Saturday, 26 April 2014

HUDUD : PAS Sila Keluar Pakatan - Anthony Loke Siew Fook

“tidak ada kawan atau musuh yang kekal dalam dunia politik, tetapi kita mesti mempunyai prinsip yang berkekalan (tolak hudud?)” - Karpal 

Kita sedia maklum bahawa kewujudan Pakatan Rakyat adalah bertitik tolak dari persetujuan PAS untuk menggugurkan prinsip Negara Islam, yakni negara yang berlandaskan undang-undang Syariah, termasuk melaksanakan hukum hudud.

Namun, setelah beberapa lama, isu hudud dibangkitkan semula oleh PAS dan terus menjadi topik hangat terutama pada musim pilihanraya, dan sehinggalah ke hari ini. Malah kini, PAS bukan sekadar membangkitkan isu hudud sekali lagi, tetapi kelihatan nekad untuk melaksanakannya di Kelantan.


Nampaknya, DAP dan PKR telah ditipu hidup-hidup oleh PAS.

PAS bukan sahaja menipu DAP dan PKR, tetapi beberapa kali turut menipu diri sendiri dengan ilusi kononnya DAP telah menerima hudud. Kenyataan-kenyataan pemimpin PAS sejak parti itu bekerjasama dengan DAP, seringkali cuba menggambarkan seolah-olah mereka telah berjaya mentarbiyahkan DAP agar lebih terbuka dengan agama Islam.

Sedangkan hakikat sebenarnya DAP tidak pernah berganjak dalam menentang hudud dan Negara Islam PAS, hatta turut mempertikai ‘perlembagaan kafir UMNO’ yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kini pertembungan PAS–DAP dalam isu hudud sudah sampai ke gelanggang. Kedua-dua parti tidak boleh mengelak lagi sekiranya ia dibentangkan di parlimen nanti. PAS-DAP terpaksa berlawan sehingga salah satunya muncul sebagai pemenang.

Mahu tidak mahu Pakatan Rakyat perlu mencari mencari kata putus dalam isu hudud.

Di sinilah peranan Ketua Pembangkang menjadi tersangat penting, iaitu untuk menentukan hala tuju dan prinsip perjuangan secara tuntas. Beliau perlu memastikan bahawa salah satu parti, iaitu PAS atau DAP mengalah, atau dikeluarkan saja dari Pakatan sekiranya tidak mampu berpegang kepada prinsip yang dimeterai bersama.

Apa pun terjadi, kedua-dua parti itu tidak boleh duduk dalam satu gerabak yang sama jika memilih destinasi berbeza.

Malang bagi Pakatan Rakyat kerana mempunyai Ketua yang tidak tahu memainkan peranan yang sepatutnya, tetapi asyik tergila-gila ingin menjadi Perdana Menteri. Oleh kerana mempunyai Ketua yang tidak berkesan maka kemelut mengenai isu hudud dalam pakatan mungkin berlarutan sehingga ke akhir hayat. Selamanya hudud akan diperdebat, dibincang dan dijadikan modal politik Pakatan Rakyat sementara rakyat terus dikelirukan dan Islam terus dipermainkan.

‘Hudud’ sebenarnya memberi peluang kepada PAS dan DAP mempamerkan prinsip dan ketegasan masing-masing. Bagi puak rasis Cina, mereka melihat inilah masanya untuk melihat sama ada DAP benar-benar pejuang Cina yang tidak tunduk kepada Melayu sepertimana MCA. Bagi para pejuang Islam PAS pula, inilah masanya untuk mereka melihat sama ada PAS masih relevan untuk disokong.

Setakat ini, kedua-dua PAS dan DAP masih tidak bertindak, tetapi sekadar bertengkar bagai suami isteri yang masih sayang menyayangi. Biarpun isu hudud semakin hari semakin menekan pakatan, namun, masih lagi tiada tanda-tanda yang mana-mana parti ini sanggup mengambil tindakan menyatakan pendirian untuk kesekian kalinya.


Demi politik, PAS dan DAP masing-masing sanggup mengenepikan agama dan prinsip parti.

Kesimpulannya, kedua-dua PAS dan DAP adalah parti yang lemah, tidak berpendirian dan tidak bermaruah. Pakatan Rakyat pula adalah sebuah kerjasama parti politik tanpa Ketua. Akibatnya, setiap isu tidak dapat diputuskan dengan jelas dan masalah terus berlarutan tanpa kesudahan.

