Sunday, 22 September 2013

Mukhriz Letak 50-50 Menang!

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno berkata, perjalanan politik beliau sebenarnya tidak selancar seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Mengakui ‘aura’ sebagai anak Dr Mahathir sering dijadikan kata-kata sinis terhadap keupayaannya, anak bongsu bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, beliau sebenarnya seorang pejuang yang sedia mengambil risiko untuk terus bertapak dalam arena politik tempatan.

“Memang banyak kali saya diacu persoalan sebegitu, dan saya tak pernah mengambil jalan mudah dalam politik, sentiasa menawarkan diri untuk bertanding sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau Pusat.

“Malah, semua sedia maklum ada kalanya saya menang, dan banyak kali saya kalah. Perjalanan politik saya tidaklah begitu licin seolah-olah ruang dibuka luas untuk memudahkan pencalonan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Mukhriz, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut menyerahkan borang pencalonan.

Jawatan Naib Presiden Umno kini disandang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berhubung kekuatan yang mendorongnya untuk bertanding, Mukhriz yang dilantik menjadi menteri besar selepas Barisan Nasional kembali berkuasa di Kedah pada pilihan raya umum pada Mei lepas, berkata:

“Walaupun tempoh perkhidmatan saya di peringkat negeri masih baru, namun saya mempunyai pengalaman yang agak luas di peringkat persekutuan dengan menjawat jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bermula April 2009″.

Beliau juga yakin pengalaman yang sedang ditimbanya di peringkat negeri boleh dikongsi di peringkat nasional terutamanya dalam menangani isu di peringkat akar umbi seperti kemiskinan, perumahan dan kekurangan peluang pekerjaan.

Mukhriz berkata, jika terpilih menduduki jawatan itu, beliau berupaya mengimbangi tanggungjawab menjaga negeri dan parti dengan menjadikan contoh menteri Miti, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang disifatkannya cemerlang dalam memikul tanggungjawab menerajui kementerian, dan dalam masa sama mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk kawasan Jeli, di Kelantan yang diwakilinya.

Sebagai calon tunggal di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang bertanding jawatan tertinggi, beliau juga mengakui telah berhubung dengan beberapa rakan sejawatnya dan mereka menyambut baik serta menyatakan sokongan terhadap keputusannya itu.

“Saya faham tekanan yang dihadapi apabila dikatakan sebagai calon favourite yang mampu memberi saingan kepada tiga penyandang sedia ada, namun keputusan ini merupakan manifestasi yang diletakkan ke atas saya, bukan sahaja oleh orang muda tetapi juga daripada mereka yang ingin melihat transformasi terhadap Umno benar-benar terlaksana,” katanya yang meletakkan harapan 50-50 untuk memenangi jawatan itu. - Bernama




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Mukhriz Letak 50-50 Menang! Daeng Selili Rating: 5 Sunday, 22 September 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!