Thursday, 14 January 2016

#Felda : Jasa Tun Abdul Razak Yang Tidak Terbalas #FeldaDihatiku #SahabatFelda

Tanah rancangan Felda yang dibangunkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lebih 50 tahun lalu merupakan antara sumbangan terbesar Perdana Menteri kedua itu kepada masyarakat.


Tanah rancangan Felda yang dibangunkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ayahanda kepada Perdana Menteri Hari ini DS Mohd Najib Bin Tun Razak Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan". 

FELDA diasaskan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan.Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957 . Pada tahun 1958, lima skim yang serupa dibuka. Ianya ditadbirkan oleh sebuah Lembaga yang bertanggungjawab kepada Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri. 


Felda ditubuhkan antaranya bagi membantu orang susah dan membangunkan kawasan luar bandar serta meningkatkan ekonomi negara melalui eksport getah dan minyak kelapa sawit.

FELDA berperanan untuk memajukan tanah baru untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif melalui pengurusan pertanian yang berkesan di kalangan peneroka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju dan berdisiplin. Pada dekad 1960-an dan 1970-an, dasar kerajaan mula menekankan pelbagaian tanaman untuk mengelakkan kejatuhan harga yang besar. Pada tahun 1961, petempatan kelapa sawit FELDA yang sulung dibuka, dengan 3.75 km² tanah. Sehingga tahun 2000, tanah sebanyak 6,855.2 km² di bawah rancangan FELDA tertumpu kepada kelapa sawit.

FELDA bertumpu di Semenanjung Malaysia, manakala agensi-agensi kerajaan yang lain bertanggungjawab kepada pembangunan tanah di negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia Timur.

Rata rata peneroka hari ini mengakui kehidupan yang dikecapinya kini jauh lebih baik sebelum menyertai Felda.Ramai yang meninggalkan kampung halaman antaranya dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang untuk bersama sama menjadi menjadi peneroka. 

Mustaffa Ismail, 70, yang dahulu bekerja sebagai penoreh getah di Pokok Sena, Kedah, menyatakan penghijrahannya dari negeri jelapang padi itu ke Pahang untuk menyertai Felda 34 tahun lepas merupakan keputusan yang tepat.

“Apabila saya mula sampai ke Felda ini 34 tahun lalu, keadaan ladang sawit tidak seberapa, namun saya telah mengusahakannya sehingga kini mendatangkan pulangan yang lumayan.

“Syukur kerajaan memberikan tanah sawit 10 ekar di sini dan kehidupan keluarga pun lebih stabil dan semakin baik,” katanya kepada Bernama sambil menyatakan dia pernah menerima pulangan mengusahakan kelapa sawit sehingga RM6,000 sebulan.

Mustaffa yang juga seorang imam di Felda Bukit Sagu 1 berkata hasil pendapatan sebagai peneroka Felda, kedua-dua anak perempuannya dapat menjejak kaki ke menara gading, sehingga mereka kini bergelar peguam.

Anak sulungnya Nor Hidayah, mempunyai firma guaman di Kuantan manakala anak keduanya Nor Munirah, merupakan peguam sivil dan syariah.

“Kalau saya tak masuk Felda, memang saya tak pernah mengimpikan kehidupan seperti ini. Saya juga tidak pernah menyangka dua anak perempuan saya akan menjadi peguam,” katanya.

Sementara itu, seorang peneroka di Felda Bukit Sagu 2, Melah Busu, 56, turut menghargai jasa Allahyarham Tun Razak yang membolehkannya menikmati kehidupan yang lebih selesa selepas menyertai Felda pada tahun 1988.

“Memang dahulu orang Melayu yang tinggal di kampung susah hendak cari makan. Pendapatan tidak menentu. Mujur kami terpilih menyertai rancangan Felda dan diberi tanah 10 ekar untuk setiap peneroka,” katanya yang menyertai Felda 27 tahun dahulu.

