Saturday, 1 February 2014

#prkkajang #liwat : Anwar Tidak Boleh Berdalih Lagi!

Mahkamah Persekutuan perlu membuat ketetapan pada 11 Februari ini dan tidak wajar menangguhkan lagi keputusan rayuan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat.

Menurut Muhammad Shafee, keputusan pada hari yang sama itu perlu dibuat bagi membolehkan rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Ketua Pembangkang daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, dapat didengar pada 12 dan 13 Februari tanpa perlu sekali lagi ditunda.

“Saya mengetuai pendakwaan ini. Jika Mahkamah Persekutuan tidak buat keputusan sama ada saya layak atau tidak, kita tidak boleh teruskan rayuan ini kerana status saya. Hanya satu cara sahaja untuk pihak pendakwaan meneruskan rayuan tanpa saya iaitu jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan saya tidak layak.

“Namun semuanya terpulang kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di rumahnya di sini, hari ini selepas Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh baharu iaitu pada 11 Februari ini untuk mendengar rayuan kali kedua Anwar bagi mengetepikan beliau yang sepatutnya diadakan pada Selasa lalu.

Pada Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan Anwar dan memutuskan pelantikan Muhammad Shafee mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah sah mengikut undang-undang.

Rayuan terhadap kes liwat Anwar dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lalu membebaskan dan melepaskan Ketua Pembangkang itu daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara antara pukul 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dalam pada itu, diminta mengulas tindakan Anwar dan pasukan peguam belanya yang berterusan bertindak membuat rayuan bagi mengetepikan beliau meski pun pelantikan tersebut sah mengikut undang-undang, Muhammad Shafee berkata, rayuan dibenarkan tetapi berharap tidak berlanjutan.

“Kita perlu melangkah ke depan dalam kes ini. Kita ada peringkat lain dan kita tidak tahu keputusannya macam mana. Kedua-dua pihak mungkin merayu lagi ke Mahkamah Persekutuan, (jika keadaan itu berlaku) lama lagi perjalanan yang perlu ditempuhi,” katanya.

Kepada persoalan sama ada keputusan rayuan kes liwat itu nanti jika berpihak kepada kerajaan bakal menjejaskan Anwar untuk bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, beliau berkata, tidak terjejas kerana Ketua Pembangkang boleh membuat rayuan.

“Anwar masih boleh bertanding dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (sekiranya menang) kalau pun dia disabitkan bersalah dalam kes liwat dengan syarat rayuannya di Mahkamah Persekutuan nanti kekal dengan keputusan itu (dilepas dan dibebaskan). Jika tidak, beliau akan berdepan dengan masalah.

“Sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan ini (tuduhan liwat) adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjaya anda sama ada sebagai ahli politik, ahli Parlimen atau doktor akan berakhir. Keseluruhan kerjaya anda berakhir,” jelas Muhammad Shafee.

Mengenai spekulasi beliau bakal dilantik menjadi menjadi peguam negara, Muhammad Shafee menjelaskan, khabar angin sedemikian telah bertiup sejak 15 tahun dahulu tetapi pada masa yang sama menegaskan, jika kerajaan yakin atau percaya dengan kepakarannya beliau bersedia untuk memikul amanah tersebut




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
#prkkajang #liwat : Anwar Tidak Boleh Berdalih Lagi! Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 1 February 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!