Saturday, 14 June 2014

Produk Kosmetik Ada Racun Haram Dikesan


Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan produk ‘Dermaceutic Spot Cream’ dan ‘Dermaceutic Spot Peel Cream’ kerana mengandungi racun yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian mendapati produk `Dermaceutic Spot Cream’ dengan nombor notifikasi NOT101104772K dan `Dermaceutic Spot Peel Cream’ bernombor notifikasi NOT101104771K mengandungi racun hydroquinone dan tretinoin.


“Produk yang mengandungi hydroquinone atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Hydroquinone biasanya digunakan untuk merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi, manakala tretinoin digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat.


Penggunaan hydroquinone atau tretinoin tanpa mendapat nasihat kepakaran dari profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan tidak diingini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata, produk kosmetik yang dicampur dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

Menurutnya, ia boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. 

Jelasnya, kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Manakala, katanya, produk kosmetik yang dicampur dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Justeru, kata beliau, syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan dan pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Katanya, mereka yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk tersebut dengan serta-merta.

“Pengguna adalah dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-7883 5532/5533/5537 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat daripada penggunaan produk-produk kosmetik,” katanya lagi.


Nak cantik lagi cantik last last muka macam tempeyek

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Produk Kosmetik Ada Racun Haram Dikesan Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 14 June 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!