawab sebab kita nak ada konsistensi, jadi saya tak ada jawapan untuk itu.

“Itu bukan bidang kuasa saya,” katanya menjawab pertanyaan Manivanan dalam sesi penggulungan titah Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Dewan Rakyat, Khamis.

Jawapan Nancy itu bagaimanapun menyebabkan beliau terus diserang dan diasak beberapa ahli parlimen pembangkang antaranya ahli parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo dan ahli parlimen DAP Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh.

Desakan berterusan pembangkang mengenai isu itu ekoran tindakan Azalina yang sewaktu penggulungannya enggan memberikan penjelasan terperinci tentang isu tersebut kerana berada dalam kes mahkamah.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee kemudiannya menjelaskan bahawa akta 36 (2) terpakai bagi perkara itu di mana ia tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah.

Terdahulu, ahli parlimen pembangkang turut bertanya soalan yang juga bukan bidang kuasa Nancy berhubung proses ekstradisi tahanan yang dijatuhkan hukuman gantung, Sirul Azhar Umar yang sehingga kini masih belum dibawa pulang ke Malaysia.

Nancy dengan tenang berkata, bahawa beliau akan mengusulkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan meminta pihak kementerian memberikan jawapan secara bertulis kepada pembangkang.

“Soalan itu juga saya tidak ada jawapannya, jadi saya boleh usulkan kepada KDN untuk mereka memberi jawapan bertulis kepada Yang Berhormat,” tambahnya.

Sirul pada April 2009 telah dijatuhkan hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkan bersalah di atas tuduhan membunuh warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu. - bnbbc.my


Dewan Rakyat Jadi Pasar Basah DAP Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 24 March 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!