Wednesday, 6 November 2013

Jentera Calon PAS Hina Azizan Punca PAS Kurang Undi



Kesukaran Pas mencari pengganti yang mampu menyaingi kredibiliti dan daya kepimpinan penyandang kerusi Dun Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah antara punca parti itu mengalami kekurangan majoriti yang besar pada PRK semalam.

Selain itu, pendekatan kempen BN yang banyak bertumpu kepada kempen bersemuka serta santai, juga antara faktor yang menyebabkan Pas kekurangan 61 peratus majoriti berbanding yang dipungut pada PRU13 pada Mei lepas, menurut penganalisis politik.

Pada PRK Dun Sungai Limau semalam, calon Pas, Mohd Azam Abd Samat menang dengan majoriti 1,084 berbanding majoriti 2,774 yang diperoleh bekas penyandang kerusi itu, Azizan, yang juga bekas menteri besar Kedah.

Mereka juga berpendapat perkembangan itu disebabkan sokongan akar umbi di kawasan ini tidak begitu yakin kepimpinan Pesuruhjaya Pas Kedah yang baharu Datuk Mahfuz Omar, yang menggantikan Azizan serta juga populariti dan keperibadian Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir.

Sementara masyarakat Cina kawasan ini yang sebelum ini amat selesa dengan Azizan kini dilihat mula mengubah corak pengundian mereka kembali menyokong BN.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shuib Shukri berkata, masyarakat DUN Sungai Limau dilihat masih lagi terkesan dengan kehilangan Azizan yang amat disenangi penduduk pelbagai bangsa di sini.

Selain pendekatan bersemuka yang dilakukan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim semasa berkempen, jentera BN secara keseluruhan memberikan tentangan hebat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tindakan kepimpinan Pas negeri yang sebelum ini cenderung mengkritik Azizan mungkin juga mewujudkan kelompok pengundi dalaman Pas yang tidak "mesra" dengan kepimpinan baharu Pas negeri.

"Pengalaman 'hitam' yang dilalui Pas, dengan wujudnya kelompok pemimpin mereka sendiri yang ingin menjatuhkan Azizan masih diingati oleh anggota dan pemimpin Pas Jerai, dan ini memungkinkan mereka tidak mengundi Pas. Menyokong tetapi tidak mengundi mereka dalam PRK semalam," katanya. 

Md Shukri berkata kelemahan di peringkat akar umbi Pas negeri ini bukan sahaja menjadikan kubu kuat mereka bertambah mudah ditembusi BN, malah memudahkan kawasan-kawasan yang lain ditawan BN.

"Contohnya di PDM (Pusat Daerah Mengundi) Bukit Besar dan Bukit Choras, dua kawasan kubu kuat Pas. Di Bukit Besar, Pas kali ini hanya mendapat 1,557 undi berbanding 1,624 pada PRU13.

"Di Bukit Choras pula Pas menang dengan 695 undi berbanding 726 undi pada PRU13. Secara keseluruhannya BN berjaya menembusi peti undi tegar Pas, dengan meningkatnya jumlah undi diperoleh," katanya.

Selain itu, Md Shukri juga berkata masyarakat tempatan termasuk cendekiawan agama menerima baik kepimpinan Mukhriz yang juga Pengerusi BN Kedah.

"Lihat sahaja Pondok Pak Ya (Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah) di Bukit Besar, telah berjaya mengadakan program-program kerajaan yang diketuai BN dan disambut baik pengurusan pondok hinggakan aktiviti dapat diadakan di kawasan pondok itu sendiri yang selama ini begitu terkenal dengan kelahiran ramai tokoh Pas," katanya. 

Bagi Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman pula, kejayaan BN untuk menambah hanya 4.4 peratus undi berbanding PRU yang lepas adalah suatu perkembangan yang harus diberi perhatian.

Pada PRK semalam, undi yang diperoleh BN ialah sebanyak 10,985 undi berbanding 10,520 pada PRU1 pada Mei lepas dan juga meningkat daripada 8,816 undi pada PRU12.

Bagaimanapun BN tidak sepatutnya berbangga dengan penambahan undi itu kerana parti itu mempunyai kelebihan dari segi kekuatan jentera.

Dekan Fakulti Sastera & Sains Sosial UM berkata corak pengundian semalam dilihat menunjukkan BN dan Pas hanya mampu mengukuhkan sokongan daripada penyokong tegar masing-masing.

Pas dilaporkan mempunyai 9,499 anggota di Dun Sungai Limau dengan keanggotaan BN pula 9,230 orang.

Mohamad Redzuan berkata, sudah tiba masanya bagi BN untuk cuba lebih memahami sentimen penduduk tempatan, khasnya di kawasan penyokong Pas, berbanding menggunakan pendekatan menjanjikan projek pembangunan dalam usaha menarik mereka mengubah sokongan kepada parti komponen itu.

Di sebalik kemenangan Pas, populariti parti itu di kawasan ini susut dengan kemenangan majoriti Pas menurun daripada 3,212 undi pada PRU12 kepada 2,774 pada PRU13, dan seterusnya kepada 1,084 pada PRK kali ini. - Bernama


Teknik ‘superimpose’
Gambar menunjukkan Mohd Azam bersama-sama Mohd Idros mengunjungi Azizan di pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman, Alor Setar, tiga tahun lalu.




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Jentera Calon PAS Hina Azizan Punca PAS Kurang Undi Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 6 November 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!