Friday, 22 January 2016

#BantahTPPA #TPPA Antara Anggapan Dan Rundingan

TPPA: ANTARA ANGGAPAN DAN RUNDINGAN- Bahagian 1
  • Saya 100% bersetuju bahawa TPPA menggugat kedaulatan negara.
  • Saya juga percaya TPPA menghapus keistimewaan Bumiputera.
  • Saya yakin TPPA akan menyebabkan negara muflis.
  • Saya bantah TPPA kerana ia adalah perjanjian berat sebelah yang menindas.
Noktah.

Namun, kesemua pegangan di atas hanya terpakai sekiranya TPPA yang dipersetujui 3 bulan lepas adalah TPPA yang menghapuskan dasar Bumiputera, yang mempunyai tribunal saman yang pro-syarikat, yang membuka kesemua perolehan kerajaan dan GLC tanpa sebarang kriteria dan yang tidak ada ‘exemption’ untuk Malaysia dalam perjanjian perdagangan ini.

Jika inilah TPPA yang ingin ditandatangani, maka benarlah kebimbangan yang sering dimainkan oleh sesetengah pihak.

Persoalannya- benarkah TPPA sedemikian? Adakah hasil rundingan selama 5 tahun membawa kepada TPPA yang benar-benar menakutkan?

Kata orang- ‘the devil is in the detail’. Maksudnya kejahatan berselirat dalam butiran.

Sebenarnya frasa Inggeris ini berasal daripada ‘the God is in the detail’. Jadi kesimpulan daripada kedua frasa ini adalah, butiran adalah segalanya. Dan ia boleh membawa kepada perkara yang baik (God) mahupun tidak baik (devil).

Mari kita lihat teks perjanjian TPPA yang telah dipersetujui bersama oleh 12 buah negara.

Pertama, TPPA tidak mengubah kuasa kerajaan. Malaysia bebas menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mana-mana negara di dunia.


Sebab itu walaupun TPPA ditandatangi, ia tidak menghalang Malaysia untuk menyertai RCEP* (ASEAN + China) mahupun FTA dengan Kesatuan Eropah (EU).**

Tidak hairanlah Pimpinan Tertinggi negara-negara RCEP termasuk Malaysia bersepakat untuk memuktamadkan rundingan RCEP pada Sidang Kemuncak ASEAN yang lepas.

Penggubalan undang-undang, pengenalan dasar kerajaan serta pemberian subsidi melalui program kebajikan dan sara hidup juga akan berjalan seperti biasa. Kerajaan berhak menambah atau mengurangkan subsidi.

Lantikan hakim, gabenor,ketua polis dan penjawat awam kanan di agensi kerajaan seperti PDRM, SPRM, ATM dan lain-lain terus kekal di bawah kuasa kerajaan.

Ini sama sekali berlainan dengan anggapan bahawa TPPA menjadikan kerajaan di bawah telunjuk Amerika Syarikat.

Kedua, kerajaan masih mempunyai kuasa untuk memperkenalkan langkah-langkah bagi mengawal aliran modal tidak menentu (volatile capital flow) di samping mengekalkan kestabilan kewangan dan menjaga makroekonomi negara. (Rujuk Bab 11: Perkhidmatan Kewangan, Artikel 11.11)

Katakan Malaysia dilanda kegawatan ekonomi, kita dibenarkan untuk menggunakan perolehan kerajaan sebagai salah satu langkah di bawah pakej rangsangan ekonomi di mana peraturan TPPA tidak terpakai. (Rujuk Bab 15: Perolehan Kerajaan, Lampiran 15-A: Jadual untuk Malaysia, Seksyen J, Perkara 2)

Pada masa yang sama, bank-bank asing yang ingin beroperasi di Malaysia tertakluk kepada undang-undang Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 khususnya dalam mendapatkan lesen. TPPA tidak memberikan mereka lesen ‘automatik’ untuk masuk ke Malaysia. (Rujuk Bab 11: Perkhidmatan Kewangan)

Butiran-butiran ini sekaligus menunjukkan terdapat perbezaan di antara anggapan terhadap TPPA dengan hasil rundingan TPPA.

Ketiga, Malaysia telah mendapat pelbagai bentuk pengecualian sama ada secara kekal mahupun secara tempoh peralihan.

Dasar Bumiputera Malaysia telah diberi pengecualian kekal di bawah TPPA. (Rujuk Bab 17: SOE & Designated Monopolies, Annexe 4)

Had (threshold) nilai perolehan (baca: kontrak) bagi Malaysia adalah yang paling tinggi di kalangan negara anggota TPP iaitu sebanyak RM315 juta bagi 5 tahun pertama dan akan turun secara berperingkat bagi 15 tahun berikutnya. Had negara lain hanyalah sekadar RM70 juta. (Rujuk Peraturan GP TPP untuk Perolehan Kerajaan, Annexe 15A: Jadual Untuk Malaysia)

Ini bermaksud, projek-projek dibawah nilai RM 315 juta boleh diagihkan mengikut amalan sekarang tanpa tertakluk kepada TPPA. Kontraktor melayu UMNO, PKR, PAS dan Bumiputera Sabah Sarawak tidak perlu risau.

