Saturday, 26 April 2014

Pecat Khalid Azmin Boleh Selesaikan Isu Air? - Shamsudin #isuair #airselangor

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Shamsudin Lias menolak mentah-mentah desakan yang disuarakan Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Oii agar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat atas alasan kegagalan pentadbiran beliau menguruskan masalah air.

Menurut Shamsudin, desakan itu hanyalah permainan politik Pakatan Rakyat (PR) menjelang pemilihan PKR Mei nanti bagi menjejaskan peluang Khalid bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu daripada penyandangnya, Mohamed Azmin Ali.


Tambah Shamsudin lagi, isu air hanya dijadikan modal untuk menjatuhkan Khalid sambil menyifatkan desakan itu sebagai kesinambungan kepada ‘Kajang Move‘ yang sememangnya direncanakan bagi menggantikan menteri besar itu.

Desakan pecat Khalid hanya mainan politik untuk jejaskan peluang beliau dalam pemilihan PKR – Shamsudin

“Ini semua komplot Kajang Move, semua muslihat politik, sebab terang-terangan dia (Jeff Oii) menyokong Azmin.

“Kalau Khalid turun, ganti dengan Azmin adakah beliau boleh selesaikan masalah air ini?

“Ini bukan soal ganti MB atau apa, ini soal persediaan yang tidak ada walaupun sudah maklum (hasil kajian oleh Kerajaan Persekutuan) krisis ini akan berlaku.

“Saya sendiri tak rasa Khalid perlu turun dari jawatan dia, apa yang perlu dia buat adalah sediakan rancangan yang sebaiknya untuk selesaikan masalah air ini,” katanya ketika dihubungi bnbbc.mybagi mengulas berkenaan desakan Jeff Oii itu.

Menurut beliau, Khalid seharusnya menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dengan mengambil pendekatan yang sewajarnya bagi menyelesaikan dan memastikan krisis air ini tidak berlarutan.

Perkara ini, menurut Shamsuddin lagi, sudah dibincangkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan serius.

Namun sehingga kini belum ada langkah ataupun keputusan yang baik dibuat oleh pihak kerajaan PR Selangor.

“Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa, memang kesilapan Khalid sebab dia tidak ada buat apa-apa rancangan sedangkan sudah kita jangkakan perkara ini pada 2014 akan berlaku krisis air, kalau dalam keadaan macam ini, dah terhantuk baru terngadah.

“Sekarang ini bergantung kepada Allah swt, dah hujan dekat empangan capai tahap 45 peratus baru berhenti catu.

“Sedangkan kalau difikir, masalah sekarang ini adalah masalah bekalan air pun tidak ada, bukan masalah loji rawatan air pun,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta Khalid memberikan pertimbangan sewajarnya berhubung tawaran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membekalkan 20 juta gelen air sehari atau menggunakan terowong air yang sudah siap di antara Pahang dan Selangor bagi menambah jumlah air di dalam empangan di negeri itu.

“Kerajaan Negeri Sembilan dah tawar untuk bekalkan air, maknanya sekarang ini tinggal runding harga…lagipun duit air percuma pun dah tak boleh nak pakai sebab air pun rakyat tak dapat sebab kena catu, campur duit rezab pun banyak, pakai lah.

“Lagi satu idea saya, saluran air dari Pahang dah ada, tak payah buat loji rawatan air, masukan sahaja air dalam Empangan Semenyih untuk disalurkan kepada empangan lain sekitar Selangor.

“Air di Pahang banyak, apa salahnya guna sebab sekarang ini bukan masalah air terawat, ini air pun tak ada,” jelasnya lagi.

Jeff Ooi pada Rabu menerusi laman sosial Facebooknya berkata bahawa masalah bekalan air menyulitkan urusan orang ramai termasuk dirinya sendiri sehingga terpaksa ‘mandi kerbau’ setiap kali pulang ke kediamannya di Subang Jaya.

Justeru itu beliau mendesak agar Khalid dipecat ekoran gagal mengatasi masalah catuan air di Selangor yang sudah berlarutan sejak sebulan lalu.

Jeff turut mengakui bahawa di bawah pentadbiran kerajaan BN sebelum ini masalah air tidak pernah seteruk situasi kali ini.

“Saya merupakan seorang pembayar cukai di Selangor sejak bertahun-tahun lamanya kerana saya memiliki rumah di Subang Jaya.

“Kami tidak pernah menghadapi catuan air yang berlarutan begitu lama seperti ini, malah semasa pentadbiran BN sekalipun.

“Kegagalan Pakatan adalah kegagalan Pakatan. Masa Khalid sudah tamat. Pecat orang ‘tidak guna’ ini,” katanya seperti dilaporkan portal berita MalaysiaKini.

Gesaan beliau disambut Ahli Parlimen PKR Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang menyifatkan kelemahan dan kegagalan Khalid mentadbir negeri itu memberikan tekanan kepada PR Selangor.

Menurut beliau, ekoran kepincangan dalam pentadbiran Khalid, barisan pembangkang di Selangor iaitu BN menekan dengan hanya menzahirkan kelemahan mereka yang hanya berpunca daripada kegagalan Khalid.

Oleh itu Abdullah Sani menyokong cadangan Jeff Ooi agar Khalid dipecat.

“Soal Khalid kena turun ini kalau ikut hukum bukan sunat dah, dia dah jadi wajib.Dia lemah dan gagal dalam pentadbiran maka itu jadi modal untuk pembangkang dekat Selangor ini desak kita dan bagi kita nampak lemah.

“Soal penukaran MB ini perlu disegerakan, jangan ditangguh lagi sebab jelas beliau sudah gagal,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap Khalid yang didakwanya lebih mengutamakan kempen bagi pemilihan parti berbanding rakyat di Selangor, sedangkan sebagai MB keutamaan beliau sepatutnya adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Isu air ini sudah berlarutan, dan Khalid kena fikirlah…jangan sibuk berkempen sedangkan keutamaan bagi dia adalah rakyat sepatutnya.

“Dalam keadaaan ini, sepatutnya tidak ada lagi kompromi, kalau perlu disegerakan pertukaran MB kalau dia tidak pandai nak segera untuk selesaikan masalah air yang makin runcing,” katanya ketika dihubungi. -bnbbc.my


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Pecat Khalid Azmin Boleh Selesaikan Isu Air? - Shamsudin #isuair #airselangor Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 26 April 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!