Friday, 15 January 2016

Tahun 2016 Diisytihar Tahun Integriti Bagi MOT - Liow Tiong Lai



KENYATAAN AKHBAR 
OLEH YB DATO' SRI LIOW TIONG LAI 
MENTERI PENGANGKUTAN

Liow: Tahun 2016 diisytihar tahun integriti bagi MOT

Integriti merupakan elemen terpenting sesebuah organisasi dalam mencapai kemajuan dan mempertingkatkan daya saing. Menyedari hakikat ini, usaha dan gerakan pemantapan nilai-nilai murni, etika dan integriti di semua peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan serta Agensi dibawahnya akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Langkah ini membuktikan komitmen Kementerian dalam memupuk dan mempertingkatkan budaya integriti dikalangan warga Kementerian demi memantapkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan yang disediakan untuk Rakyat. 

Satu sesi dialog telah diadakan bersama YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal integriti dan tadbir urus serta YBhg Dato’ Seri Mustafar Haji Ali, Timbalan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu-isu integriti dan tadbir urus yang baik. 

Lanjutan daripada itu, pelbagai inisiatif dan program akan dirangka untuk dilaksanakan bagi mencapai matlamat murni ini. Antara langkah awal yang telah dikenalpasti termasuk:

1. Meningkatkan produktiviti di semua peringkat Kementerian.

2. Penempatan pegawai SPRM di Kementerian Pengangkutan dan Jabatan serta Agensinya.

3. Pertimbangan untuk melanjutkan waktu perkhidmatan di pusat-pusat yang padat dengan pengguna.

4. Pertimbangan untuk menggunakan lebih banyak kiosk dan sistem berkomputer bagi memudahkan urusan permohonan. 

5. Penubuhan Gabungan Pencegahan Rasuah Rantaian Bekalan Logistik (Anti Corruption Logistic Supply Chain Coalition).

6. Sesi dialog antara MOT, Jabatan dan Agensi dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengenal pasti punca perkara berhubung tadbir urus dan rasuah.

Saya berharap pengisian program ini dan menerusi kerjasama MOT bersama SPRM akan membentuk dan mengukuhkan semangat budaya patriotism, nilai-nilai murni, etos dan integriti warga MOT, selari dengan Teras Strategik Pelan Transformasi MOT.

Dalam hubungan ini, bagi membuktikan kesungguhan Kementerian Pengangkutan dalam hal ini, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Tahun 2016 diisytiharkan sebagai tahun integriti bagi Kementerian Pengangkutan dan Jabatan serta Agensi dibawahnya. Ini merupakan komitmen Kementerian dan Jabatan serta Agensi bagi membudayakan integriti sepanjang masa. 

Lanjutan dari inisitif ini, besar harapan saya supaya semua menjayakannya demi mewujudkan tadbir urus yang baik lagi telus dan seterusnya menyumbang kepada landskap pentadbiran negara yang kompetitif supaya dapat menembusi pasaran ASEAN malah antarabangsa. 

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Integriti dan Tadbir Urus dan pihak SPRM atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada Kementerian Pengangkutan dalam menjayakan hal ini.
[TAMAT]


Tahun 2016 Diisytihar Tahun Integriti Bagi MOT - Liow Tiong Lai Daeng Selili Rating: 5 Friday, 15 January 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!