Monday, 14 December 2015

UMNO-PAS Sudah Dua Tahun?!

Kerjasama antara UMNO dan PAS telah berlangsung selama dua tahun, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ia melibatkan kerjasama di peringkat 'G-to-G' antara kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS di bawah Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

"Kerjasama telah berlaku, (ia) bukan mimpi... tak tepat (kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), itu tak betul. Kerjasama telah berlaku dua tahun dah.

"Tapi itu bukan bermakna kerajaan campuran. Itu (kerajaan campuran) konsep yang lebih luas dan kita kena dapatkan persetujuan daripada anggota PAS dan UMNO dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) di Bukit Bunga, di sini Ahad.

Mustapa mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan berkata UMNO hanya 'bermimpi' jika ingin menjalinkan hubungan dengan PAS selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kerajaan campuran mungkin tidak dapat diwujudkan dalam masa terdekat, namun beliau yakin 'salam' yang dihulur oleh Najib akan disambut baik PAS selepas ini.

"Saya rasa sehari dua ini saya tak nampak ada kerajaan campuran ini, tapi kita dah mula kerjasama, saya sendiri dengan Menteri Besar Kelantan dalam setahun ini banyak pertemuan telah diadakan.

"Saya banyak kali ke Kota Darul Naim (pusat pentadbiran kerajaan Kelantan) yang tak pernah berlaku sebelum ini. Ini tanda-tanda yang baik. Menteri besar Kelantan pun banyak kali berjumpa perdana menteri untuk urusan kerajaan," katanya.

Mengenai program berkenaan, Mustapa berkata IKRaR diperkenalkan bagi merakyatkan program pembangunan komoditi kenaf supaya lebih dekat dengan komuniti di sesuatu kawasan.


"Kenaf mempunyai potensi besar kerana banyak digunakan dalam industri automotif, elektronik dan binaan. Kita sasarkan petani yang mengusahakan tanaman ini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 untuk semusim dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.
UMNO-PAS Sudah Dua Tahun?! Daeng Selili Rating: 5 Monday, 14 December 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!