Azhari Ismail, 62, peneroka generasi pertama Felda Kemahang I di Tanah Merah, Kelantan, pula berkata Felda sekarang sudah dilengkapi kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik, rumah selesa, sekolah rendah, sekolah menengah, klinik, masjid, kedai runcit dan tempat beriadah – amat berbeza dengan keadaan semasa 1970-an.


Menceritakan pengalamannya meneroka tanah rancangan itu daripada hutan belantara pada 1973, Azhari berkata ketika itu mereka terpaksa tidur di rumah panjang, minum air telaga dan menggunakan pelita minyak tanah sahaja.

Beliau bersyukur kerana jasa Allahyarham Tun Razak membuka tanah rancangan itu, kehidupan keluarganya berubah menjadi lebih baik dengan kesemua empat orang anaknya berjaya ke menara gading.

Seorang lagi peneroka di situ, Lijah Hassan, 57, berkata: “Kami berterima kasih kepada Felda yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Razak kerana membantu golongan seperti kami untuk memajukan kehidupan sehinggakan kami dapat menyara tiga daripada lima orang anak kami di universiti.

“Jika tidak kerana bantuan dan dorongan daripada pihak Felda, rasanya kami tidak merasai kesenangan ini, kami hanya tahu tanam pisang, ubi kayu sahaja,” katanya.

Peneroka di Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor, Ali Mohamed, 64, pula mengimbas kembali lawatan Allahyarham Tun Razak ke sebuah kawasan Felda dengan bertongkat dan meniti jambatan kayu yang disiarkan menerusi televisyen.

Katanya ia menunjukkan betapa pemimpin itu berhati besar dan sanggup turun padang meninjau keadaan rakyat meskipun berasal daripada keluarga ternama.

“Jasa arwah Tun Razak yang mahu meletakkan orang Melayu di persekitaran bandar dengan membuka kawasan rancangan Felda amat dihargai. Perjuangan beliau untuk kami telah memberi nikmat dan faedah yang berpanjangan dan amat dirasai sampai sekarang,” katanya.

Ketua Kampung Felda Pasak, Wahab Hussin, 54, berkata ramai anak kelahiran Felda mempunyai kerjaya profesional sekarang, berkat usaha program pendidikan yang diusahakan semasa Allahyarham Tun Razak membuka tanah rancangan.

Felda Pasak dibuka pada 1966 di kawasan 1,285 hektar bagi penanaman kelapa sawit (80 peratus) dan getah (20 peratus) dengan 3,000 penduduknya kini turut menjalankan aktiviti penternakan kambing, lembu dan perniagaan makanan sejuk beku sebagai kegiatan ekonomi mereka. 



Hari ini hari ulang tahun permergian Allayarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang genap 40 tahun hari ini, beliau meninggal pada usia ketika itu berumur 53 tahun.

Tun Razak telah lama meninggalkan kita, namun perginya negarawan terbilang di London pada hari Rabu 14hb Januari 1976 bersamaan 11Muharram kira-kira 6.30 petang ( waktu semenanjung pada masa tu: masih berbeza 1 jam dengan negeri-negeri Malaysia Timur). 

Tun Razak meninggal dunia akibat penyakit “acute leukemia” masih dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri yang sukar dicari ganti. Tun  Razak ibarat lilin yang membakar diri demi menerangi agama, bangsa dan negara. Beliau menderita penyakit leukemia beberapa tahun sebelum kematiannya,tetapi hanya doktor peribadinya sahaja yang mengetahui akan penyakit tersebut.

Sedangkan isterinya, keluarga dan rakyat jelata disembunyikan dari penyakit tersebut agar mereka tidak merasa bimbang ataupun susah hati. Demikianlah ciri-ciri pemimpin sejati yang hadir dalam hidup Tun Razak bin Dato’ Hussien, perginya meninggalkan nama yang harum mewangi dikenang bangsa sepanjang zaman dengan gelaran abadi ” Bapa Pembangunan”. 

Fakta-fakta berkaitan Tun Abdul Razak. 

Anak sulung kepada Dato’ Hussien bin Awang Mohd Taib, Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang dan Teh Fatimah binti Daud. 

