Sunday, 18 October 2015

Himpunan Fastaqim Capai 100K #HimpunanFastaqim #Fastaqim

Ribuan penyokong PAS mengisi ruang stadium bola sepak terbesar di Kelantan malam ini, dalam satu perhimpunan raksasa dikenali sebagai Himpunan Fastaqim (H60K), ketika parti Islam itu berharap dapat mengukuhkan semula asasnya selepas 2 kejadian besar yang menggugat kedudukannya sebelum ini.


Himpunan terbesar pertama diadakan selepas PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan bekas pemimpin progresifnya yang berpengaruh keluar meninggalkan parti bagi membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), sebelum rasmi dilancarkan sudah pun mencapai 100,000 peserta berbanding sasarannya 60,000 orang.

Mengumumkan jumlah kehadiran itu, pengacara majlis, Nasrudin Hassan, yang juga setiausaha Fastaqim, terpaksa membuat rayuan berulang kali kepada orang ramai, yang memakai baju berwarna hijau limau, yang mengisi setiap ruang dan inci Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru itu, supaya memberi laluan kepada perarakan motosikal sebagai sebahagian daripada upacara pembukaan.


Beliau juga terpaksa merayu kepada hadirin yang bersesak-sesak itu untuk cuba melapangkan kawasan bagi memberi ruang kepada mereka yang tersekat di pintu masuk stadium.

Lebih 50% hadirin terdiri daripada mereka di bawah umur 40 tahun, manakala separuh peserta perhimpunan yang juga dikenali sebagai himpunan hijau itu adalah wanita.

Ia diadakan selepas himpunan baju kuning anjuran Bersih pada hujung Ogos dan himpunan baju merah anjuran badan bukan kerajaan Melayu pada September lepas.

Perhimpunan berkenaan mencerminkan sokongan berterusan terhadap parti Islam itu di kalangan kedua-dua demografi utama walaupun ramai pemimpinnya keluar menyertai Amanah.

Amanah ditubuhkan pada 16 September oleh pemimpin yang digelar progresif selepas mereka kalah teruk dalam pemilihan parti Jun lalu. 

Pembentukan Amanah dikatakan menjejaskan kekuatan PAS di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pemimpin Amanah juga mendakwa ia mencatatkan jumlah tertinggi penyertaan ahli baharu di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Perhimpunan ini juga diadakan ketika PAS menghadapi kemungkinan bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai parti pembangkang tunggal kerana ia menolak rundingan untuk menyertai Pakatan Harapan, yang ditubuhkan menggantikan Pakatan Rakyat.

Penganalisis berkata, PAS berisiko tewas pada skala yang besar pada pilihan raya umum kelak jika ia bertanding menentang Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.



Dalam satu soal jawab dengan Harakahdaily sebelum ini, ditanya mengapa adanya himpunan itu, Nasrudin berkata, ia berorientasi mempersiapkan pemimpin, ahli dan seluruh jentera dan penyokong PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Justeru, Fastaqim bukan sebarang himpunan. Tidak pula untuk berpesta dan jauh sekali untuk habiskan masa tenaga kepada perkara yang lagha dan hanyut.

"Sebaliknya ia adalah himpunan bagi mencetuskan momentum kebangkitan PAS bersama rakyat memimpin gerakan perubahan ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, aman, sejahtera, makmur dan diberkati serta diredai Allah," katanya. – 17 Oktober, 2015.
Himpunan Fastaqim Capai 100K #HimpunanFastaqim #Fastaqim Daeng Selili Rating: 5 Sunday, 18 October 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!