Friday, 11 April 2014

Khutbah Jumaat Didakwa Mempromosikan GST?!


Fitnah pada khutbah Jumaat yang cukup berani dilontarkan oleh Nurul Izzah?!

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

"MEMPERKASA EKONOMI UMMAH" 
(11 APRIL 2014 /11 JAMADILAKHIR 1435H)


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: "MEMPERKASA EKONOMI UMMAH".

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam memahami konsep "baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur", sebagaimana yang terkandung di dalam al–Quran, maka jelas menuntut manusia agar memelihara dan membangunkan kehidupan seharian dengan bijaksana berlandaskan prinsip Islam, termasuk dalam mengurus harta kekayaan serta ekonomi Negara. Justeru ianya memerlukan seorang pemimpin yang dapat mengurus khazanah harta negara dengan sebaik mungkin. Berdasarkan syariat Islam harta merupakan hak mutlak Allah SWT dan merupakan satu anugerah daripada-Nya. Dalam kehidupan individu, harta adalah sebagai wasilah bagi memenuhi keperluan yang dihajati. Justeru, harta dilihat sebagai paksi aktiviti ekonomi dalam pembangunan ummah. Oleh yang demikian, keperluan manusia kepada harta tidak dapat dinafikan. Kerana itulah falsafah kenegaraan dalam Islam mengutamakan prinsip maqasid al-syariah yang diantaranya ialah menekankan aspek pengurusan harta. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Bermaksud: "Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang-orang miskin serta orang-orang musafir (yang keputusan).(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu."
Ayat ini menjelaskan bagaimana pengiktirafan Allah SWT terhadap dasar yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bagi menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Ansar dan Muhajirin. Malah banyak lagi perkara lain yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memberi ruang dan peluang kepada pelbagai kelompok rakyat agar mendapat keadilan bagi memperolehi hak mereka.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Percayalah bahawa agama Islam sangat menganjurkan umatnya supaya membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan dari aspek kerohanian, keperibadian dan akhlak. Mimbar percaya kesan daripada harta yang diusahakan mengikut prinsip maqasid al-syariah akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah SWT begitu juga sebaliknya sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra' ayat 30:

Bermaksud: " Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Ia juga menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."
Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam memperkasa ekonomi ummah, mimbar ingin menyatakan bahawa agama Islam mengajar umatnya supaya tolong-menolong dan bantu-membantu dalam perkara kebajikan. Justeru, penyusunan semula ekonomi ummah untuk kesejahteraan rakyat adalah satu langkah yang bijak selaras dengan tuntutan Islam . Maka dengan itu pentadbiran dan pengurusan zakat, pelaksanaan hibah, mewakafkan harta kekayaan dan sebagainya adalah antara alternatif untuk meningkatkan taraf ekonomi ummah.

Menurut seorang ulama', Muhammad 'Arfah al-Dusuqi menjelaskan bahawa wakaf harta ialah memberikan manfaat sesuatu harta yang dimiliki kepada orang yang berhak dengan satu akad dalam jangka masa tertentu, sesuai dengan kehendak pewakaf. Menurut Abu Yusuf , Muhammad bin Hasan, Ahmad bin Hanbal dan al- Syafi'i, wakaf ialah menahan 'ain mawquf (harta) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan menyedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya.


Mimbar yang mulia ini ingin menjelaskan secara ringkasnya bahawa wakaf harta merupakan satu amalan sunat dan digalakkan serta menjadi wajib dilaksanakan apabila dibuat dengan wasiat. Oleh itu, dalam ekonomi, wujudnya golongan yang mengagih semula harta kekayaan kepada orang lain, sangat penting kerana ia boleh membantu mencapai pembangunan ekonomi sesebuah negara. Amalan mewakafkan harta ke jalan yang baik akan diberi oleh Allah SWT ganjaran pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah. Bayangkanlah, bagaimana pahala kita akan terus mengalir tanpa henti selagi mana ia digunakan. Maka, bergembiralah jika kita dalam golongan yang telah melaksanakan wakaf. Namun, jika kita masih belum berwakaf, inilah masanya untuk kita mulakan. Ingatlah Allah SWT berfirman di dalam surah Ali-Imran ayat 92:
Maksudnya: "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."


Berdasarkan kepada asbabul nuzul, diceritakan bahawa Abu Talhah adalah seorang Ansar yang paling banyak memiliki kebun kurma di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayangi ialah kebun kurmanya di Bairuha, yang terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah SAW sendiri pernah mengunjunginya dan sangat mensyukuri nikmat kesegaran air minumannya. Justeru, Abu Talhah telah mengambil keputusan untuk mewakafkan kebun yang disayangi ini untuk kegunaan ummah ke jalan Allah SWT.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh kita dalam memperkasa ekonomi ummah ialah dengan memastikan kita membayar cukai yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Mimbar ingin menyatakan bahawa pengambilan harta melalui sistem percukaian adalah dibenarkan oleh syarak yang dipungut oleh pemerintah. Allah SWT berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 41:

Maksudnya: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) atau berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."


Sebagaimana yang kita ketahui pada hari ini, pihak pemerintah sedang memperkenalkan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dimana rakyat akan menikmati harga lebih kompetitif untuk pelbagai jenis barangan. Mimbar ingin menyatakan secara ringkasnya GST melaksanakan imbangan (offset) penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan dan ia bersifat progresif. Perlaksanaan ini tidak akan membebankan rakyat kerana ianya merupakan satu kaedah penyusunan sistem percukaian negara supaya ianya lebih berkesan, saksama, efisyen dan telus serta dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih.

Marilah sidang jemaah sekalian, kita tarik nafas kebijaksanaan, kita cari informasi yang sebenar. Percayalah bahawa pelaksanaan cukai GST adalah untuk memperteguh ekonomi dan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Mimbar amat yakin bahawa pelaksanaan ini berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan – iaitu menghayati semangat berlapang dada dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan. Amalan yang berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah SWT di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, melakukan penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Pada hari dan saat yang barakah ini, mimbar ingin berpesan kepada umat Islam sekalian bahawa menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperkasa ekonomi ummah, samada dengan mempraktikkan amalan untuk mewakafkan harta milik sendiri atau menguruskan harta wakaf secara efisyen, profesional dan seterusnya menyedari tanggungjawab untuk menyempurnakan bayaran cukai kepada negara. Maka, mimbar yang mulia ini menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama berusaha dengan memberi kerjasama secara serius dan teratur. Melakukan urus tadbir yang terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak dari berlakunya ketirisan dan penyelewengan. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa tanggungjawab memperkasa ekonomi ummah ini adalah amanah daripada Allah SWT dan amanah ini akan diperhitungkan di akhirat nanti.

Mimbar juga menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, agar berbelanja mengikut keutamaan dan mengikut kemampuan. Berbelanjalah apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu janganlah membazir, sentiasa sabar untuk mengawal nafsu agar berbelanja secara berhemah. Hidup sentiasa seimbang (check and balance) iaitu hidup bersederhana dalam semua perkara yang menyumbang kepada kesejahteraan diri sendiri dan orang lain. Mimbar berkeyakinan bahawa pemerintah yang bertanggungjawab akan senantiasa memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana untuk mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang demi untuk kesejahteraan rakyat secara berterusan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 148:


Maksudnya:"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

-Tamat-

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

























Khutbah Jumaat Didakwa Mempromosikan GST?! Daeng Selili Rating: 5 Friday, 11 April 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!