Tun Razak dilahirkan pada 11hb Mac 1922 di Pulau Keladi, dalam Daerah Pekan, Pahang dalam zaman Sultan Abdullah Mutassim Billah ibni Sultan Ahmad Al-Muadzam (1917-1932). 

Sejarah hidup Tun Razak semasa kecil penuh dengan kepayahan. Walaupun anak seorang pembesar Pahang. Tun Razak telah dipelihara oleh datuknya, Awang Mohd.Taib di sebuah rumah di Jambu Langgar, Pekan. 

Tun Razak sendiri terpaksa berjalan kaki berulang-alik sejauh 4 batu berkaki ayam setiap hari berbekalan duit belanja sekolah satu sen sehari untuk ke Sekolah Umum di Langgar. 

Kecerdikan Tun Razak terserlah semenjak di sekolah rendah lagi dan berdasarkan pencapaian baiknya dalam pelajaran, beliau telah terpilih menyambung pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1934. 

Seterusnya beliau menyambung pelajaran di England pada tahun 1947. Tun Razak pulang ke Tanah Air pada tahun 1950, beliau terus dilantik sebagaiPenolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. 

Pada 01hb. November 1950, ketika baru berusia 28tahun, Sultan Abu Bakar melantik Tun Razak sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar, menggantikan ayahnya Dato’ Hussien bin Mohd Taib yang telah meninggal dunia. 

Penghujung tahun 1950, Tun Razak telah menjadi ahli UMNO Cawangan Kuala Lipis dan tidak lama kemudian terpilih menjadi Ketua Pemuda UMNO menggantikan Tun Hussien Onn. 

Pada 04hb September 1952, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis dari Muar, Johor yang bernama Cik Rahah binti Mohd.Noah. 

Pada 25hb Julai 1955, beliau bertanding dalam Kawasan Parlimen Semantan (Pekan ) dan menang. Seterusnya pada 09hb Ogos 1955, beliau dilantik menjadi sebagai Menteri Pelajaran. 

Pada 01hb Januari 1956, beliau menyertai rombongan merdeka ke London. Dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam bulan September 1957. 

Pada tahun 1959, beliau dilantik oleh Tunku Rahman Putra Al-Hajj, Perdana Menteri sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, pada masa inilah Tun Razak telah menubuhkan FELDA. 

Pada 31hb Ogos 1959, ketika berusia 39 tahun beliau dikurniakan Darjah Yang Mulia Setia Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran TUN, merupakan penerima darjah kebesaran paling muda. 

Tun Razak mencapai kedudukan tertinggi dalam kerjaya politiknya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2, ketika berusia 48 tahun pada 23hb September 1970, apabila Tunku Abd.Rahman Putra Al-Hajj meletak jawatan. 

Menjelang bulan September 1975, Tun Razak bertolak ke London dan dimasukkan ke London Clinic pada 22hb september kerana menghidap penyakit “acute leukemia”. Tiga minggu kemudian ( 14hb Januari 1976 ) ketika berusia 54 tahun Tun Razak, pemimpin yang dikasihi rakyat menghembuskan nafas yang terakhir. 

Jenazahnya dibawa pulang ke tanah air dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur bersebelahan dengan kubur sahabat karibnya Tun Dr.Ismail. 


Fakta Penting Tentang Tun Abdul Razak yang jarang diketahui umum. 

  • Tun  Razak mempunyai 12 orang adik beradik. Beliau anak sulung, tetapi hanya mempunyai seorang adik perempuan seibu sebapa bernama Maimunah.
  • Dua hari sebelum kematiannya, Tun Razak telah memberitahu sahabat karibnya, Taib Andak, “Yib, jangan beritahu Rahah saya akan mati…..” 

SEDEKAHKAN AL FATIHAH BUAT NEGARAWAN ULUNG INI...

AL FATIHAH!!


Diolah dari sumber dan sumber


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
#Felda : Jasa Tun Abdul Razak Yang Tidak Terbalas #FeldaDihatiku #SahabatFelda Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 14 January 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!