Friday, 1 May 2015

GST Punca Harga Barang Naik?! #PRKRompin #P091 #GST

GST : FAHAMI KENAPA HARGA BARANG NAIK DAN APA PUNCANYA?

Sebulan telah berlalu, namun hasrat Kerajaan untuk melihat beban cukai yang ditanggung oleh rakyat berkurangan, masih belum dapat direalisasikan. Sungguhpun punca sebenar kenaikan harga barang majoritinya berpunca daripada sikap peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan, namun apabila GST itu sendiri gagal difahami, sebahagian rakyat akhirnya mengambil jalan mudah dengan menyalahkan Kerajaan yang melaksanakan GST. Rencana saya ini mempunyai 2 bahagian. Bahagian pertama, apa yang sepatutnya berlaku selepas perlaksanaan GST. Bahagian kedua, kenapa kenaikan harga barang pula yang berlaku secara melampau selepas GST.

PERTAMA

Sepertimana yang kita ketahui, sebahagian besar harga barangan sebelum perlaksanaan GST sudahpun mempunyai elemen cukai jualan sejak tahun 1972. Kadar cukai jualan ialah 5%,10%,20% atau nilai spesifik. Semenjak tahun 1975 pula kita sudah ada Cukai perkhidmatan pada kadar 6% atau nilai spesifik seperti yuran Tahunan Kad Kredit RM50 setahun. Dalam masa yang sama, dibawah sistem lama SST, wujud elemen cukai bertindih. Contohnya, kalau kita makan maggi dirumah, kita cuma bayar cukai jualan 5%, tapi kalau makan maggi di Restoran Pelita umpamanya, kita akan membayar cukai bertindih sebanyak 11% iaitu 5% cukai jualan + 6% Cukai Perkhidmatan. Ini bererti, cukai jualan dan perkhidmatan yang telah kita hapuskan ialah dari 5% ke 26%.

Selain dari cukai yang tinggi kadarnya, kita juga terpaksa membayar cukai berganda dan bertingkat. Contohnya, seorang pengilang kasut (yang tidak memperoleh pengecualian cukai), perlu membayar cukai jualan 10% untuk beli getah bagi membuat tapak kasut dan 10% bagi membeli kulit. Katakanlah kos bagi membuat sepasang kasut termasuk gaji pekerja, sewa kilang, bil utiliti dan lain-lain adalah RM80 dan jika dia mengambil untung RM20 untuk sepasang kasut, maka kasut tersebut akan dijual kepada pemborong dengan harga RM100. Ketika kasut tersebut dijual kepada pemborong, cukai jualan 10% akan dikenakan oleh pengilang kepada pemborong. Ini bermakna, harga kasut itu sudah mempunyai elemen cukai diawal rantaian perniagaan dan harga kasut tersebut menjadi RM110 sepasang. Jika pemborong mengambil untung 20%, maka dia akan ambil RM22. RM 20 memang hak mereka, tapi RM 2 yang pemborong ambil merupakan cukai terselindung dan cukai atas cukai atau dipanggil cukai berganda. 

Begitulah juga bila peruncit membeli kasut tersebut, bila mereka mengambil untung 30% umpamanya, mereka akan mark up bukan hanya ke atas harga barang, sebaliknya mereka akan mark up 30% ke atas cukai sama. Ini dipanggil cukai terselindung dan cukai bertingkat. Akhirnya, jumlah cukai yang rakyat kena bayar sebenarnya adalah RM15.60, manakala yang sampai kepada kerajaan cuma RM10. RM 5.60 telah dikaut oleh pemborong dan peruncit sebagai sebahagian dari keuntungan mereka. Harga kasut yang asalnya RM100, akhirnya berharga RM171.60.

Selepas GST dilaksanakan, pengilang tadi hanya perlu bayar 6% bila membeli kulit dan getah. Akan tetapi, mereka boleh menuntut semula cukai input yang mereka bayar sebanyak 6% itu bukan hanya terhadap pembelian getah dan kulit, malah mereka boleh juga tuntut cukai input yang mereka bayar ke atas bil air, api, telefon dan pelbagai perkakas kilang yang lain. Ini mengakibatkan kos pengeluaran menjadi lebih murah kerana tiada lagi elemen cukai dalam menghasilkan kasut tersebut. 

