Monday, 14 December 2015

Ramai Abai Aspek Keselamatan Gajet, Telefon Pintar

Oleh Nur Adila Badul Wahab

Jika anda baru membeli atau mendapat telefon pintar, gajet mahupun sebarang alat telekomunikasi apakah aplikasi pertama yang akan anda muat turun?

Sudah tentu aplikasi-aplikasi media sosial popular seperti Facebook, Twitter, Whatsapp, Wechat, Instagram, Youtube dan Messenger yang membolehkan anda berinteraksi dalam alam maya, dan tidak ketinggalan permainan siber.

Keterujaan 'orang kita' mengikut peredaran zaman dengan membuka akaun dalam media sosial dan kebergantungan terhadap kemudahan alat telekomunikasi ini tanpa disedari mendedahkan diri mereka kepada peningkatan risiko menjadi mangsa jenayah siber.

MUDAH TAPI ABAIKAN

Pernahkah anda terfikir untuk memuat turun aplikasi-aplikasi untuk melindungi gajet dan data anda daripada mudah dicuri atau digodam seperti 'Anti Theft' dan 'Android Device Manager'.

Tahukah anda akan kewujudan aplikasi-aplikasi seumpama ini?

Menceritakan pengalaman memberi ceramah berhubung jenayah siber, pengarah Onemyr Awareness Management yang juga pakar teknologi maklumat Mohd Ridzman Azzahari berkata rata-rata pengguna gajet ketika diajukan soalan sama tidak peka dengan kewujudan aplikasi seumpama itu.

"Sebenarnya banyak aplikasi percuma yang boleh dipakai untuk elakkan telefon daripada hilang. Benda mudah dan percuma tapi ramai yang tidak tahu. Kebiasaannya ceramah-ceramah saya melibatkan 80 peratus praktikal.

"Dari situ baru peserta buka mata. Contohnya, biasa kalau telefon hilang kita akan buat laporan polis. Tapi untuk ini kita lari daripada kebiasaan. Jika awak pergi buat laporan polis akan ambil masa yang lama. Pencuri tu boleh curi semua data anda dan gunakan untuk tujuan yang tidak baik.

"Kalau kita ada pengetahuan tentang aplikasi-aplikasi ini walaupun berada di London awak boleh hapuskan semua data itu dari jauh. Benda senang saja, dengan sedikit ilmu kita boleh lindungi data dan maruah kita," katanya kepada Bernama pada Program Jenayah Siber-Siapa Pahlawan Alam Maya di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu Indah di sini.

Sebagai pengguna, seharusnya bijak membezakan mana yang perlu menjadi keutamaan dan mana yang boleh dikemudiankan ketika memuat turun sebarang aplikasi pada alat telekomunikasi.

RISIKO MENJADI MANGSA

Mohd Ridzman berkata kurangnya pengetahuan mengenai aspek keselamatan dalam melindungi gajet atau telefon pintar menyebabkan ramai yang mudah menjadi mangsa jenayah siber.

Beliau berkata ramai yang menganggap telefon pintar adalah hak eksklusif dan peribadi serta boleh melakukan apa sahaja terhadap gajet berkenaan, namun mereka silap kerana dengan hanya satu gambar sahaja ia boleh mengubah kehidupan seseorang itu.

Beliau berkata golongan yang gemar mengambil gambar dan kemudian kongsi gambar berkenaan di laman sosial atau mengirimnya kepada teman lelaki mahupun suami mendedahkan mereka kepada kegiatan jenayah siber.

Aktiviti itu memberi kesan buruk jika gajet atau telefon pintar mereka hilang atau disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab memandangkan telefon bimbit mudah digodam kerana disambung dengan internet.

"Kebanyakan pengguna terutama remaja perempuan tidak menyedari kesan jangka panjang sekiranya mereka menyebarkan gambar-gambar bersifat peribadi yang akhirnya boleh memerangkap diri mereka sendiri.

"Ada kes remaja perempuan diperas ugut oleh teman lelaki sendiri akibat kesilapannya menghantar gambar lucah sendiri kepada teman lelakinya. Hanya dengan satu gambar itu maruah boleh tercemar. Jadi berhati-hatilah sebelum berkongsi atau memuat turun gambar anda dalam laman sosial," katanya.

Justeru, beliau berkata sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa jenayah siber jika mendedahkan maklumat diri kepada aktiviti berkenaan.

FOKUS AKTIVITI GODAM

Mohd Ridzman berkata sejak program jenayah siber diperkenalkan pada Februari, pihaknya memberi fokus kepada aktiviti penggodaman selain memberi ilmu kepada para pelajar dan mahasiswa bagaimana untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa godam.

"Kalau kita bercakap mengenai jenayah siber orang akan melihat kepada fitnah, scam dan sebagainya... bila dah terlalu banyak ia menjadi kebiasaan. Jadi kita tukar dan fokus kepada aktiviti penggodaman. Penggodaman ini boleh jadi satu bisnes.

"Bila saya tunjukkan bagaimana telefon pintar itu boleh digodam, para pelajar terkejut dan mereka ingin tahu lebih lanjut. Melalui program ini mereka diberi kesedaran mengenai kesan buruk jika terlibat dengan jenayah siber dan bukannya kaedah untuk melindungi aktiviti media sosial mereka.

Program secara percuma selama lima jam itu diadakan di 18 buah sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan 80 peratus secara praktikal.

Sepanjang program itu syarikat berkenaan dapat mengumpulkan hampir 5,000 borang kaji selidik berhubung jenayah siber.

Mohd Ridzman menasihati para ibu bapa agar sentiasa memantau dan mengawal aktiviti media sosial anak masing-masing memandangkan kini kebanyakan pelajar mempunyai telefon bimbit.




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Ramai Abai Aspek Keselamatan Gajet, Telefon Pintar Daeng Selili Rating: 5 Monday, 14 December 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!