Monday, 22 February 2016

UTC Dan RTC Antara Inisiatif Transformasi Najib Razak

Peranan penting Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dalam memperluas jangkauan perkhidmatan kerajaan tidak dapat disangkal lagi, menjadikannya satu inisiatif yang berjaya.

Menerusi konsep 'satu hentian pelbagai perkhidmatan', UTC dan RTC, yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah pelengkap transformasi untuk mensejahterakan rakyat selaras dengan prinsip 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Kedua-dua konsep itu berjaya menghimpunkan lebih 40 agensi kerajaan dan swasta demi memudahkan komuniti bandar dan luar bandar mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung.

Kerjasama unik antara pelbagai agensi tersebut dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang merupakan antara komitmen dan transformasi terbaik kerajaan, demi kepentingan rakyat. Ia diperkenalkan sebagai usaha 'merakyatkan perkhidmatan awam'.



Kewujudan UTC dan RTC juga berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mutu sistem penyampaian menerusi perkongsian strategik yang dijalankan.

Transformasi perkhidmatan kerajaan menerusi NBOS serta kewujudan UTC dan RTC berjaya memecahkan silo antara kementerian dan agensi kerajaan dalam melaksana dan menjayakan sesuatu program, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.

Najib, yang menjadi perdana menteri keenam Malaysia pada 2009, genap 40 tahun penglibatannya dalam politik tanah air pada 21 Feb. Beliau berusia 22 tahun ketika mula menceburi bidang politik selepas kematian ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein, akibat leukemia pada 14 Jan, 1976.

Seiring dengan matlamat untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, penubuhan RTC dan UTC mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan rakyat kerana ia turut menjadi hab merancakkan aktiviti ekonomi, penggalakan penjualan nilai tambah produk pertanian dan menyediakan perkhidmatan kewangan serta perkhidmatan pembangunnan perniagaan dan keusahawanan.

Ramai yang memperoleh manfaat dan berpuas hati dengan fungsi serta kemudahan pusat transformasi berkenaan, dan tidak menghairankan jika masyarakat masih menantikan kewujudan UTC dan RTC di tempat-tempat mereka.

Pastinya rakyat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semasa mengumumkan Pengubahsuaian Bajet 2016 bahawa pembinaan 10 lagi UTC di Labuan, Sungai Petani (Kedah), Miri dan Sibu (Sarawak), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Tawau dan Keningau (Sabah), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kangar (Perlis) akan diteruskan.

Empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi (Pulau Pinang), Rembau (Negeri Sembilan), Sungai Rambai (Melaka) dan Betong (Sarawak) pada tahun ini.

Mengimbas kembali, UTC yang pertama dilancarkan di Melaka pada 23 Jun 2012, manakala RTC pertama terletak di Gopeng, Perak pada 18 Feb tahun sama. Kedua-duanya dirasmikan oleh Najib.

Hingga kini, lapan UTC utama dibangunkan di seluruh negara iaitu di Pudu Sentral (Kuala Lumpur), Melaka Sentral (Melaka), Alor Star (Kedah), Ipoh (Perak), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah), Kuantan (Pahang) dan Kuching (Sarawak). Selain itu terdapat juga UTC mini di Sentul dan Keramat, Kuala Lumpur.

Sehingga Januari 2015, lebih 7.5 juta pengguna pelbagai perkhidmatan dan kemudahan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan di kesemua UTC, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal.

Sementara itu, sembilan RTC yang dibangunkan terletak di Gopeng, Kota Bharu, Pekan, Jitra, Kulaijaya, Dungun, Miri dan dua buah di Melaka.

Menerusi UTC dan RTC, komuniti setempat dapat menyelesaikan pelbagai urusan dengan agensi-agensi kerajaan, awam dan swasta dalam tempoh singkat.

Ini termasuklah urusan pembayaran bil, memperbaharui pasport, kad pengenalan, perbankan, pendidikan, pembiayaan dan pinjaman, kesihatan serta urusan-urusan lain.

Permohonan dan pemerosesan banyak urusan boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja, umpamanya urusan memperbaharui pasport, yang hanya mengambil masa sejam untuk siap selepas pembayaran dibuat.

Antara agensi yang beroperasi ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan melibatkan Pos Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Tenaga Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan TEKUN Nasional, yang menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah untuk perniagaan.

Waktu operasi tidak terhad pada waktu pejabat, sebaliknya bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, dan dibuka setiap hari termasuk pada hujung minggu.

UTC dan RTC turut berperanan sebagai pusat setempat bagi pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan terutamanya bagi penduduk luar bandar dan pusat kegiatan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Orang ramai juga boleh membeli barangan keperluan dengan adanya kedai kain, kedai buku, pasar borong menjual sayur, buah-buahan, ikan, ayam dan daging serta medan selera di pusat-pusat sehenti itu. Selain surau, ada yang menyediakan gelanggang futsal, gimnasium dan ruangan parkir percuma.

Selain meningkatkan sistem penyamapian perkhidmatan kerajaan, pengwujudan UTC dan RTC secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan rantaian bekalan hasil pertanian dan aktiviti ekonomi setempat.

Selain itu, Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) turut dilancarkan pada 1 Mac 2013, demi memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang tiada akses kepada kemudahan asas dan berhadapan masalah pengangkutan untuk pergi ke UTC dan RTC.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata pendekatan NBOS yang dilaksanakan untuk memperkemaskan perkhidmatan awam ternyata membuahkan hasil positif.

"Setelah NBOS berjaya 'menyatukan' pasukan polis dan tentera, ia kini membantu sistem penyampaian awam dengan mengubah imej perkhidmatan itu menjadi lebih efektif dan lebih mesra pengguna.

"Kaedah penyampaian UTC dan RTC ini menarik kerana ia adalah perkhidmatan yang dibawa kepada masyarakat... kini satu tempat untuk semua perkhidmatan," katanya kepada Bernama.

Pelbagai urusan dapat diselesaikan dengan hanya sekali lawatan ke lokasi yang sama, dapat menjimatkan masa dan kos.

"UTC dan RTC bukan satu pembaziran oleh kerajaan tetapi satu idea yang sangat baik dan bijak... sememangnya NBOS adalah satu kejayaan," katanya.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, UTC dan RTC merupakan antara pencapaian terbaik Najib sepanjang memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara.

"Matlamat UTC dan RTC itu sampai terus kepada rakyat... ia merupakan projek yang berkesan dalam misi transformasi kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat terutamanya penduduk luar bandar," katanya. 




UTC Dan RTC Antara Inisiatif Transformasi Najib Razak Daeng Selili Rating: 5 Monday, 22 February 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!