Sungguhpun begitu, akan ada pengilang yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dengan mengekalkan harga kasut itu pada harga RM100. Apa yang pengguna harus buat ialah mereka harus melaporkan aktiviti pengambilan untung berlebihan ini kepada KPDNKK. Ini adalah kerana perbuatan tersebut menyalahi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Dibawah sistem GST pula, bila kasut tersebut dijual kepada pemborong, pemborong akan dikenakan cukai input sebanyak 6%. Tetapi kali ini pemborong hanya akan mark up 20% dari harga kasut. Mereka tidak akan mark up pada nilai GST yang dibayar. Ini adalah kerana, bila kasut tersebut dijual kepada Peruncit, Pemborong boleh tuntut semula cukai input yang telah dibayar sebanyak RM6 tadi sebaik sahaja mereka menjual barang tersebut kepada peruncit. 

Begitu juga peruncit, jika mereka mark up 30% sepertimana sebelum GST, mereka hanya akan mark up dari nilai harga kasut, bukan sekali dengan cukai. Ini adalah kerana, mereka juga boleh menuntut cukai imput yang mereka bayar. Kesimpulannya, sistem percukaian baru GST ini sememangnya boleh mengurangkan harga barang kerana kadar cukainya yang lebih rendah serta penghapusan cukai berganda, bertingkat dan bertindih.

KEDUA

Walau bagaimanapun, apa yang kita harapkan melalui GST ini belum nampak kesan positive secara menyeluruh lagi. Berikut disenaraikan punca kenaikan harga barang yang dapat dikesan sepanjang tempoh sebulan ini :

1. BARANGAN YANG TIDAK DICUKAI SEBELUM INI

Terdapat sesetengah barangan sebelum ini tidak dikenakan cukai jualan, tetapi di bawah GST, ianya dikenakan cukai. Contohnya, cukai jualan ke atas telefon bimbit telah dihapuskan tahun 2011, malah setahun dua yang lalu kerajaan memberikan pula vaucher telefon pintar RM250 kepada anak muda berusia 21 tahun ke bawah. Bila kini sudah ramai pengguna telefon pintar dan tiada lagi pengecualian diberikan, memang ianya mengakibatkan kenaikan harga telefon bimbit.

2. STOK LAMA YANG TIDAK BOLEH DITUNTUT CUKAI JUALAN

Bila datang tarikh 1 April, kebanyakan kedai-kedai masih mempunyai stok lama. Stok lama ini boleh dituntut cukai jualan yang telah dibayar. Namun sekiranya ianya sudah digunakan sebahagiannya, maka cukai jualan ke atas produk tersebut tidak boleh dituntut. Ini adalah kerana cukai jualan hanya boleh dituntut semula jika barangan tersebut masih sempurna (intact) atau dalam bungkusan. 

Contohnya, jika seorang tukang jahit masih ada segulung kain yang baru digunakan untuk membuat sehelai baju, maka selagi gulungan kain itu belum habis digunakan, selagi itulah harga baju yang dijual oleh tukang jahit itu akan mempunyai elemen cukai jualan + GST. Ini juga akan menyebabkan harga baju naik berbanding sebelum GST.

3. PENIAGA TIDAK MENUNTUT CUKAI JUALAN

Stok yang dibeli sebelum April 2015 telah dikenakan cukai jualan, sehubungan dengan itu, para peniga perlu menuntut semula cukai jualan ini. Malangnya, cukai jualan hanya boleh dituntut oleh si pembayar cukai iaitu pengilang. Ini bererti, si peruncit perlu tuntut dengan pemborong, pemborong tuntut dengan pengilang dan hanya pengilang boleh menuntut dengan kastam. 

Kesukaran menuntut cukai jualan inilah yang mengakibatkan hanya 3 daripada 75,000 orang peniaga yang layak menuntut cukai jualan, telah menuntut cukai jualan tersebut. Inilah yang menyebabkan peniaga-peniaga ini memindahkan beban membayar GST kepada pelanggan mereka. Perkara ini juga menyebabkan kenaikan harga barang kerana ianya sudah menjadi cukai jualan + GST.

Ini juga bermakna, peniaga-peniaga yang telah mengurangkan harga barangan jualan mereka atau mengekalkan harga lama, sebenarnya telah memotong margin keuntungan mereka bagi mengekalkan atau mengurangkan harga barang. Konsep begini juga sebenarnya tidak bagus untuk peniaga dalam jangka masa panjang. Mereka sepatutnya menuntut cukai jualan terlebih dahulu, menurunkan harga barang dan mengenakan GST.