Tidak cukup dengan itu, bagi projek bernilai lebih RM315 juta, kerajaan dibenarkan memberi kontrak perolehan sehingga 30% dari jumlah perolehan kepada Bumiputera yang layak. Syarikat gergasi Bumiputera turut diberikan keistimewaan.

Dalam perolehan bekalan dan perkhidmatan, Bumiputera masih diberikan keutamaan harga.

Projek perumahan rakyat, pembangunan luar bandar, keselamatan negara dan keagamaan dikecualikan.

TPPA juga tidak terpakai bagi perolehan kerajaan negeri serta GLC milik negeri.

Jika ini masih tidak mencukupi, projek di bawah inisiatif PPP (Public-Private Initiative) dikecualikan daripada peraturan Perolehan Kerajaan TPPA. Maknanya, syarikat Malaysia boleh mencadang dan melaksanakan projek-projek strategik dengan bantuan kerajaan tanpa perlu tertakluk kepada TPPA. Untuk rekod, sebanyak 698 projek PPP bernilai RM211.3 billion dilaksanakan sejak 1983-2014)

TPPA juga tidak menyekat kerajaan untuk terus menubuhkan agensi berstatus Bumiputera seperti Ekuinas, MARA dan Teraju dalam meneruskan agenda Bumiputera.

Ironinya, Amerika Syarikat yang (kononnya) terkenal dengan meritokrasi telah mengiktiraf dan menerima kesemua pengecualian ini bersama-sama 10 negara lain. Untuk rekod, tidak ada negara lain yang mendapat keistimewaan sebagaimana Malaysia.

Bagaimana pula dengan status halal, tribunal saman, nasib pekerja dan harga ubat? Ia akan dikupas pada artikel seterusnya.

Tetapi setakat apa yang ditulis, TPPA yang ditakutkan oleh sesetengah pihak kemungkinan hanya berdasarkan pada anggapan tanpa merujuk kepada rundingan sebenar TPPA itu sendiri.


TPPA: ANTARA ANGGAPAN DAN RUNDINGAN- Bahagian 2

Seperti yang diketahui, terdapat beberapa kebimbangan lain mengenai TPPA. Dan kebimbangan ini ada asasnya.

Namun, kita akan terus berasa bimbang dan mungkin berasa takut jika kita tidak membaca apa yang telah dirundingkan di antara 12 buah negara TPPA.

Ada yang sinis menyindir- mana mungkin teks setebal 6350 muka surat dibaca dalam masa 3 bulan.

Tahukah mereka ini bahawa teks rundingan hanyalah setebal 595 muka surat. 5350 ms yang lain adalah 4 bahagian Annexes. Bagi Jadual (Annexes) Untuk Malaysia, ia mempunyai 82 muka surat. 20 side-letter di antara Malaysia dan negara TPP lain adalah 42 muka surat.

Pada masa yang sama, terdapat ringkasan (terjemahan) bagi teks rundingan 595 ms tersebut yang sekadar 256 ms. Jika dicampur 256 + 82 + 42, jumlah yang perlu dibaca adalah 380 muka surat.

Ini jumlah yang munasabah. Bukankah rakyat Malaysia rajin membaca dan mempunyai masa lapang yang banyak?

Ada juga yang membangkitkan isu kononnya teks-teks ini boleh dipersetankan. Jika kita boleh bersetuju dengan mereka bahawa terdapat elemen geo-politik dalam TPPA, bolehkah mereka ini pula bersetuju bahawa ‘as far as the text is concerned’, hasil rundingan TPPA adalah berbeza dengan idea mereka mengenai TPPA?

Kita rujuk kepada isu Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).

Antara yang menjadi kerisauan adalah kebolehan SME Malaysia untuk bersaing dengan syarikat luar. Hanya 18-19% SME Malaysia yang memperoleh hasil jualan dari luar negara. 88% SME pula adalah Bumiputera dan rata-ratanya bergantung kepada kontrak kerajaan dan menjadi vendor GLC.

Saya tidak akan menafikan sama sekali bahawa TPPA memberikan SME Malaysia cabaran kerana mereka perlu bersaing.

Namun, persaingan harus dilihat dalam konteks semasa. Ketika ini 65% produk dan perkhidmatan di Malaysia telah pun diklasifikasi sebagai ‘non-tariff measure’ (NTM). Dalam bahasa lain, SME sudah pun bersaing.

TPPA ingin menjadikan kadar NTM sebanyak 85% iaitu peningkatan 20%.

