Friday, 12 February 2016

#McDonaldsMalaysia Punyai 85 Peratus Kakitangan Beragama Islam!

Hebat seruan dan panggilan boikot yang disogok dan menjadi bahan fitnah terhadap McDonald’s di Malaysia. Pelbagai tuduhan melulu dibuat yang mengaitkan jenama McDonald’s Malaysia dengan konflik dan tragedi kemanusiaan di Gaza@Palestin.

Namun mangsa sebenar dakwaan-dakwaan tersebut adalah kawan kawan kita, pekerja serta keluarga yang menjadi bahan diskriminasi, dan juga francaisi-francaisi McDonald’s Malaysia yang berusaha mencari rezeki. McDonald’s Malaysia telah berkongsi maklumat ini kepada umum di http://www.mcdonalds.my/ agar dapat memberikan pencerahan dan mendapat keprihatinan anda.


32 tahun McDonald’s Malaysia membangun dan membesar bersama Malaysia

McDonald’s Malaysia adalah punca rezeki untuk lebih 12,000 kakitanganya, di mana lebih daripada 85 peratus adalah beragama ISLAM. Sebanyak 67 restoran McDonald’s Malaysia dimiliki dan diusahakan oleh 27 francaisi tempatan, yang 40 peratus sehingga 50 peratus daripada mereka adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. 

Di samping itu, McDonald’s Malaysia turut memberi peluang perniagaan kepada lebih daripada 50 pembekal tempatan yang juga turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2,500 anak-anak tempatan. Menjelang tahun 2020 disasarkan McDonald’s Malaysia akan berkembang kepada 500 restoran serta mewujudkan lebih 11,500 lagi peluang pekerjaan baharu dan terbuka untuk rakyat Malaysia. Adalah jelas bahawa sebarang tindakan boikot akan membawa kesan negatif kepada ekonomi Malaysia dan kehidupan sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Pembayaran royalti adalah untuk hak menjalankan perniagaan di bawah jenama McDonald’s. Dan ia adalah perkara lazim bagi perniagaan yang bertaraf antarabangsa.

Pembayaran royalti adalah perkara asas bagi kebanyakan pengendalian perniagaan berjenama antarabangsa atau tempatan, dan bukanlah eksklusif kepada McDonald’s sahaja. 

Perlu diingat, McDonald’s Malaysia antara pembayar cukai korporat dan cukai perkhidmatan dalam jumlah jutaan ringgit setiap tahun kepada Kerajaan Malaysia. Ini menjana pendapatan negara untuk dipulangkan kepada rakyat Malaysia juga.



Malah McDonald’s Malaysia juga menekankan bahawa McDonald’s Malaysia TIDAK menyalurkan hasil jualan, keuntungan atau royalti daripada restoran-restorannya untuk menyokong SEBARANG bentuk kempen bersifat politik atau konflik yang berlaku di mana-mana negara di dunia.

Tiada kebenaran dalam sebarang dakwaan yang menyatakan sebaliknya. Sebahagian besar daripada pulangan perniagaan di Malaysia disalurkan semula untuk mengembangkan lagi perniagaan serta ekonomi di Malaysia. Pada 2014 sahaja, dijangkakan hampir RM185 juta akan dilaburkan untuk membuka 22 restoran baharu dan mengubahsuai 29 restoran di Malaysia. BUKANKAH ini antara jalan untuk membuka peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat Malaysia?

Kerja Kerja Amal Dan Kebajikan

Semenjak penubuhan McDonald’s Malaysia lebih tiga dekad dahulu, McDonald’s Malaysia sentiasa prihatin dan komited terhadap komuniti setempat. Kerja amal dan kebajikan adalah keutamaannya. Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia telah menyumbangkan lebih RM11 juta untuk membantu lebih 20,000 kanak-kanak yang kurang bernasib baik selama lebih 24 tahun. Manakala Kempen Prosperity Gives Back (PGB) menyumbangkan lebih RM900,000 kepada berbagai rumah kebajikan sejak tahun 2011.

Selain daripada itu RMHC juga menawarkan biasiswa, bilik deria bagi kanak-kanak istimewa, menaja pembedahan sumbing bibir dan lelangit serta mengendalikan rumah RMHC di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, khusus untuk keluarga yang kurang berkemampuan agar dapat tinggal secara percuma sementara anak-anak mereka mendapatkan rawatan.



Pendirian McDonald’s Malaysia.

Ditegaskan disini bahawa adalah merupakan pendirian McDonald’s Malaysia untuk TIDAK TERBABIT serta menyokong mana-mana kegiatan politik, keganasan atau penindasan di seluruh dunia.

Malah turut dinyatakan McDonald’s Malaysia bersimpati terhadap mangsa-mangsa yang tidak bersalah dalam mana-mana insiden dan tragedi kemanusiaan yang melanda diseluruh dunia.


Nasihat Dari Duta Palestin Sendiri

Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al Agha juga berharap rakyat Malaysia tidak menyasarkan restoran dan pekerja rakyat Malaysia yang bekerja di McDonald’s dalam usaha memboikot syarikat syarikat yang berkaitan Israel.

Dalam wawancara dengan portal berita The Star sebelum ini, Dr Anwar berkata pekerja terbabit hanya berusaha untuk mencari nafkah hidup. Justeru tidak adil menjadikan pekerja terbabit sebagai sasaran kecaman dan serangan dari rakyat Malaysia yang lain.

Sungguhpun mengakui boikot merupakan satu saluran bagi memberi tekanan agar Israel menghentikan tindakan agresif terhadap Gaza, beliau khuatir kempen di media sosial menuduh McDonald’s Malaysia terbabit dengan sumbangan kepada Zionis Israel yang tidak boleh buktikan dan mengundang persepsi buruk.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Bayangkan, kita mengaku muslim sejati. Hampir setiap hari kita, belajar ilmu agama, baca/belajar Al-Quran dan Hadis, mendengarkan nasihat dan ceramah agama. Tapi, kenapa sikap kita kepada saudara saudara kita sesama muslim masih jauh dari ajaran Al-Quran dan Hadis. 

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” - (QS. Al-Hujurat : 6)

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
#McDonaldsMalaysia Punyai 85 Peratus Kakitangan Beragama Islam! Daeng Selili Rating: 5 Friday, 12 February 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!