Thursday, 20 February 2014

Waythamoorthy Naif?!


Tindakan Pengerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur hanya kerana tidak memenuhi tuntutan beliau disifatkan sebagai biadab dan melampaui batas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sikap Waythamoorthy yang cuba menyalahkan kerajaan khususnya Perdana Menteri pada hakikatnya, merupakan permainan politik beliau untuk menutup sikapnya yang mementingkan diri.

Katanya, tindakan beliau selaku Timbalan Menteri yang menuntut agar semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah kawalannya mencerminkan sikap tamak dan tidak ikhlas beliau dalam memperjuangkan nasib kaum India secara holistik, seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini.

"Beliau perlu ingat, ramai lagi pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang telah memperjuangkan nasib kira-kira dua juta kaum India di negara ini. Saya sendiri selaku Ahli Parlimen Sembrong telah banyak membantu kaum India di kawasan saya selama ini.
"Selaku Menteri Kabinet dan Naib Presiden UMNO, saya tidak dapat menerima tindakan Waythamoorthy menyerang kerajaan selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri.

"Keputusan beliau memilih meletakkan jawatan setelah hanya sembilan bulan di dalam pentadbiran merupakan satu perbuatan khianat yang ternyata membelakangkan semangat setiakawan dalam kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Waythamoorthy yang semalam mengambil jalan mudah menyalahkan kerajaan terhadap kemunduran masyarakat India di negara ini.

Meskipun pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini disifatkan pelbagai pihak sebagai sia-sia, Waythamoorthy tetap berusaha menegakkan benang basah apabila mendesak Perdana Menteri pula meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Waythamoorthy sendiri tidak pernah datang berjumpa dan berbincang dengan beliau dalam hal peletakan jawatannya, apatah lagi membentangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan atau kebajikan kaum India.

Ternyata, kata beliau, Waythamoorthy masih terpengaruh dengan corak pendekatan politik yang dilakukan oleh Hindraf iaitu melalui desakan dan tekanan.

Jelasnya, Waythamoorthy perlu memahami bahawa corak kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengamalkan sikap demokrasi dan toleransi tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

"Peluang berada dalam Kabinet kerajaan sepatutnya digunakan sebaik mungkin jika benar-benar beliau ikhlas mahu membantu membela nasib kaum India.

"Saya yakin majoriti masyarakat India amat menghargai sumbangan Perdana Menteri dan kerajaan BN kepada mereka serta tidak akan terpengaruh dengan pemimpin berfikiran sempit seperti Waythamoorthy," tegasnya.


Kerajaan BN, tambah Hishammuddin, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sejak dulu lagi telah dan sentiasa berusaha membantu membela masyarakat India tanpa mengira fahaman politik mereka - UM

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone












Waythamoorthy Naif?! Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 20 February 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!