Monday, 16 December 2013

Datuk Seri Jamil Khir Baharom Sokong Tubuh "Polis Syariah"

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyokong penubuhan sebuah pasukan polis khas yang mengendalikan hal berkaitan syariah.

Menurut beliau, dengan adanya pasukan itu maka tumpuan khusus dapat dilakukan terhadap tindakan-tindakan yang perlu diambil apabila membabitkan kes-kes berkaitan syariah.

“Saya berbincang dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung satu jawatankuasa berkaitan syariah. Kita amat mengalu-alukan langkah itu supaya nanti akan ada satu kelompok yang lebih memberikan tumpuan terhadap tindakan berkaitan syariah.

“Kita akan cuba melihat penubuhan itu secepat mungkin supaya lebih membantu majlis agama Islam (negeri-negeri) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Karnival Zakat, Sistem Talian Zakat (I-zakat) dan Pembayaran Zakat Syarikat-syarikat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali. Tambah Jamil Khir, perbincangan lanjut berhubung penubuhan pasukan polis khas tersebut akan dilakukan secepat mungkin bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengulas tentang pendedahan KDN yang mengemukakan 10 maklumat didakwa mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perbincangan akan dilakukan dengan kementerian itu bagi meneliti perkara tersebut.

“Perkara itu kita bincang dengan KDN untuk penelitian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada majlis agama Islam setiap negeri dalam apa jua perkara membabitkan hal agama Islam termasuk pendedahan mengenai perkahwinan mutaah.

“Apabila menyebut perkara berkaitan pernikahan, undang-undang agama dan sebagainya adalah di bawah kuasa majlis agama Islam negeri masing-masing,” katanya.

Berhubung pendedahan mengenai 17 permohonan kahwin mutaah (kahwin kontrak) yang menjadi amalan pengikut Syiah di daerah Papar, beliau menyerahkan kepada Majlis Agama Islam Sabah untuk mengambil tindakan lanjut. - n9kini.com







للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom Sokong Tubuh "Polis Syariah" Daeng Selili Rating: 5 Monday, 16 December 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!