Wednesday, 30 September 2015

Undi Tidak Percaya Kepada Najib - Tun Dr Mahathir

Plot 'Undi Tidak Percaya' Tun M tidak bersandar bukti dan undang-undang



1. Baru saja pada 25 September 2015, Tun Dr Mahathir menulis, “satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur,” semalam, pada 29 September 2015, kenyataannya berubah lagi kepada “the assets are actually Government land which Najib allowed 1MDB to acquire at ridiculously low prices, and then revalued 500 times more.”

2. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, aset 1MDB bukan sekadar loji janakuasa di dalam negara dan tanah di Kuala Lumpur sahaja, tetapi merupakan IPP beserta 13 loji janakuasa di dalam dan di luar negara, tanah di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi, tanah di Pulau Pinang dan Selangor, serta aset-aset kewangan yang jelas dimiliki dan mempunyai nilai di dalam penyata kewangan diaudit 1MDB. Kecenderungan Tun M mengubah-ubah data dan kenyataan menunjukkan kata-katanya bukan bersandarkan fakta dan bukti, tetapi hanya dakwaan dan tuduhan semata-mata.

3. Plot MENJENAYAH NAJIB yang bermula awal tahun 2015 sedang mengambil bentuk baru. Plot ini bermula dengan dakwaan menerusi media dalam talian (online) dan disusuli dengan cubaan memperalatkan institusi penguatkuasaan dan undang-undang negara. Plot kemudiannya menjadi rancangan menggulingkan Najib menggunakan platform parti, iaitu melalui Majlis Kerja Tertinggi, mesyuarat tahunan UMNO di bahagian-bahagian dan sayap UMNO. Apabila ia gagal, plot ini menjadi rancangan menggulingkan Najib melalui demonstrasi jalanan. Apabila ini juga gagal, ia bertukar menjadi rancangan MENJENAYAHKAN NAJIB menggunakan media, institusi dan pihak berkuasa asing, termasuk FBI. Apabila Najib tidak ditangkap oleh FBI di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), plot ini sedang bertukar kepada cubaan MENGGULINGKAN NAJIB melalui Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat pula.

4. Tun M cuba menggunakan alasan amalan demokratik dan perundangan untuk memberi justifikasi terhadap rancangan ini.

5. Tun M mendakwa “tiada PM yang membubarkan institusi yang menyiasat asal usul (wang RM2.6 bilion) dan di mana wang yang mereka punyai ini berada.” Dakwaan Tun M ini pelik, kerana pertama, rasanya sebelum ini TIDAK ADA institusi yang diarahkan untuk menyiasat asal usul dan di mana wang yang dipunyai oleh PM-PM sebelum ini, termasuk yang dimiliki oleh Tun M dan anak-anaknya. Kedua, dakwaan Tun M ini adalah pembohongan kerana Najib tidak PERNAH membubarkan Jabatan Audit Negara, Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

6. Dakwaan Tun M bahawa tiada PM sebelum ini yang “meminjam RM42 bilion pada kos yang tinggi untuk menubuhkan dana pembangunan yang terlibat dalam urus niaga yang kabur”, juga pelik kerana pertama, bukan PM yang berhutang, tetapi syarikat 1MDB. Kedua, sebelum ini kebanyakan syarikat kerajaan diberikan dana atau aset yang berpadanan dengan peranannya, sedangkan 1MDB hanya diberikan modal permulaan RM1 juta dan dari segi model perniagaannya, ia perlu mencari dana melalui pasaran hutang. Ketiga, dakwaan ‘kabur’ ini pelik kerana setiap perniagaan yang 1MDB diceburi mempunyai bukti dokumentasi yang jelas dan diaudit. Pelaburan dalam PetroSaudi memberikan keuntungan AS$488 juta. Pelaburan di dalam IPP mempunyai stesen janakuasa yang masih beroperasi, mempunyai lesen dan perjanjian perbekalan tenaga. Pelaburan dalam sektor hartanah juga mempunyai aset yang nyata dan kerja-kerja pengalihan aset serta kerja tanah juga telah dimulakan.

7. Dakwaan Tun M bahawa tiada PM sebelum ini yang “melaburkan lebih daripada RM1bilion dalam usaha sama yang meragukan dengan syarikat-syarikat Arab yang meragukan juga pelik” kerana pelaburan dan usaha sama 1MDB dibuat ke dalam syarikat Arab Saudi yang ternama, iaitu PetroSaudi. PetroSaudi, berdasarkan maklumat di laman webnya adalah sebuah syarikat eksplorisasi dan pengeluaran minyak yang ditubuhkan pada tahun 2005 dan mempunyai ibu pejabat di London, United Kingdom, Riyadh, Arab Saudi dan Geneva, Switzerland. Dalam laman web yang lain, disebut PetroSaudi mempunyai pelbagai projek di Timur Tengah, Amerika Latin, Afrika dan beberapa rantau strategik. PetroSaudi juga memiliki kapal dan melaksana operasi cari gali minyak, yang pertama PetroSaudi Saturn, dibina pada tahun 1983 oleh Keppel Fels, Singapura dan beroperasi sejak 2010. Kedua, PetroSaudi Discoverer, dibina pada tahun 1977, berkapasiti kasar 5,897 ton dan boleh mencari gali sedalam 20,000 kaki ke dalam paras laut. 

9. Paling pelik apabila Tun M mengatakan “tiada daripada mereka yang terlibat dengan skandal kewangan dan pembunuhan sesiapa,” kerana jelas bahawa sepanjang tempoh 22 tahun pemerintahannya, Tun M memang berulang kali dikaitkan dalam sejumlah skandal kewangan termasuk yang melibatkan anaknya dan individu yang disebut sebagai kroninya, sehingga ada dakwaan bahawa Tun M telah mengakibatkan kerugian RM100 bilion kepada negara. Tun M juga dikatakan terlibat dalam ‘pembunuhan’ rakyat Memali. Mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya menampakkan Tun M sudah kehabisan modal sehingga terpaksa mempertikaikan keputusan mahkamah selepas perbicaraan selama 9 tahun dan pengakuan Razak Baginda mengenai hubungannya dengan Altantuya.

10. Nampaknya Tun M masih tercari-cari justifikasi perundangan untuk MENJENAYAH dan MENGGULINGKAN NAJIB termasuk dengan menggunakan alasan dana politik dari sumber derma yang diterima Najib walaupun dia tahu tiada undang-undang yang melarang seseorang ahli politik menerima dana politik dan pihak berkuasa seperti SPRM juga telah mengesahkan bahawa ia bukan dari sumber rasuah dan 1MDB, berdasarkan bukti 4 dokumen daripada penderma dan komunikasi mereka dengan penderma.

11. Jelas, plot ‘Undi Tidak Percaya’ Tun M ini nampaknya tidak bersandarkan bukti dan hujah perundangan, sebaliknya sekali lagi, merupakan permainan persepsi semata-mata.

tun faisal dot com: Plot 'Undi Tidak Percaya' Tun M tidak bersandar bukti dan undang-undang - http://tunfaisal.blogspot.my/2015/09/plot-undi-tidak-percaya-tun-m-tidak.html?m=1
Undi Tidak Percaya Kepada Najib - Tun Dr Mahathir Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 30 September 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!