Monday, 23 December 2013

Demo BERSIH4.0 Mohon Polis Lebih Tegas!

SETELAH gagal untuk menggulingkan kerajaan menerusi amalan demokrasi dan peti undi, strategi sekali lagi beralih kepada cara revolusi.

Satu perhimpunan haram besar-besaran di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini telah digerakkan sebagaimana beberapa siri perhimpunan haram kotor yang menggunakan nama Bersih.

Setakat ini, belum ada pemimpin utama parti pembangkang tampil mengaitkan diri dengan perhimpunan itu tetapi ramai yang sudah boleh menduga siapa dalangnya.


Pemilihan 31 Disember bertujuan mahu mengambil kesempatan ketika orang ramai berada di Dataran Merdeka bagi meraikan sambutan tahun baharu. Maka nanti media asing akan merakamkan kononnya perhimpunan itu mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat. Itulah yang dimahukan oleh pemimpin pembangkang tertentu bagi mendapatkan campur tangan luar agar menekan kerajaan Malaysia.

Pada firasat Awang, penganjurnya mahu meniru perhimpunan antikerajaan di Thailand yang akhirnya memaksa Parlimen negara itu dibubarkan, baru-baru ini.

Di samping itu, si dalang mahu menangguk di air keruh dengan membakar lagi sentimen rakyat berikutan isu kenaikan tarif elektrik dan kadar tol.

Isu-isu berkaitan kos sara hidup mudah panas, yang menguji mana-mana kerajaan. Situasi Malaysia sebenarnya tidaklah seteruk banyak negara. Awang pun tidak suka kenaikan tarif elektrik dan tol tetapi wajarkah diburukkan lagi dengan mencetuskan ketegangan yang akhirnya memudaratkan negara.

Revolusi bukan penyelesaian. Jika ia penyelesaian terbaik, lebih sesuai dirancang untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang banyak kepincangan.

Marilah kita bertanya siapa pemimpin yang akan mendapat manfaat politik paling besar daripada perhimpunan itu nanti?

Baru-baru ini, mantan Naib Presiden Indonesia, Jeneral (B) Try Sutrisno ketika melawat Malaysia meminta rakyat negara ini mensyukuri nikmat keamanan dan menolak pemimpin homoseksual.

Di Indonesia dan negara-negara lain, pemimpin yang menghadapi masalah moral yang serius, tidak diterima oleh rakyat dan parti politik.

Awang yakin majoriti rakyat Malaysia sekali lagi akan menolak perhimpunan haram pada 31 Disember ini sebagaimana dibuktikan dalam beberapa perhimpunan haram lain.

Masih segar dalam ingatan bagaimana para perusuh melakukan keganasan termasuk ke atas polis dan memusnahkan harta awam; pemimpin pembangkang menghasut penyokong merusuh; dan perbuatan khianat mengibarkan bendera Sang Saka Malaya (bukan Jalur Gemilang) .

Fail perhimpunan Bersih belum ditutup, banyak lagi tanda-tanya. Kerugian berjuta-juta ringgit belum dibayar oleh penganjur Bersih yang kotor. Khabarnya juga, puluhan lagi perusuh yang mencabar pihak berkuasa dan kedaulatan negara masih bebas.

Awang berharap Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan anggotanya akan bertindak tegas kerana perhimpunan itu sudah menjadi isu ancaman keselamatan yang serius.

Sesiapa pun tidak boleh mengambil mudah soal keselamatan. Marilah berdoa dan solat hajat agar negara kita terus aman dan selamat. Terutama bagi menggagalkan percaturan si dalang yang mahukan tanah air ini bermandi darah. - Awang Selamat


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Demo BERSIH4.0 Mohon Polis Lebih Tegas! Daeng Selili Rating: 5 Monday, 23 December 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!