Wednesday, 5 February 2014

#PRKKajang : Nallakaruppan Satu Kejutan Untuk Anwar!

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan hari ini menawarkan diri bertanding menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Bagi membolehkan kedua-dua belah pihak memberikan tumpuan kepada pertarungan di DUN Kajang, Nallakaruppan menyatakan kesediaannya melepaskan kedudukan sebagai Ahli Dewan Negara manakala Anwar dicabar meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kata Nallakaruppan, beliau menawarkan diri kerana tidak mahu penduduk kawasan tersebut tertipu dengan Anwar, selain faktor BN belum mengumumkan calon dan membuat keputusan sama ada ingin bertanding atau sebaliknya.

“Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar Anwar dalam pilihan raya nanti.

“Justeru, saya merayu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua parti komponen, beri laluan kepada saya untuk bertanding dengan Anwar secara satu lawan satu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MIUP, Segambut di sini hari ini.

Yang turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk pengasas bersama parti itu, Ng Lum Yong dan pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak akan mendedahkan video yang didakwa melibatkan bekas rakan karibnya itu semasa berkempen kerana kes tersebut masih di peringkat mahkamah.

“Kandungan video itu saya tidak boleh dedahkan kepada orang awam. Namun, ada banyak lagi cerita panas mengenai Anwar yang belum saya dedahkan. Saya akan cerita siapa Anwar kepada rakyat Kajang," katanya.

Beliau juga berkeyakinan dapat memberikan cabaran sengit kepada Ketua Pembangkang itu sekiranya diberikan peluang menjadi calon BN.

“Saya buat tawaran ini kerana saya ada peluang lebih baik di DUN Kajang. Siapa Anwar dan siapa Nallakaruppan, kamu boleh lihat itu," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah memaklumkan hasratnya kepada pucuk pimpinan BN, Nallakaruppan berkata, beliau menunggu maklum balas daripada mereka termasuk para pemimpin parti komponen selepas sidang akhbar tersebut.

Menjawab soalan adakah beliau akan meneruskan hasrat untuk bertanding sekiranya tidak terpilih sebagai calon, Nallakaruppan menjelaskan, beliau akan memikirkan perkara tersebut selepas permintaannya itu dijawab oleh pucuk pimpinan BN.

Sementara itu, Lum Yong berkata, beliau bersama 20 orang lagi pengasas bersama PKR akan turun membantu kempen calon BN menentang Anwar di DUN Kajang.

“Selain itu, bekas pemimpin DAP dan Pas dari seluruh negara akan datang ke Kajang bagi membantu siapa sahaja calon BN menentang Anwar," katanya. - utusan

Pemuda PAS hari ini menegaskan mereka menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya berlaku perubahan dalam pentadbiran negeri berkenaan, kata Suhaizan Kaiat.

Ketua Pemuda PAS itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) seharusnya segera menghentikan polemik berkaitan kedudukan menteri besar baru kerana khuatir ia akan dipanjangkan sehingga melibatkan pihak Istana Selangor.

"Pemuda PAS juga ingin menegaskan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi menteri besar Selangor.

"Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret PR membincangkan isu menteri besar yang baru, dan kita khuatir ia akan berlarutan terlalu panjang dan diheret ke peringkat istana," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur.

Suhaizan bagaimanapun berkata, pihaknya kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang yang dilaksanakan secara tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat.

"Ia juga mendedahkan PR kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat.

"Bagaimanapun kita menghormati muafakat PR yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lalu," katanya.

Beliau turut mendesak agar "kesilapan" seperti itu tidak diulangi oleh parti komponen PR yang lain pada masa depan.

Suhaizan ketika sidang media itu berkata, sayap pemuda PAS itu juga akan bersama-sama dengan kepimpinan PR untuk turun berkempen bagi Anwar.

"Kami akan bersama dalam PRK DUN Kajang bagi membantu kemenangan PR," katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS melantik Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor Khairul Nizam Toha selaku penyelaras PRK DUN Kajang Pemuda PAS.

Beliau turut berkata, parti yang bertanding tidak seharusnya mengamalkan pembaziran dengan "projek-projek mee segera" kerana ia bakal memudaratkan rakyat.

"Sekiranya berlaku pertandingan, pemuda minta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) mengadakan PRK dengan adil dan bersih.

"Elakkan berlakunya pembaziran. Elakkan projek mee segera yang akan korbankan wang rakyat," katanya, dan menambah rakyat akan pastinya menghukum pihak yang membazir.

Meskipun tidak bersetuju dengan pengosongan kerusi oleh mantan Adun Kajang Lee Chin Cheh, Suhaizan berkata PR juga tidak akan sesekali memberikan kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN).

"Alasan (pengosongan) yang diberikan itu walaupun kita tidak setuju kerana ada pembaziran, tetapi kita tak setuju beri kemenangan percuma kepada BN," katanya.


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
#PRKKajang : Nallakaruppan Satu Kejutan Untuk Anwar! Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 5 February 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!