Thursday, 8 October 2015

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Dikaji Menyeluruh #TPPA

Kebanyakan hasil rundingan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah berpihak kepada Malaysia walaupun dalam masa sama Kuala Lumpur turut melakukan kompromi tertentu dalam rundingan yang dijalankan. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, justeru Malaysia berpuas hati dengan hasil rundingan TPPA membabitkan akses pasaran selain fleksibiliti yang diberi berhubung isu bumiputera.


‘‘Pada pandangan saya, kita telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kepen­tingan bumiputera dalam run­dingan yang dijalankan dan kita mendapat ‘good deal’ dalam soal perolehan awam,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mustapa berkata, fleksibiliti lain yang dinikmati oleh negara ini termasuk dalam soal perolehan awam apabila Malaysia diberi keistimewaan tertentu selain tempoh peralihan yang lebih panjang.

‘‘Dalam apa jua perundingan, kita perlu berkompromi tetapi yang penting kita tidak melanggar Perlembagaan atau dasar-dasar utama termasuk berkenaan bumiputera.

‘‘Dalam 13 perjanjian perdagangan bebas yang ditandata­ngani, dasar bumiputera tetap diambil kira,’’ katanya.

Mengenai syarikat milik kerajaan (GLC) pula, Mustapa berkata, kerajaan pada awalnya mahu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dikecualikan (carve out) sepenuhnya daripada TPPA tetapi Malaysia berkompromi selepas itu.

‘‘Malaysia akan memaklumkan 11 negara perunding lain tentang pendirian kita khusus­nya berkenaan isu Khazanah dan Petronas yang perlu dibawa kepada lembaga pengarah mereka. 

‘‘Walaupun sudah mencapai persetujuan, ada perkara yang belum dapat kita berikan kata putus kerana perlu disahkan oleh Lembaga Pengarah Khazanah dan Petronas. Isu ini dipersetujui oleh negara perunding lain yang telah memberi fleksibiliti kepada kita,’’ katanya.

Mengenai isu harga ubat yang mencuri perhatian, Mustapa berkata, Malaysia bertegas TPPA tidak harus menghalang akses orang ramai kepada ubat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu milik.

‘‘Paten ubat kekal selama 20 tahun dan ini bermakna TPPA tidak menyebabkan perubahan kepada Malaysia. Untuk biologik atau ubatan bukan kimia pula, Malaysia berjaya mempertahankan pendirian supaya eksklusif data untuknya diletak selama lima tahun,’’ katanya.

Mengenai isu tembakau pula, Mustapa berkata, kerajaan telah membina 'benteng' supaya isu berkaitan keselamatan dan kesihatan tidak boleh dicabar untuk mengelakkan syarikat tembakau menyaman kerajaan Australia berulang.

Beliau berkata, kerajaan secara keseluruhannya bersetuju bahawa TPPA memberi faedah kepada Malaysia kerana penyertaan dalam perjanjian itu akan meningkatkan daya saing produk Malaysia seperti barangan elektrik dan elektronik, kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen automotif. - UTUSAN


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Dikaji Menyeluruh #TPPA Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 8 October 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!