Wednesday, 16 October 2013

PDRM Pengecut : Moh Jumhur Hidayat

Penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim tampil mempertahankan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden tembakan yang mengorbankan empat rakyat Indonesia, Jumaat lalu.

Kata beliau, pihak luar khususnya tidak wajar mempertikaikan tindakan yang diambil atau dilakukan sesebuah kerajaan kerana ia adalah hak negara tersebut yang tertakluk kepada undang-undang negara masing-masing.

Justeru katanya, kenyataan 'pedas' wakil Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI), Moh Jumhur Hidayat yang menyifatkan PDRM sebagai pengecut kerana menembak mati rakyat mereka amat tidak wajar sama sekali.

Ini kerana katanya, mana-mana individu sekiranya didapati melanggar undang-undang walau di mana sekalipun, maka tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadapnya, termasuklah penguatkuasaan undang-undang ataupun tindakan yang lebih ekstrem.

"Yang mustahak di sini juga, soal kedaulatan undang-undang satu negara berkenaan tindakan yang diambil itu ialah prerogatif sesebuah negara.

"Pasukan polis Malaysia bukan satu pasukan yang 'trigger happy', sekiranya penjenayah menyerah diri seperti yang dibuktikan dalam kes Botak Chin, Geng Mamak, maka tidak ada satu tembakan yang dilepaskan.

"Kecuali penjenayah itu yang memulakan serangan terhadap pasukan polis, dan perbuatan itu juga membahayakan kepentingan awam, maka sudah tentulah masa itu tindakan untuk menyekat dilakukan termasuklah pertempuran. Dan penjenayah lazimnya yang mati kerana anggota polis ini terlatih," katanya kepada Antarapos. 

Jumhur, yang dipetik dari laman Kompas.com selain itu mempertikaikan kewajaran tindakan PDRM menembak mati keempat-empat rakyat negaranya kerana berpendapat kesemua mereka bukan pengganas.

Keempat-empat mereka yang dikenali sebagai Hafat, pemegang pasport Indonesia bernombor A0649848, Iknoriansyah (U4507980), Hery Setiawan (A4208167) dan Wahyudi (A2640273) ditembak mati Jumaat lalu di Blok B-15-7, Ampang Hilir Pinggiran, Jalan Ampang Putra, Kuala Lumpur.

Kesemua mereka dilaporkan telah merompak sebuah rumah awal pagi sebelum kejadian.

Kamal juga menasihatkan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan polis, perlu mengambil kira akibat yang diterima oleh mangsa yang dianiaya penjenayah.

"Barangkali ada suara minoriti yang melihat tindakan yang diambil itu disangkanya sebagai jalan pertama iaitu menembak mati, walhal, seperti mana negaranya juga ia adalah pilihan terakhir yang terpaksa dilakukan bagi melindungi demi kepentingan awam dan juga mengangkat kedaulatan undang-undang itu.

"Dalam masa yang sama saya pohon kalau ada yang berminat tentang hak asasi ni, harap di hati mereka dapat juga perjuangkan hak asasi mangsa-mangsa penjenayah ini, atau keluarga mereka yang terkorban akibat perbuatan jenayah," katanya lagi.- Antarapos



للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
PDRM Pengecut : Moh Jumhur Hidayat Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 16 October 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!