Dari segi perolehan kerajaan dan kesitimewaan Bumiputera, Malaysia telah diberikan pengecualian seperti kuota 30% dan had (threshold) yang tinggi sebagaimana yang diterangkan panjang lebar dalam artikel sebelumnya.

Sebenarnya, bukan Malaysia sahaja yang ingin melindungi SME mereka. Negara lain seperti Jepun, Mexico dan Australia juga berasa bimbang. Ini kerana SME adalah enjin ekonomi bagi kebanyakan negara. maka fokus memperkasakan SME adalah penting untuk negara-negara TPPA. (SME Malaysia menyumbang 33.1% kepada KDNK dan 57.5% kepada pekerjaan)

Atas sebab itu, TPPA adalah perjanjian perdagangan yang pertama yang mempunyai satu bab khas berkenaan SME. Kesemua FTA sebelum ini tidak ada. (Rujuk Chapter 24: Small and Medium Enterprise)

Ada beberapa perkara yang wajar diketahui mengenai SME dalam bab ini.

Pertama, TPPA akan menubuhkan sebuah jawatankuasa SME yang dianggotai oleh setiap negara TPP bagi menyemak perkembangan SME dan membincangkan keperluan SME bagi negara masing-masing. (Rujuk Bab 24, Artikel 24.2 SME Committee)

Ini bermaksud, agenda SME akan sentiasa dikemas kini, ditambah baik dan diubah mengikut kehendak semasa.

Kedua, sebuah laman web interaktif khusus untuk SME diwujudkan bagi menyenaraikan kesemua SME yang ada. Ia bagi tujuan pemasaran dan ‘networking’. (Rujuk Bab 24, Artikel 24.1.2, Information Sharing)

Ketiga, segala proses perundangan, imigresen, dan kastam akan didigitalkan bagi memudahkan urusan perniagaan dan mengurangkan kos SME. (Bab 24, Artikel 24.1.2, Perkongsian Maklumat dan Bab 14, E-Commerce)

Keempat, Malaysia diberikan kebenaran untuk membantu pembangunan SME (dalam bentuk polisi, kewangan dan subsidi) di dalam dan untuk ke luar negara.

Kesemua ini adalah antara langkah yang diambil untuk membantu SME apabila TPPA dilaksanakan. Tetapi bagaimana pula halnya dengan perolehan dari GLC (SOE) untuk SME?

Berkenaan dengan isu ‘State-Owned Enterprise’ (SOE), hasil rundingan TPPA telah membawa kepada beberapa kriteria dan fleksibiliti.

Antaranya, SOE yang tertakluk kepada TPPA adalah SOE milik kerajaan pusat yang menjalankan aktiviti komersil sahaja. (Rujuk Bab 17, Artikel 17.1 Definisi, Annex 17-D (e), Application to Sub-Central State-Owned Enterprises)

SOE ini mestilah mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM 1.2 billion setahun. Dalam kes Malaysia, had yang diperolehi adalah RM3 billion.

Oleh itu, SOE seperti KWSP, KWAP, PNB, LTAT, SOE milik kerajaan negeri serta SOE bukan komersil (MARA, Ekuinas, Teraju) tidak tertakluk kepada Peraturan SOE TPPA. (Rujuk Annex 17-F Malaysia)

Khazanah sebagai dana kekayaan negara mendapat beberapa pengecualian. Antaranya, hak untuk menetapkan sebarang syarat dalam pelupusan aset sektor strategik. (Rujuk Bab 17, Artikel 17.13 Exception)

Felda Global Venture (FGV) dibenarkan membeli hasil daripada peneroka atas tujuan komersil. (Rujuk Annex IV, Schedule for Malaysia (5))

Institusi pembangunan kewangan seperti SME Bank, Exim Bank hanyalah untuk rakyat Malaysia sahaja dan tidak dibuka kepada luar. (Rujuk Annexx IV, Schedule for Malaysia (6))

Dengan kriteria-kriteria tersebut, sebenarnya tidak begitu banyak SOE yang bakal dibuka perolehannya kepada negara-negara luar. Dan SOE yang tertakluk pada Peraturan SOE TPPA pula dibenarkan untuk memberi sehingga 40% perolehan kepada SME, Bumiputera dan syarikat Sabah Sarawak. (Rujuk Annex IV, Schedule for Malaysia)

Sememangnya terdapat kos atau ‘trade-off’ dalam perjanjian ini. Namun ia adalah ‘controlled-trade off’ dan bukannya membuka membabi buta.

*Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) adalah perjanjian perdagangan bebas yang dianggotai oleh 10 negara ASEAN + China, South Korea, Jepun, India, Australia dan New Zealand.



**Perundingan Malaysia – EU FTA kini ditangguhkan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada perkara-perkara yang lebih penting.


Credit : Facebook MatRodi
#BantahTPPA #TPPA Antara Anggapan Dan Rundingan Daeng Selili Rating: 5 Friday, 22 January 2016
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!