4. PENIAGA AMBIL KESEMPATAN

Ada dikalangan pengilang tetap menjual produk mereka pada harga lama walaupun kos pengeluaran produk mereka berkurangan selepas tiada lagi elemen cukai. Sebaliknya, mereka memindahkan tanggungjawab membayar GST kepada pemborong. Ini menyebabkan Pemborong menaikkan harga barang yang mereka jual kepada peruncit.

5. KURANG FAHAM SISTEM GST

Ada juga dikalangan peniaga yang dengan sewenang-wenangnya mengenakan GST sedangkan mereka tidak mendaftar dengan kastam serta tidak mempunyai Nombor Pendaftaran Kastam. Kenaikan harga juga boleh berlaku sekiranya peniaga-peniaga ini mengenakan GST ke atas harga keseluruhan semua produk jualan mereka tanpa mengira ianya Pembekalan Standard, Pembekalan Sifar atau Pembekalan Dikecualikan. Ini bermakna barangan yang kadar GST nya 0% dan dikecualikan GST turut di kenakan kadar 6%.

6. SABOTAJ

Sejak pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri pada 25 Oktober 2013, sudahpun ada peniaga yang sengaja menaikkan harga barang walaupun GST hanya akan dilaksanakan 17 bulan selepas itu. Malah dengan biadapnya mereka meletakkan gambar PM dan Isteri untuk dipersalahkan atas kenaikan harga ini. Mereka ini terdiri daripada peniaga-peniaga pro pembangkang. 

Mereka menggunakan GST sebagai alasan untuk mengaut keuntungan berlebihan dan dalam masa yang sama mengharapkan tindakan mereka itu akan menaikkan kemarahan rakyat dan sekaligus memudahkan mereka menjatuhkan kerajaan. Bagi mengatasi masalah peniaga yang mengambil kesempatan dan curang ini, rakyat harus dididik supaya berani melaporkan penyelewengan yang dilakukan oleh peniaga-peniaga ini kepada KPDKK di talian 1-800-866-800 atau melalui aplikasi yang disediakan.

Saya yakin, kenaikan harga barang dengan menggunakan alasan GST ini akan stabil dalam masa 6 bulan ke setahun. Sebagai contoh, jika ada 80% peniaga yang mengambil kesempatan dan 20% peniaga yang tidak mengambil kesempatan. Persaingan yang akan diwujudkan oleh kumpulan 20% ini pasti lambat laun akan menarik golongan yang 80% tadi. Dengan syarat, kempen 3M harus dilancarkan dan digerakkan oleh rakyat dan media. 3M yang saya maksudkan ialah Memilih, Melapor dan Memboikot. Berpandukan shoppers guide yang disediakan oleh KPDNKK, pengguna harus memilih kedai yang menjual pada harga yang paling baik. 

Mereka perlu melaporkan jika ada pihak yang mengambil kesempatan atau menipu. Selepas memilih dan melapor, mereka harus menghebahkan kepada orang lain termasuk melalui media elektronik, media cetak dan media baru tentang kedai pilihan mereka dan kedai mana yang wajar diboikot. Saya yakin lambat laun jika peniaga-peniaga ini masih berdegil untuk mengambil kesempatan, mereka pasti akan berhadapan dengan risiko gulung tikar.

Saya satu punca kenapa GST sukar difahami adalah kerana pemahaman tentang GST ini hanya boleh dicapai melalui penerangan dan tulisan panjang-lebar mengunakan bahasa rakyat yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat. Malangnya, untuk menghabiskan bacaan rencana ini contohnya, sudah pasti ramai juga diantara kita yang syahid ditengah jalan. Ini belum lagi diminta untuk menjawab pembangkang atau mematahkan hujah pembangkang. 

Itu sebabnya ramai yang gagal menyahut cabaran untuk memikul tugas besar menerangkan kepada rakyat tentang GST. Lebih mengecewakan, bila mereka sendiri tidak faham tentang GST, mereka mula mengiakan segala fitnah dan tohmahan terhadap GST. Keadaan menjadi lebih parah apabila ada pula yang menggunakan GST untuk menjatuhkan pemimpin negara dan mendesak agar GST dibatalkan.

Oleh : Lokman Adam30 April, 2015



للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
GST Punca Harga Barang Naik?! #PRKRompin #P091 #GST Daeng Selili Rating: 5 Friday, 1 May 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!