Saturday, 16 November 2013

Begitu Mudah Kita Percayakan Orang!

Saya terpanggil untuk mengulas isu betapa mudahnya kita mempercayai seseorang tanpa usul periksa.

Bermula dengan isu seorang lelaki di negara China yang menyaman bekas isterinya kerana melahirkan anak yang dianggap begitu hodoh.Ironinya, seorang hakim mahkamah di China pada awal November, memerintahkan

seorang wanita membayar ganti rugi kepada bekas suaminya sebanyak AS$120,000 (RM381,333) kerana tidak memaklumkan dia sebenarnya telah menjalani pembedahan plastik sebelum berkahwin dan sehingga hubungan mereka melahirkan anak yang "terlalu hodoh".

Lelaki yang dikenali sebagai Jian Feng itu pada awalnya menuduh isterinya curang, malah terlalu yakin dia bukan bapa kepada bayi yang tidak comel itu. Namun, ujian DNA yang dijalankan mengesahkan bayi berkenaan adalah anaknya menyebabkan isteri beliau terpaksa mendedahkan rahsia pembedahan plastik yang dijalaninya.

Berikutan itu, Jian Feng menceraikan dan menyaman bekas isterinya kerana memalsukan imej, menyebabkan dia rasa tertipu dan melahirkan anak perempuan yang dianggapnya terlalu hodoh, lapor Irish Times.

Bekas isteri Jian Feng yang namanya tidak didedahkan mengaku menjalani pembedahan plastik dengan kos hampir AS$100,000 (RM317,600) di Korea Selatan sebelum berkenalan dan berkahwin dengannya.

Hakikatnya, begitu mudahnya seseorang itu menggunakan kecantikan untuk membeli cinta dan mengaburi segalanya. Yang pastinya sampai bila golongan lelaki harus mempercayai kecantikan sebagai pelengkap segalanya?

Kes kedua, yang membuktikan betapa kita begitu mudah untuk ditipu ialah apabila meneliti kes pembunuhan kejam yang berlaku di AmBank USJ Central baru-baru ini. Walaupun, akhirnya tertangkap menerusi Op Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes ini membuka mata kita mengenai isu kad pengenalan palsu.

Setelah akaun Facebook pembunuh berjaya ditemui, begitu banyak perkara pelik yang menjadi persoalan sebagai rakyat Malaysia, telah dibongkar satu persatu. Mari bersama kita merungkaikan fakta yang memalukan ini.

MyKad digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan pekerjaan disahkan palsu. Barangkali ramai antara pembaca mempersoalkan fakta, bagaimanakah dokumen palsu itu boleh digunakan oleh penjenayah yang dikenali sebagai Ardi Hamza atau Ardi Ode Putra Katela, bukan sahaja digunakan untuk mendapat pekerjaan malah untuk membuka akaun bank?

Mungkin ada kakitangan institusi perbankan yang membaca ruangan ini boleh merungkaikan kes ini. Dikhabarkan juga penjenayah sama membuat permohonan pinjaman di agensi pembekal kredit, mungkin untuk membeli barangan elektrik keperluan di rumah atau motosikal. Yang lebih menakjubkan, permohonannya diluluskan.

Namun, semakan yang dilakukan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan dia tidak layak untuk mengundi. Jika layak, pasti kes ini akan dipolitikkan dan menjadi lebih havoc seperti dilaungkan oleh Joe Flizzow. Persoalan yang paling aula sekarang ialah; Bagaimanakah penjenayah terbabit mendapatkan MyKad palsu? Berapakah harga sebenar dokumen itu? Siapakah dalang pembekal Mykad itu? Berapakah jumlah MyKad palsu telah diedarkan di Malaysia dan diguna pakai?

Hakikatnya Jabatan Pendaftaran Negara suatu ketika dahulu pernah menguaruarkan kepada orang awam betapa tingginya kualiti MyKad dan sukar untuk dipalsukan. Nah, sekarang saya masih menanti-nantikan jawapan menarik dari Pihak JPN. Menurut ceritanya, kad pengenalan itu dikatakan dibeli dengan harga antara RM200 hingga RM600 sekali gus membolehkan suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan.


Dalam hal ini apa yang lebih mengejutkan apabila JPN tanpa segan silu mengakui telah mengesan ramai warga asing memiliki kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor berisiko tinggi seperti institusi perbankan di seluruh negara. Menurut Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Awang, pihaknya telah lama mengesan perkara tersebut melalui beberapa serbuan yang dijalankan di seluruh negara. Malah apa yang lebih merisaukan kita, JPN juga pernah dikatakan menahan seorang warga Filipina yang mempunyai kad pengenalan palsu tetapi bekerja sebagai pengawal keselamatan yang menjaga stor senjata api syarikat keselamatan berkenaan.

Bagi saya rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini menggesa agar pihak polis dan juga JPN sewajarnya berganding bahu dan bekerjasama dalam hal ini dengan membentuk pasukan petugas khas untuk mencari semua dalang yang terlibat dalam proses pengeluaran kad pengenalan palsu.

Pengkhianat negara seperti ini perlu diberkas dan dibawa ke muka pengadilan dengan segera. Maka usaha pencarian dalang yang terlibat dan proses pembendungan perlu dilaksanakan dengan cepat tanpa ditangguh-tangguh lagi. Besarlah harapan kita agar penularan kad pengenalan palsu ini dapat dibendung dengan segera. Kita tidak mahu keselamatan rakyat dan negara kita tergadai hanya pada harga RM200 angkara sindiket yang tamak dan tidak bertanggungjawab.

Kita juga tidak mahu nasib keselamatan bank mahupun rakyat kita diletak di tangan warga asing yang kita belum pasti kejujurannya dalam mencari rezeki yang halal di negara kita ini.

Dalam hal ini saya juga khuatir pemilikan kad pengenalan palsu ini tidak hanya terhad kepada pengawal keselamatan semata-mata sebaliknya ada kemungkinan lebih ramai lagi warga asing dari pelbagai sektor pekerjaan mungkin turut memilikikad pengenalan palsu dan berpotensi terus menjadi ancaman kepada rakyat dan negara kita pada bila-bila sahaja.

Maka marilah kita berganding bahu mempertahankan hak kita dan keselamatan rakyat serta negara kita secara keseluruhannya. Dalangnya harus kita cari, pembersihan perlu disegerakan, agar negara kita tidak dijajah dengan cara yang menjijikkan ini.

Penulis : Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri 
(Timbalan Pengarah, Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia).

Daeng : Pihak Kerajaan terutamanya Polis sibuk nak tangkap pendatang yang memiliki IC palsu, bagaimana jika Kerajaan boleh pastikan pemilik IC itu PALSU manakala IC tersebut adalah tulen? 

Jabatan Pendaftaran Negara mesti bertanggungjawab dalam hal ini dalam usaha memperkasakan sistem biometrik yang bakal membantu kerajaan dalam apa jua sebarang penipuan identiti.

Kalau aku tuduh ini semua kerja BANGSAT PEMBANGKANG yang kerja dalam sektor awam. Agak melampau tak?Masuk akal tak?!!

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Begitu Mudah Kita Percayakan Orang! Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 16 November 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!