Wednesday, 11 December 2013

Teo Kok Seong Tegur Melayu Tak Bangga Bahasa Melayu

Syarikat-syarikat di Malaysia boleh membantu meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa kebangsaan itu dalam penjenamaan produk mereka.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata penggunaan bahasa Melayu dalam penjenamaan dapat menimbulkan sentimen 'kuasa' dan rasa bangga kepada individu yang menggunakan produk itu.

Sebagai contoh, katanya kereta buatan negara pada awal pasarannya diberi jenama bahasa Melayu seperti Saga, Wira, Perdana, Kancil, Kenari dan Kelisa tetapi kini menggunakan nama-nama Inggeris seperti Savy, Gen-2, Exora, MyVi dan Viva.


"Ini negara kita. Patutnya kita berbangga dengan bahasa Melayu. Seperti Gen-2, kita tidak akan sebut sebagai 'Gen-dua'. Ini adalah sesuatu yang perlu kita perbetulkan kerana bahasa asas jati diri kita," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menjadi anggota panel dalam Majlis Dialog Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi anjuran Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini. 

Teo yang juga anggota pelaksana Pusat Majlis Bahasa Melayu Institusi Pengajian Tinggi Nusantara turut mengumpamakan ejaan bahasa yang dipinjam daripada bahasa Inggeris sebagai 'separuh ular dan separuh belut' dan menyarankan ejaan itu diperbetul segera.

"Contohnya dalam penggunaan perkataan 'presint' yang merupakan istilah dalam bidang perancangan bandar. Putrajaya sememangnya bandar yang dirancang, maka penggunaan perkataan itu adalah sesuai.

"Bagaimanapun, jika mahu menggunakan 'presint' adalah lebih sesuai jika dibuang huruf 't' kerana akhiran 't' adalah daripada perkataan bahasa Inggeris seperti 'sentiment' yang ditukar kepada sentimen dan 'parliament' menjadi parlimen," katanya.

Teo secara berseloroh juga berkata untuk membuat satu papan tanda baharu hanya bagi membetulkan huruf 't' akan memakan belanja, maka "lebih baik cat sahaja huruf 't'".

Selain itu, beliau berkata penggunaan bahasa juga perlu mengambil kira golongan sasar.

"Jika disasarkan kepada rakyat, adalah lebih afdal jika menggunakan bahasa asal," katanya. 

Beliau merujuk kepada istilah perubatan yang diterjemahkan iaitu hipertensi lebih mudah disebut darah tinggi, strok (angin ahmar) dan diabetes (kencing manis). 

"Jika bahasa itu melibatkan ilmu, tidak salah jika kita pinjam bahasa Inggeris untuk memudahkan asimilasi dengan dunia ilmu yang lebih luas. Tetapi untuk memupuk kefahaman orang, lebih afdal kita guna bahasa asal yang ada," jelasnya. - Bernama

Daeng: Melayu melayu mohon terasa...


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Teo Kok Seong Tegur Melayu Tak Bangga Bahasa Melayu Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 11 December 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!