Bayangkan, sekiranya PR yang memenangi PRU yang lepas, apalah agaknya nasib negara ini pada hari ini - Editor



PAS perlu berundur dari Pakatan Rakyat sekiranya bertegas untuk melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan


Sekali lagi isu pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan menjadi polemik yang hangat dalam media massa arus perdana. Isu ini timbul semula selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO untuk membantu PAS melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.

Isu pelaksanaan Hudud sebenarnya bukan satu isu baru dalam persada politik Malaysia. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dan di DUN Terengganu pada tahun 2002.

Namun, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana undang-undang yang melibatkan jenayah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan hanya boleh diluluskan melalui Parlimen. Jadi, itulah sebabnya dikatakan bahawa pelaksanaan Hudud adalah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak mengetahui pendirian DAP dalam isu ini iaitu DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut kerana ia tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Bagaimanakah penguatkuasaan undang-undang jenayah dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya ada dua set undang-undang yang diaplikasikan secara berlainan kepada orang yang beragama Islam dan bukan Islam. Jenayah tidak ada sempadan warna kulit dan agama dan adalah mustahil penjenayah hanya melakukan jenayah ke atas mangsa dari kalangan agamanya sendiri sahaja.

DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan Hudud tidak sama sekali bersamaan dengan DAP menentang agama Islam ataupun anti-Islam. DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun phobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA.

Malah, saya sendiri pernah mempertahankan Tok Guru Nik Aziz di Parlimen apabila pemimpin MCA memfitnah Tok Guru kononnya beliau mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol. Saya juga pernah mengatakan kepada masyarakat bukan Islam bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti sekiranya kita tidak mencuri dan merompak.

Ya, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan perasaan phobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Kita mahu mereliasasikan perubahan politik di bawah Pakatan Rakyat untuk membawa agenda politik yang baru yang menekankan prinsip-prinsip keadilan untuk semua, pentadbiran yang baik tanpa rasuah dan meninggalkan politik perkauman warisan UMNO dan Barisan Nasional. Kita menghayati dan serius dalam misi tersebut.

DAP juga mengetahui bahawa pelaksanaan Hudud merupakan salah satu matlamat utama perjuangan politik PAS. Prinsip yang telah dimeterai dalam kerangka Pakatan Rakyat ialah parti masing-masing boleh mengekalkan matlamat perjuangan asalnya namun apa-apa keputusan dari segi pelaksanaan dasar dan undang-undang di mana-mana peringkat kerajaan perlu mendapat konsensus bersama dari semua parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP.

Dokumen yang mengikat permuafakatan dan kerjasama ketiga-tiga parti ialah Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai oleh pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam.

Semangat yang paling utama dalam Dasar Bersama tersebut ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan dengan jelas mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama untuk Persekutuan dan hak kebebasan beragama untuk agama-agama lain, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

DAP tidak pernah membelakangkan prinsip-prinsip tersebut termasuk di negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP. Seluruh pimpinan dalam Pakatan Rakyat membuat keputusan tersebut secara sedar dengan mendahulukan perkara-perkara yang kita persetujui bersama dan tidak menyentuh isu-isu yang tidak dipersetujui. Amat jelas bahawa, pelaksanaan Hudud di mana-mana negeri bukan merupakan agenda yang dipersetujui dalam kerangka Pakatan Rakyat.

Justeru itu, apabila ada sebahagian pimpinan PAS khususnya pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang bertegas secara persendirian untuk mengemukakan satu Rang Undang-undang Persendirian (Private Member’s Bill) di Dewan Rakyat melalui Ahli Parlimen PAS dari Kelantan tanpa mencapai kata sepakat atau konsensus dalam Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, maka keputusan dan tindakan tersebut adalah dilihat sebagai mencabuli permuafakatan Pakatan Rakyat.

Sebagai parti politik yang berprinsip dan bertanggungjawab, PAS perlu menghormati dan mengikuti asas-asas permuafakatan yang telah dipersetujuinya. Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat.

PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada Pakatan Rakyat. Sebagai pendukung Pakatan Rakyat, saya amat berharap kerjasama di antara kita tidak berkesudahan sebegitu kerana pertalian di antara PAS dan DAP terutamanya di peringkat akar umbi telah terjalin dengan begitu akrab dan utuh sekali.

Namun begitu, kami perlu membuat satu keputusan yang berprinsip daripada terus berdolah-dalih di depan rakyat. Seperti ungkapan mendiang Sdr Karpal Singh, “tidak ada kawan atau musuh yang kekal dalam dunia politik, tetapi kita mesti mempunyai prinsip yang berkekalan”!


Ditulis oleh,

Loke Siew Fook

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
HUDUD : PAS Sila Keluar Pakatan - Anthony Loke Siew Fook Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 26 April 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!