Saturday, 3 October 2015

#MyVOC Guna Pendekatan “COOL & CATCHY”


Hari ini saya berpeluang meluangkan masa bersama seramai 1,119 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane, Kuala Lumpur sambil merasmikan Hari Anugerah Kualiti dan Kecemerlangan 2015. Turut hadir bersama ialah Saudara Hasnul Hanif Harun, Exco MBM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MBM.

Kesempatan yang terluang, beberapa perkara dapat saya kongsikan dengan para pelajar. Antaranya ialah kepentingan generasi muda di kalangan pelajar sekolah aktif dalam kegiatan kokurikulum samada melalui kegiatan berpersatuan, badan beruniform mahupun sukan.


Majlis Belia Malaysia (MBM) sentiasa membuka ruang dan peluang kepada golongan belia yang berumur 15-18 yang rata-ratanya di bangku sekolah menengah untuk menyertai kegiatan kokurikulum kerana kegiatan ini mempunyai banyak faedahnya.

Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat memenuhkan masa lapang. Pelajar yang aktif dalam kegiatan ini akan terhindar daripada terlibat dengan gejala sosial kerana banyak masa mereka digunakan untuk aktiviti kokulrikulum di sekolah seperti sukan dan sebagainya. Oleh itu, masa lapang dapat diisi dengan kegiatan yang lebih berfaedah.

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan seperti jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Sebagai contoh, apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Dengan itu, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.


Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Sebagai contoh, kegiatan-kegiatan ini dijalankan mengikut peraturan dan jadual yang telah ditetapkan. Kita perlu mematuhi peraturan dan jadual tersebut supaya segala aktiviti yang direncana dapat dijalankan dengan lancar. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Tambahan pula, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab tentunya disertai oleh ramai ahli serta terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul dan bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka dan seterusnya akan mewujudkan perpaduan antara kaum.

Akhir sekali, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum seperti menyertai pertandingan bola sepak dan sebagainya. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu, badan kita akan mengeluarkan peluh. Ini tentu akan menjadikan kita cergas, sihat, kuat dan tidak akan mudah dijangkiti penyakit.

Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyatakan bahawa MBM bersedia menawarkan penyertaan kepada para pelajar SMK Cochrane menjadi ahli Malaysian Youth Community Volunteer (MyVOC) yang diyakini mampu melahirkan golongan pelajar yang mempunyai sahsiah dan akhlak terpuji. Pendekatan “cool and catchy” yang diamalkan oleh MBM dalam mendekati anak muda akan dilakukan tanpa meninggalkan nilai-nilai murni yang wajib ada dalam setiap gerakannya.- http://www.rizanhassan.com/.




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
#MyVOC Guna Pendekatan “COOL & CATCHY” Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 3 October 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!